Monday, June 27, 2011

Jadual Waktu Anggota Badan

"Setiap perkara di alam ini ada turutan atau jadual yang disusun supaya semuanya dapat berjalan dengan lancar dan teratur. Misalnya umat Islam ada jadual waktu solat, murid sekolah ada jadual pembelajaran, perjalanan keretapi ada jadual tiba dan bertolak.

Anggota badan manusia juga tidak ketinggalan mempunyai jadual yang tersendiri. Berikut adalah jadual am anggota badan yang tertentu;

Awal Pagi
3:00 am - 5:00 am
Paru-paru - Ini adalah waktu terbaik untuk bangun dari tidur. Ketika ini terdapat lebih banyak kandungan ozon di udara. Ini akan memberi satu sumber tenaga yang baru jika mengamal latihan pernafasan, yoga serta bertakafur. Mereka yang mempunyai asma tidak patut tidur waktu ini dan boleh merasai kesukaran bernafas.

Pagi
5:00 am - 7:00 am
Usus Besar - Mereka yang bangun tidur pada waktu ini tidak akan menghadapi masalah sembelit. Jika menbuang air besar dan mandi dengan air sejuk diselesaikan dalam waktu ini, masalah kegugupan boleh dihindarkan.

7:00 am - 9:00 am
Perut - Sarapan patut diambil dalam tempoh masa ini.

9:00 am - 11:00 am
Limpa - Tidak minum dan makan waktu ini walaupun setitik air. Jika makan pada waktu ini akan mengakibatkan suhu badan meningkat, menambahkan keletihan dan mengurangkan tahap pencernaan. Ini lebih terserlah pada pengidap diabetes yang akan merasa kegigilan dan mengantuk.

Tengahari
11:00 am - 1:00 pm
Jantung - Hanya air sahaja yang diambil pada ketika ini. Tidak sepatutnya melakukan kerja berat atau tidur di masa ini. Jika tidak lebih karbon dioksida akan bercampur dengan oksigen. Ini akan meningkat kemungkinan terkena serangan jantung, lumpuh atau kesakitan badan. Kebiasaannya pihak hospital akan lebih berjaga-jaga pada waktu ini kerana pesakit jantung dan diabetes berkemungkinan diserang sakit jantung berbanding pada waktu lain.

Petang
1:00 pm - 3:00 pm
Usus kecil - Makan tengahari pada waktu ini. Selepas itu duduk tutup mata untuk rehat selama 5 minit. Elakkan dari tertidur.

3:00 pm - 5:00 pm
Pundi Kencing - Sesuai untuk mengambil minuman seperti jus buah atau teh.

Senja
5:00 pm - 7:00 pm
Buah Pinggang - Ini adalah masa untuk bersantai dan rehat dari kerja harian. Jika tidak akan memudaratkan ginjal dan jangkitan salur kencing.

Malam
7:00 pm - 9:00 pm
Dinding Jantung - Makan malam patut diambil pada waktu ini. Jika tidak akan menimbulkan getaran atau sakit di dada.

Lewat Malam
9:00 pm - 11:00 pm
Ini adalah masa untuk mengembalikan semula tenaga organ-organ yang bekerja sejak pagi. Oleh itu sebaiknya waktu ini seseorang itu hendaklah baring dan bersedia untuk tidur. Elakkan dari membaca buku, menonton tv atau bekerja.

Tengah Malam
11:00 pm - 1:00 am
Empedu - Waktu tidur. Jika masih berjaga akan menyebabkan badan kekurangan tenaga untuk bekerja di hari esoknya.

Awal Pagi
1:00 am - 3:00 am
Hati - Waktu tidur lena. Jika tidak akan memberi kesan kepada penglihatan dan badan lesu.

