Tuesday, April 22, 2014

Apabila usia melebihi 40 tahun


“...apabila dia telah dewasa dan usianya sampai 40 tahun, ia berdoa, Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (Surah al-Ahqaf : ayat 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah SWT, maksudnya;

“...apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?...” (Surah al-Fathir : ayat 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janji-Nya dalam ayat selepas itu - (maksudnya) Kematangan.

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi SAW seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

“Dibangkitkan Rasulullah SAW pada usia 40 tahun.” (riwayat al-Bukhari).

Nabi Muhammad SAW diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan-jabatan elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun; Soeharto menjadi presiden pada umur 46 tahun; John F Kennedy, 44 tahun; Bill Clinton, 46 tahun; Paul Keating, 47 tahun; sementara Tony Blair, 44 tahun.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting.

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) tahap, iaitu
1.Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh)
2.Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun)
3.Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun)
4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati)

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah SAW;

“Seorang hamba muslim apabila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepada-Nya. Apabila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan apabila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi.” (riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah SWT sekali gus konsisten terhadap Islam, maka Allah SWT akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati-hati juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas RA dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syarak lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”

Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada pencipta-Nya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad SAW;

“Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati.”

Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara. Sejak Nabi Adam AS sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah SWT tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak. Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa.

http://detikislam.blogspot.com/

Monday, April 21, 2014

Cukai, GST, amanah dan hukum Islam

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN 

HUKUM KERAJAAN MENGENAKAN CUKAI

Penulisan ringkas ini akan berkongsi persoalan cukai menurut ahli fiqh Islam berdasarkan ijtihad masing-masing. Secara umumnya, para ulama fiqh terbahagi kepada tiga kumpulan dalam menentukan hukum kerajaan mengenakan cukai. Ia seperti berikut:-

 1.Haramnya cukai secara mutlak. Mereka berhujjah berdasarkan dalil :

a.Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara bathil.

Justeru, pungutan cukai dianggap tergolong dalam pendapatan yang bathil kerana tanpa rela dan keperluan mendesak.

b.Sabdaan Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut, ertinya: “Janganlah kami menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya.” (Riwayat Ahmad : hadis sohih)

Justeru, mengambil cukai dari rakyat sedang rakyat tidak rela disebabkan pendapatan kerajaan yang mewah adalah tiada halal.

c.Sabda Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam, Ertinya: “Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, seseungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya.” (Riwayat Muslim : Sohih)

Justeru, pemungut cukai adalah haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.

d.Nabi bersabda, Ertinya: “Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (sebahagian menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka.” (Riwayat Ahmad : Sohih menurut Al-Suyuti)

2.Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.

a. Dalil mereka: Sabda Nabi, ertinya: “Sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat.” (Riwayat At-Tirmidzi : Dhoif menurut Al-Suyuti, Albani, )

b. Berlandaskan Siyasah Syari’iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Sebagaimana fatwa Imam Malik yang berkata, ertinya:

Wajib ke atas orang ramai menebus tawanan perang mereka walaupun mereka terpaksa menggunakan harta mereka sendiri (Ahkam al-Quran, Ibn Arabi, 60/1). Imam Al-Qurtubi juga menguatkan hal ini dengan katanya “Sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum muslimin dalam sesebuah negara iaitu selepas digunakan wang zakat dari baitul mal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (dari cukai rakyat). (Tafsir Al-Qurtubi, 2/223).

Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Al-Syatibi dalam kitabnya al-I’tisom. Imam Al-Ghazzali juga menyatakan yang sam apabila dia menyebut, ertinya, “Apabila sudah kosong milikan negara daripada harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan dan meninggalkan tugasan tentera, maka dibimbangi masuknya musuh ke neraka umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi keperluan tentera. (Al-Mustasfa, 1/426)

Namun, konteks fatwa ini kelihatan tidak begitu menepati situasi Malaysia kerana negara kita masih tidak sampai ke tahap tersebut.

3.Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.

Pendapat ini dipegang oleh Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, hlm 116), begitu juga Sheikh Abu a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan cukai jika wang bayaran cukai itu adalah bagi kemaslahatan awam. (Nazariyat al-Islam, hlm 313). Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam sambil mengatakan perkataan ‘Maks’ di dalam hadis ancaman neraka itu oleh Nabi SAW itu membawa maksud khusus iaitu, ertinya: iaitu jenis cukai yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk bersenang-senang mereka dengannya dan penyokong mereka walaupun menyempitkan rakyat mereka. (Fiqh al-Zakat, Qaradawi, 2/987)

Prof. Dr Ali Muhydin al-Qurrah Daghi menyatakan Ini juga merujuk kepada sebahagian cukai yang dikenakan pada zaman pemerintahan awal Islam seperti AL-KHARRAJ (cukai tanah), AL-'USHUR ( cukai perniagaan 10 % ke atas perniagaan non muslim) dan AL-JIZYAH (cukai individu) . Kesemua cukai ini digunakan sebaikanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.

