Tuesday, June 18, 2013

Hukum amal petua dan pantang larang Melayu

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 18 Jun 2013
Soalan;
Apakah hukum mempercayai petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar".

Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?

Bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?

Jawapan;
Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;

1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar daripada skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui Rasul-Nya dalam as-Sunnah. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.” (surah an-Naml : ayat 65)
2. Tidak memalingkan seseorang daripada keyakinan bahawa segala yang berlaku - sama ada baik atau buruk - adalah ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman.” (Surah al-A’raf : ayat 188)

3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.

4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Hal ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.

5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (dalam Islam)." (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah.” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui syariat iaitu sama ada diceduk daripada al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan daripada beramal dengannya. Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut;
1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.

Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak. Oleh hal yang demikian, pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran maupun as-Sunnah mengesahkannya.

Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezeki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh hal yang demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercayai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah pada malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.

Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan akidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama - sama ada secara sedar atau tanpa sedar. Jika ia menyalahi amalan yang diredhai Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa - sama ada besar atau kecil- wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.

Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim ulama sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Wednesday, June 12, 2013

Sukarnya mendidik anak solat

Ustaz Abulfaruq Ayip Syafruddin, 12 Jun 2013
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda yang bermaksud:

“Perintahkan anak-anak kalian untuk tunaikan solat saat usia mereka telah menginjak tujuh tahun, dan pukullah mereka (apabila tidak tunaikan solat) saat usia mereka menginjak 10 tahun….” (HR Abu Dawud)

Dalam hadis tersebut terkandung hikmah yang mendalam. Hikmah yang memberi pelajaran berkait dengan kebiasaan pada anak agar rajin beribadah. Dalam hadis tersebut menerangkan bahawa menerapkan sesuatu kebajikan atau amalan perlu melalui tahap-tahap yang jelas. Bagaimanapun seorang anak memerlukan masa dan proses berterusan agar mampu melaksanakan sebuah amal salih.

Seseorang anak kadang-kadang tidak mampu menuruti arahan serta-merta. Daripada hadis ini menunjukkan betapa Islam sarat dengan rahmah (kasih sayang), mengerti keadaan anak. Juga terkandung pengajaran, betapa Islam mengajarkan untuk tidak melakukannya secara tergesa-gesa. Namun, secara bertahap. Inilah bentuk kasih Islam kepada makhluk yang masih lemah; anak.

Menanamkan kebiasaan baik pada anak, khususnya solat, wajar dilakukan melalui beberapa tahap:

Pertama, tahap peniruan. Tahap anak melihat dan meniru apa-apa yang dikerjakan orang tua, pendidik, guru, ustaz sebagai contoh. Pada tahap ini, orang tua, pendidik, guru, ustaz menjadi objek pemerhatian sang anak. Daripada perilaku dan sikap yang ditujukkan orang tua, pendidik, guru, ustaz, seorang anak memperoleh gambaran bagaimana sebuah amal salih harus ditunaikan. Tahap ini merupakan tahap peniruan.

Kedua, tahap perintah. Tahap anak mendapat bimbingan dan arahan dalam bentuk perintah. Anak diperintah untuk menunaikan sesuatu kebajikan. Dengan tanpa meninggalkan sifat sabar dan rahmah, orang tua, pendidik, guru, ustaz secara terus menerus mengingatkan anak untuk beramal kebajikan. Dalam masalah solat, anak berusia tujuh tahun telah diperintahkan untuk senantiasa menunaikannya. Jika sehari lima kali diingatkan untuk menunaikan solat, berapa ribu kali anak diingatkan selama tiga tahun? Iaitu, diingatkan dan diperintah untuk solat hingga usianya mencapai 10 tahun. Ribuan kali perintah terus berulang pada diri anak, tentu sebuah bentuk penanaman kebiasaan baik yang sangat intensif.