Begitulah secara ringkas jadual waktu badan manusia. Tidak pasti pula sejauh mana kebenarannya tetapi bolehlah jadikan ini sebagai panduan am kehidupan seharian. Jika ada pembaca yang mengetahui asal-usul maklumat ini, dapatlah kiranya berkongsi sumbernya di sini.
Sumber dipetik dari : hikmah.azad.com

Sunday, June 26, 2011

Berikut adalah senarai cuti umum Malaysia 2011 :


1 Jan (Sat) Tahun Baru (Kecuali Johor, Kedah, Kelantan, Perlis & Terengganu)
11 Jan (Tue) Hari Hol Almarhum Sultan Johor (Hanya Johor)
14 Jan (Fri) Hari Jadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Hanya Negeri Sembilan)
16 Jan (Sun) Hari Jadi Sultan Kedah (Hanya Kedah)
20 Jan (Thu) Thaipusam (Hanya untuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Penang & Selangor)
1 Feb (Tue) Hari Wilayah Persekutuan (Hanya untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya)
3 Feb (Thu) Tahun Baru Cina National
4 Feb (Fri) Tahun Baru Cina (2nd Day) National (Kecuali Kelantan and Terengganu)
15 Feb (Tue) Hari Jadi Nabi Muhammad (Maulidur Rasul) National
4 Mar (Fri) Ulang Tahun Pertabalan Sultan of Terengganu (Hanya Terengganu)
30 Mar (Wed) Hari Jadi Sultan Kelantan (Hanya Kelantan)
31 Mar (Thu) Hari Jadi Sultan Kelantan (Hanya Kelantan)
15 Apr (Fri) Ulang Tahun Pengistiharaan Melaka Bandaraya bersejarah (Hanya Melaka)
19 Apr (Tue) Hari Jadi Sultan Perak (Hanya Perak)
22 Apr (Fri) Good Friday (Hanya Sabah & Sarawak)
1 May (Sun) Hari Buruh National
7 May (Sat) Hari Hol Pahang (Hanya Pahang)
17 May (Tue) Hari Wesak National
17 May (Tue) Hari Jadi Raja Perlis (Hanya Perlis)
30 May (Mon) Harvest Festival (Hanya Sabah & Labuan)
31 May (Tue) Harvest Festival (Hanya Sabah & Labuan)
1 Jun (Wed) Hari Gawai (Hanya Sarawak)
2 Jun (Thu) Hari Gawai (Hanya Sarawak)
4 Jun (Sat) Hari Jadi Agong National
29 Jun (Wed) Israk & Mikraj (Hanya Kedah, Negeri Sembilan & Perlis)
7 Jul (Thu) Ulang Tahun Georgetown Bandaraya Sejarah Dunia (Hanya Penang)
9 Jul (Sat) Hari Jadi Governor Penang (Hanya Penang)
20 Jul (Wed) Hari Jadi Sultan Terengganu (Hanya Terengganu)
1 Aug (Mon) Awal Ramadan (Hanya Johor, Kedah & Malacca)
17 Aug (Wed) Nuzul Al-Quran (Hanya Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Penang, Selangor & Terengganu)
30 Aug (Tue) Hari Raya Puasa * National
31 Aug (Wed) Hari Raya Puasa * National
31 Aug (Wed) Hari Kebangsaan National
10 Sep (Sat) Hari Jadi Governor Sarawak (Hanya Sarawak)
16 Sep (Fri) Hari Malaysia National
1 Oct (Sat) Hari Jadi Governor Sabah (Hanya Sabah)
8 Oct (Sat) Hari Jadi Governor Malacca (Hanya Malacca)
24 Oct (Mon) Hari Jadi Sultan Pahang Hanya Pahang)
26 Oct (Wed) Deepavali National
6 Nov (Sun) Hari Raya Haji * National
7 Nov (Mon) Hari Raya Haji (2nd Day) * (Hanya Kedah, Kelantan, Perlis & Terengganu)
22 Nov (Tue) Hari Jadi Sultan Johor (Hanya Johor)
27 Nov (Sun) Awal Muharram (Maal Hijrah) National
11 Dec (Sun) Hari Jadi Sultan Selangor (Hanya Selangor)
25 Dec (Sun) Christmas National