TARJIH PANDANGAN

Penulisan ringkas ini tidak mampu untuk membuat tarjihan pendapat yang terkuat secara komprehensif, namun secara umumnya perbincangan hukum cukai dalam Islam tidak dapat lari dari menimbang di antara maslahat kebaikan dan kemudaratan darinya. Walaupun sewaktu wujudnya dalil-dalil berkaitan cukai, namun menurut majoriti ulama’, nas yang berkait dengan urusan siyasah dan pentadbiran mesti dilihat kepada ‘illah atau sebab utamanya ianya disebutkan oleh Nabi SAW. Melihat kepada objektifnya iaitu membawa lebih kebaikan berbanding kemudaratan. Beberapa jenis hukum dalam urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman serta keperluan.

Namun apapun, kaedah fiqh ada menyatakan “Menolak Keburukan didahulukan dari Membawa Kebaikan (tambahan)”. Justeru, jika benar tanpa GST atau cukai jualan dan servis, maka ini ekonomi negara bakal terancam, kelangsungan negara menjadi longgar, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke semasa.

Sebahagian ahli ekonomi menyimpulkan cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan. Manakala sebahagian yang lain menyatakan cukai hanya menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal, kenaikan harga dalam majoriti barangan yang akhirnya membawa kesan buruk kepada hampir semua kelas pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Disebabkan harga barang menjadi menaik, kuasa beli dan nilai matawang menjadi turun.

Cukai seperti ini mungkin sangat releven bagi sesebuah negara yang belum memperkenalkannya khususnya seperti cukai pendapatan, korporat dan sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai baru sedangkan kantung kewangan negara masih utuh dan perbelanjaan awam masih boleh dikawal dan diperbetulkan, sudah tentu lebih cenderung hukumnya kepada HARAM, kecuali jika ia bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua ulama.

Negara Malaysia yang telah sedia ada cukai jualan dan servis sejak beberapa puluh tahun lepas, namun untuk meniadakannya secara drastik bakal menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan, pentadbir awam dan negara berada dalam kesukaran yang dibimbangi membawa lebih mudarat berbanding manfaat. Jika hukum haram yang ingin dipegang sebagai terkuat, maka sejak berpuluh tahun sebelum ini cukai ini sudah haram dan patut ditegaskan agar tidak perlu dibayar serta jangan dibayar. Bukanlah sekarang masanya untuk terus menolak cukai secara sepenuhnya.

Berkenaan GST pula, jika mampu dibuktikan sebagai penyusunan semula metode cukai dan seterusnya mampu diurus dengan lebih baik, telus dan lebih kurang menekan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan khidmat sebelum ini, maka saya rasakan GST boleh disokong pelaksanaannya atas dasar, mengambil kaedah Fiqh iaitu mengambil yang kurang mudarat di antara dua kemudaratan.

ANTARA SYARAT

Namun tentunya, keharusan berdasarkan pertimbangan kaedah “yang kurang mudarat dari dua mudarat” ini mestilah diikat dengan beberapa perkara antaranya seperti :-

1.Kadar 6 % patut dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. Mungkin kadar 3 % lebih sesuai sebagai permulaan.
2.Sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan tindakan keras dan segera bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima tidak disalahgunakan oleh pentadbir awam dan ahli politik yang berkuasa. Kita tidak mahu laporan kelemahan dan salah urus tadbir kewangan yang didedahkan Jabatan Audit Negara pada setiap tahun menjadi hanya bebelan awam secara berkala tanpa sebarang tindakan jitu.
3.Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut diberi kuasa dan kemampuan pendakwaan dengan lebih berkesan agar tiada peniaga yang mampu lari dari GST atau tiada pegawai awam boleh memanipulasi pelaksanaan GST untuk kepentingan mereka.
4.Pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme terbaik dan jitu dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan.
5.Peruntukan bajet kepada semua kementerian yang BELUM digunakan sewajarnya dilaporkan semula dalam bajet tahun berikutnya. Jangan dipaksa sesebuah jabatan atau kementerian menghabiskan wang peruntukan sehingga sebahagian mereka ‘terpaksa’ menghabiskannya  kepada perkara yang sia-sia dan merugikan rakyat serta pecah amanah.

Pada waktu beberapa perkara utama ini gagal dipastikan dan jika kemudaratan pula bertambah ke atas peniaga dan rakyat, tatkala itu, pihak yang mengharuskan GST dikira telah membuat keputusan yang memudaratkan ahli negara dan rakyatnya, itu tidak lain membawa kepada dosa dan pengabaian amanah.

www.zaharuddin.net

Jom Selawat