Tahap ketiga, tahap hukuman. Tahap anak mendapat hukuman akibat lalai daripada menunaikan kewajipan. Tahap hukuman adalah sebuah tahap yang diwajarkan setelah dilakukannya proses, bimbingan, arahan, dan perintah. Sebuah proses yang dilakukan dalam waktu yang bertahap-tahap. Ketika menjatuhkan hukuman tetap harus berada dalam kerangka hikmah (bijak) dan adil. Tujuan menghukum adalah agar anak jera, iaitu agar anak tak lagi melakukan perbuatan yang dilarang. Bukan sebagai bentuk melepaskan geram, marah apalagi untuk membalas dendam.

Pemberian hukuman pada anak jangan sampai menjadikan ia membenci kebaikan dan menghindar daripada orang-orang yang berbuat kebajikan. Memberi hukuman dalam bentuk memukul, tentu ada batasan-batasannya. Seperti, dilarang memukul wajah, bahagian tubuh yang penting, dilarang memukul yang mengakibatkan kecederaan fizikal mahupun emosi, dan sebagainya.

http://www.salafy.or.id/

Jatuh bangun Islam di Andalusia

Mohd Azmir bin Maideen,
Kejayaan pasukan Tariq ibn Ziyad menguasai kota Andalus pada tahun 711M sehingga ke tampuk kerajaan “Nasriyyah” atau “Bani Ahmar” yang mengakhirinya pada tahun 1492M, pernah melakarkan catatan pemerintahan Islam yang hebat. Tempoh tersebut hampir mencapai lapan abad! 800 tahun, suatu jarak yang seharusnya menjadi renungan  buat masyarakat Islam di seluruh dunia.

Tempoh tersebut membuktikan betapa kemunculan Tamadun Barat ada kaitannya dengan kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di Andalus. Ketika itulah dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang megah dengan munculnya tokoh-tokoh Islam kawakan seperti Ibn Hazm (994M-1064M), Ibn Rushd (1126M-1198M), Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr (1091-1162M) dan ramai lagi. Termasuklah golongan elit Kristian yang dipimpin oleh filosof terkenal Thomas Aquinas (1225M-1274M) dan Maimonides (1135M-1205M), seorang ahli teologi yang pernah terkenal di Andalus ketika pemerintahan Islam, sedangkan beliau berbangsa Yahudi.

Kejayaan Islam membina ketamadunan di Andalus, sesungguhnya sesuatu yang sangat mengagumkan. Lebih memberi kesan jika turut ditinjau daripada aspek perkembangan dan kejatuhan Andalusia itu sendiri demi mencari kesimpulan yang baik oleh kita semua.

Secara integral, para sejarawan bersepakat menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Andalusia adalah di bawah pimpinan Tariq ibn Ziyad. Beliau adalah tokoh Islam terkenal telah memimpin pasukan tenteranya mengharungi Gibraltar (asalnya Jabal Tariq) yang memiliki kedudukan strategik pintu gerbang para pedagang antarabangsa, iaitu para pedagang lazimnya menggunakan laluan tersebut bagi mengharungi lautan Atlantik dan Mediterranean.

Sebelum pembukaan Islam, wilayah Andalus dimonopoli secara rakus oleh golongan bangsawan (noble lord) sehingga berlaku penindasan terhadap golongan bawahan. Krisis ini menyebabkan ramai rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan pihak pentadbiran negara mereka. Kesannya menyebabkan banyak tanah pertanian terbiar beku, industri terpaksa ditutup dan sekaligus melumpuhkan ekonomi Andalus.

Menyedari kepincangan itu, Gabenor “Visigothic” (Visigoth) iaitu Count Julian berpaling tadah dan menentang Raja Don Roderick, beliau turut bekerjasama dengan Tariq ibn Ziyad untuk mengembalikan keadilan di wilayah tersebut. Pendirian Julian itu juga diriwayatkan ada kaitannya dengan tindakan Don Roderick yang memperkosa isteri dan anak perempuannya.

Tariq ibn Ziyad memimpin pasukan Islam hanya berjumlah 7,000 orang, berdepan pula dengan tentera Don Roderick yang berjumlah seramai 100,000 orang. Lalu bagi meningkatkan semangat pasukan tenteranya di perlawanan yang tidak seimbang ini, dikatakan bahawa Tariq ibn Ziyad mengarahkan agar kapal mereka dibakar sambil digambarkan beliau berpidato;

"Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran..."