Wednesday, June 22, 2011

Al-'Adatu Muhakkamah


Kefahaman tentang suasana semasa dan adat setempat adalah amat penting dalam proses ijtihad dan mengeluarkan fatwa. - Gambar hiasan


DALAM proses ijtihad, para mujtahid akan merujuk kepada sumber-sumber utama syariah Islam iaitu al-Quran dan sunnah. Namun, pelaksanaan hukum-hakam tersebut akan mengambil kira situasi semasa dan kebiasaan masyarakat di sesuatu tempat itu.

Perlu difahami bahawa kedudukan sesuatu hukum itu tidak tertakluk mutlak kepada gambaran situasi semasa. Ia tetap didasari dengan wahyu Allah SWT. Namun, adat hanyalah salah satu faktor yang akan dipertimbangkan oleh para ulama dalam mengeluarkan hukum.

Justeru, melihat kepada adat sebagai salah satu faktor penyumbang kepada ketentuan hukum, maka para ulama telah menggagaskan sebuah kaedah fiqh iaitu 'Al-'Adatu Muhakkamah yang bermaksud, adat dijadikan hakim.

Kaedah ini berdasarkan beberapa dalil. Salah satunya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud yang bermaksud: Apa yang dinilai oleh kaum muslimin sebagai baik, maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa yang dinilai buruk oleh kaum muslimin, maka buruklah ia di sisi Allah (riwayat Bukhari).

Walaupun terdapat perbincangan di kalangan ulama tentang kedudukan Hadis ini sebagaimana yang ditakhrijkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya, tetapi maksud hadis tersebut bertepatan dan tidak bertentangan dengan akal. Justeru, banyak permasalahan fikah yang mengambil kira adat atau uruf di sesuatu tempat khususnya perkara yang tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis.

Perkara yang paling penting dalam memahami adat serta uruf yang diiktiraf di sisi para ulama adalah ia perlu bertepatan dengan Al-Quran dan Hadis. Jika ia bertentangan dengan kedua-dua sumber utama berkenaan, maka ia tertolak.

Sebagai contoh, keadaan masyarakat di sebuah tempat yang menerima riba sebagai suatu kebiasaan dalam urusniaga. Apabila memberikan pinjaman, mereka akan meminta bayaran yang lebih dan ia diterima oleh masyarakat berkenaan.

Ia tidak dianggap zalim dan mereka yang terlibat dalam transaksi tersebut bebas melakukan riba. Adat ini tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

Demikian juga apabila masyarakat telah menganggap tarian yang mendedahkan aurat sebagai seni dan adat yang perlu dikekalkan. Adat seumpama ini juga tidak boleh dijadikan hukum kerana jelas bertentangan dengan syariah.

Adat yang boleh diambil kira sebagai hukum juga hendaklah menepati maslahah iaitu ia membuka ruang kebaikan dan menolak kemudaratan.

Maslahah ini hendaklah meliputi kesemua umat Islam bukan hanya berkaitan individu-individu tertentu sahaja.

Pertimbangan para ulama berkenaan dengan masa, orang dan suasana juga dikenali sebagai fiqh waqi'. Beberapa hukum yang pernah diputuskan oleh cendekiawan yang pakar dalam syariah mempunyai kaitan dengan adat dan uruf sebagai pertimbangan hukum. Antaranya, hukum berkaitan had umur baligh, penentuan masa haid dan sebagainya.

Pernah suatu ketika Nabi SAW ditanya oleh Zaid bin Khalid berkenaan dengan hukum menangkap unta-unta yang terbiar. Nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Apa kaitan kamu dengannya. Biarkannya, kerana ia boleh menjaga diri dan mencari minumannya. Ia akan meminum air dan memakan pepohon yang ada sehinggalah ia dijumpai semula oleh tuannya… (riwayat Muslim)."

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi melarang menangkap unta yang tersesat. Hukum ini masih dipraktiskan pada zaman Nabi, Abu Bakar dan Umar al-Khattab.

Apabila tiba zaman Uthman bin Affan sebagai khalifah, pandangan beliau agak berlainan dengan apa yang disabdakan oleh Nabi. Pada zaman tersebut, Uthman mengarahkan supaya unta-unta yang terbiar ditangkap dan dijual.

Hasil jualan unta tersebut kemudiannya disimpan sehinggalah dituntut oleh tuan punya unta tersebut. Pada zaman Ali bin Abi Talib pula, beliau mengarahkan supaya unta-unta tersebut ditangkap dan dipelihara di sebuah tempat khas sehinggalah dituntut oleh tuannya.

Hukum fiqh bersifat semasa

Pendekatan yang berbeza itu dilaksanakan dengan mengambil kira suasana dan adat masyarakat. Pada zaman Nabi, masyarakat lebih amanah dan bertanggungjawab sedangkan pada zaman Uthman dan Ali, masyarakat semakin meninggalkan agama mereka.

Ini menunjukkan bahawa kefahaman tentang suasana semasa dan adat setempat adalah amat penting dalam proses ijtihad dan mengeluarkan fatwa.

Terdapat beberapa lagi contoh aplikasi ijtihad yang mengambil kira adat pada zaman para sahabat r.a seperti hukum talak tiga dengan satu lafaz. Ibnu Abbas r.a meriwayatkan sebuah Hadis yang bermaksud: Talak (dengan lafaz tiga talak sekali gus) pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan dua tahun pemerintahan Umar hanyalah satu. (riwayat Muslim).

Ini bermakna, pada zaman Umar r.a telah berlaku perubahan di mana lafaz talak tiga sekali gus akan dikira sebagai talak tiga. Ini kerana, Umar berpandangan bahawa keadaan masyarakat dan adat setempat telah berubah.

Masyarakat pada waktu itu suka bermain-main dengan talak di mana ada di kalangan mereka melafazkan talak sewenang-wenangnya. Jadi, beliau perlu mengetatkan peraturan dan hukuman untuk mendisiplinkan para suami agar tidak menjadikan wanita sebagai mangsa untuk dipermainkan.

Kesimpulannya, hukum-hukum yang berkaitan dengan fiqh adalah bersifat semasa dan mengambil kira adat sesuatu masyarakat sebagai pertimbangan.

Ini berlainan dengan perkara yang berkaitan akidah yang bersifat tetap dan tidak berubah. Sifat hukum fiqh yang murunah (fleksibel) ini menyebabkan syariah Islam relevan untuk semua tempat, masa dan keadaan.

Justeru, tiada alasan untuk kita meninggalkan hukum-hakam dalam meneruskan kehidupan di mana jua kita berada.

Monday, June 20, 2011

Manisnya Tahajud

1
alt

"Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, disisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.

Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, "Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!" Abu Sulaiman pula berkata, "Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini."

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.

Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.

Sabda Rasulullah bermaksud:

"Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka."

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur."

Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hamba-Nya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas."

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa."

- Artikel iluvislam.com

Hikmah Haram Makan Babi

0
alt

Sejarah Tragedi Penyakit Bawaan Khinzir

Pada tahun 1918 virus Influenza telah membunuh lebih daripada 20 juta manusia di seluruh dunia. Dan ada juga yang menganggarkan lebih 40 juta yang menjadi mangsa. Antara sebabnya apabila dibuat kajian ialah kuman-kuman ini sebenarnya datang dari babi-babi di Amerika, yang menjangkiti tentera-tentera Amerika pada Perang Dunia I. Dan tentera-tentera ini seterusnya membawa wabak ini ke merata tempat di pelbagai negara di seluruh dunia.