Kalimat ini dikobarkan oleh Tariq ibn Ziyad bagi menaikkan semangat pasukan tentera Islam dan akhirnya tercatat dalam sejarah penyebaran Islam ke Andalus. Walau bagaimanapun ia diragui oleh sesetengah pengkaji terutama hal yang melibatkan pembakaran kapal kerana usaha menakluk Andalusia pada peringkat pertama melalui jalan laut sebenarnya dirintis awal oleh Tarif ibn Malik atau dikenali Abu Zurah bin Malik al-Nakha'ei.

Tarif yang mula-mula bersama kekuatan pasukan armada laut bagi meraih jalan ke arah penaklukan Semenanjung Iberia itu. Hal itu telah mendorong Gabenor Qayrawan, Musa ibn Nusair dan seterusnya Tariq ibn Ziyad bergerak bersama demi menakluk Andalus. Oleh itu, ada keraguan bagi Tariq mengarahkan kapal dibakar kerana sepatutnya Tarif yang lebih layak memerintahkan begitu. Kerana Tarif memimpin kekuatan armada, sedangkan Tariq memimpin kekuatan artileri.

Kemenangan tentera Islam menguasai medan Gibraltar telah membuka ruang untuk pasukan Islam terus menguasai Andalus sehingga Tariq dapat meneruskan penguasaan ke Cordova dan Toledo. Kemenangan demi kemenangan dapat dicapai oleh tentera Islam dalam usaha melebarkan kerajaan Islam di bumi Eropah termasuk Bandar Zaragoza, Leon, Malaga, Sevilla dan beberapa buah bandar lain.

Sejak dari itu, Islam mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan bermulalah penguasaan Bani Umaiyyah di Andalus. Khalifah Bani Umayyah yang berpusat di Dimashq telah mewakilkan beberapa orang Gabenor untuk mentadbir Andalus. Seramai 20 orang Gabenor telah mentadbir Andalus dari tahun 718-756M. Gabenor yang pertama ialah Abdul Aziz ibn Musa ibn Nusayr dan yang terakhir ialah Yusuf ibn Abdul Rahman al-Fihri.

Yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalus ini ialah pemerintahannya kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah, walaupun kerajaan Bani Abbasiyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada tahun 132H/ 750M. Hal ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam yang memimpin majoriti umat Islam sudah beralih kepada Bani Abbasiyah, namun Andalus terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah.

Fakta sejarah mengakui bahawa sebelum Islam membuka Andalus, masyarakat Kristian Eropah hidup di dalam kejahilan dan kegelapan pimpinan Raja Roderick. Lantas, usaha-usaha dilakukan oleh pemerintah Islam di Andalus telah memberikan impak positif sehingga Barat kemudiannya dapat membina tamadun mereka yang membanggakan pada hari ini.

Pada peringkat awal, pemerintah Islam berjaya mengawal masyarakat di Andalus walaupun mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Ada dalam kalangan mereka berbangsa Yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain. Kecemerlangan dapat dicapai apabila masyarakat berbilang kaum ini dapat dijaga dengan sempurna. Namun, antara punca kejatuhan kerajaan Islam Andalusia ini juga turut disebabkan oleh kepelbagaian budaya yang merenggangkan hubungan mereka sesama mereka. Fahaman rasis yang menebal akhirnya mengakibatkan Andalus turut menjadi lemah.

Sebenarnya pemerintahan Islam di Andalus berjaya menjamin hak-hak asasi kaum lain sehingga mereka boleh membantu dalam usaha meninggikan tamadunnya. Gambaran ini dapat difahami menunjukkan bahawa perpaduan antara kaum berasaskan jaminan terhadap hak-hak kaum minoriti sebenarnya mampu mewujudkan kestabilan selagi tidak bertentangan dengan akhlak Islam. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan tamadun Islam Andalus menguasai dunia dan meniti di bibir umat manusia.

Namun, seakan sudah menjadi lumrah zaman bahawa ada kitaran ketamadunan seperti yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun di dalam "Muqaddimah" sebagai sunnatullah. Kitaran ketamadunan itu menyebabkan kita berfikir bahawa segala apa yang berada dipuncak pasti akan melalui tempoh kejatuhan.

Kitaran inilah yang turut melanda Andalus sehingga kejayaan yang dibina semakin lama semakin menunjukkan ketidakmampuan untuk dipertahankan. Yang dimaksudkan ialah ketidakmampuan untuk mempertahankan penguasaan Islam di sana dari sudut politik pentadbiran, bukannya daripada sudut kecemerlangan intelektual dan fizikal.

Kejatuhan Andalus tidak berlaku sekelip mata, tetapi melalui proses yang panjang. Sayangnya, tiada kalangan pemimpin umat Islam ketika itu yang berjaya mempertahankan Andalus. Tiada Salahuddin al-Ayubi, tiada Saifuddin Qutuz, dan tiada Muhamad al-Fateh. Bibit-bibit kejatuhan bermula setelah pemerintahan Andalus dijuzukkan kepada kerajaan-kerajaan kecil.

Andalusia yang diperintah oleh satu kerajaan, satu khalifah, berpecah menjadi 20 buah kerajaan kecil. Pembentukan kerajaan kecil ini turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa'if, ia wujud disebabkan semangat puak, sikap fanatik terhadap bangsa. Mereka tidak langsung berpegang kepada semangat Ukhuwwah Islamiyah dan seakan menjurus kepada ketuanan kaum sesama sendiri.

Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Cordova menghadapi masalah dalaman iaitu bergaduh dan bercakaran, malah ada yang saling menindas untuk merebut kuasa khalifah dan penguasaan wilayah. Akibatnya, Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai "al-Qurtubah" akhirnya menjadi bandar yang terakhir jatuh sepenuhnya ke atas Raja Ferdinand. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Andalus di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir di Granada dari tahun 620H-897H. Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamatkan maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada digulingkan dengan cara yang lebih teruk.

Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah gugup dan menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang masyhur iaitu istana Al-Hamra' atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.

Berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, pergolakan anak-beranak diraja berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada. Sikap Abu Abdullah yang hilang pertimbangan dan tidak berpuas hati dengan pewarisan takhta yang diputuskan oleh bapanya, menyebabkan beliau memberontak sehingga sanggup mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta pemerintahan tetap tidak menyebelahi Abu Abdullah.

Tetapi kerakusan Abu Abdullah tidak padam, bahkan perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama dengan Raja Ferdinand untuk merampas kembali takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang relatif disebabkan tekanan daripada Ferdinand untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak bukan ialah penyerahan wilayah Granada kepada kerajaan Ferdinand, lantas masyhurlah Ferdinand yang beristerikan Isabella itu sebagai satu-satunya raja yang berjaya menumbangkan kerajaan Islam di Andalus.

Kejatuhan Andalus rupanya adalah kelemahan pemerintahan sanggup menggadai prinsip demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya mampu dicapai buat sementara waktu sahaja. Selain itu ia turut disebabkan beberapa faktor internal dan eksternal, iaitu :

i. Tiada mekanisme dalam mencari pengganti yang layak untuk meneruskan pemerintahan di Andalus. Kebanyakan mereka hanya mewariskan kepimpinan melalui sistem monarki yang pada waktu itu sudah korup, tiada akauntibiliti dan hilang integriti di mata rakyat.
ii. Tiada wala' terhadap khalifah yang sah mentadbir kerajaan. Masing-masing menyimpan hasrat untuk menguasai wilayah pemerintahan sehingga berlaku perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
iii. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.
iv. Perbezaan fikrah yang wujud sehingga hilang adabul ikhtilaf dalam kalangan mereka, lalu perbezaan tersebut banyak membawa jatuh-menjatuhkan, runtuh-meruntuhkan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.
v. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.

Kesan daripada faktor inilah umat Islam dibunuh atas restu Pope dan ada yang dihalau keluar dari Andalusia, bahkan ada antara mereka yang terus diperangi lagi dan lagi walaupun sudah bersedia keluar dari Andalusia. Musibah ini turut terpalit kepada kaum Yahudi, iaitu tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah seterusnya runtuh.

http://www.tarbawi.my

Jom Selawat