Dikatakan jumlah kematian berlaku dalam tempoh yang singkat dan wabak ini pada ketika itu adalah antara wabak yang membawa kematian yang cukup besar jika dibandingkan dengan lain-lain wabak penyakit moden pada masa itu. Dan setelah dibuat kajian terperinci, ternyata punca wabak ini adalah daripada kuman virus yang datangnya daripada babi.
(Sumber: The Civil Aboliotionist, New Pig Virus Capable of Infecting Human, New York, 1998 )

Pada tahun 1957 satu wabak yang dinamakan sebagai Asian Flu dan juga wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 adalah berkemungkinan berpunca daripada binatang ternakan, sebelum ianya menjangkiti babi. Di dalam babi pula, virus ini berubah kepada bentuk yang lebih berbahaya, sebelum ianya menjangkiti manusia. Wabak-wabak ini telah meragut nyawa lebih 2 juta orang.
(Sumber: Sun 26 Mac 2000, The 1918 Flu Pandemic: What Have We Learned From This? pg 1)

Betulkah Virus Boleh Berubah Dalam Bentuk Yang Lebih Bahaya Di dalam Khinzir?

Jawapan kepada soalan ini telah dijawab oleh Alex Fano, pengarang sebuah buku terkenal Lethal Laws - Animal Testing, Human Health and Environmental Policy. Beliau juga adalah Pengarah Medical Research Modernisation Committee. Di dalam buku tersebut, beliau telah mengesahkan, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah dan menjadi lebih berbahaya atau mutations, daripada semasa ke semasa.

Manakala di sekitar tahun 50-an pula, kita dikejutkan dengan cacing Trichina daripada babi yang menjadi penyebab kepada penyakit Trichinusis. Tidak ada ubat yang boleh mennyembuhkannya pada ketika itu. Dan oleh kerana itu, satu amaran telah dikeluarkan di Amerika tentang bahaya memakan daging babi. Amaran tersebut telah dikeluarkan di Washington Post bertarikh 31 Mei 1952 dan dikeluarkan oleh Dr. Glen Shepard.
(Sumber: Washington Post , 31 Mei 1952)

Virus-Virus Daripada Khinzir

Ternyata amaran yang dikeluarkan daripada firman Allah telah mula dapat disyukuri oleh mereka-mereka yang beriman dan mentaati perintahNya. Pelbagai kajian mula dibuat secara lebih terperinci.

Di dalam Journal of Virology 1997, dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang diketuai oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka, dari Universiti Wisconsin. Pertemuan mereka jelas menunjukkan, pada kerongkong babi ada sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya kepada manusia. Saintis- saintis menganggap babi sebagai mixing vessel atau 'tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya'.
(Sumber: The Detroit News, Scientists Discover the Infection Route Between Bird Virus and Pigs, Robert Cooke, Okt 20,1997)

Di dalam BBC News pula, pada 29 Oktober 1999, telah memfokuskan penemuan para saintis yang menunjukkan, virus babi menjadi punca berlakunya wabak-wabak yang paling teruk di dalam sejarah dunia perubatan moden pada tahun 1918. Saintis-saintis mendapati wabak-wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 juga berpunca daripada virus babi.

Mengikut kajian itu juga, virus binatang yang biasanya tak menjangkiti manusia bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang menjangkiti manusia, selepas memasuki sel-sel di dalam babi ini. Penemuan ini mampi memberi jawapan kepada punca empat wabak penyakit demam selsema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia pada abad ke 20.

Penyakit-penyakit ini bermula dengan serangan Spanish flu pada 1918, diikuti Asian flu pada tahun 1957 dan Hong Kong flu pada 1968 dan Russian flu pada 1977. Kajian-kajian oleh saintis ini menunjukkan kuman-kuman pembunuh ini dikeluarkan oleh babi sebelum menjangkiti manusia sejagat, terutamanya pada tahun 1918.
(Sumber: Centres For Disease Control & Prevention, Pandemic Influenza, USA 2000)

Dipetik dari: http://www.myilmu.net/mymedia/modules.php?name=News&file=print&sid=113

-Artikel iluvislam.com


Sunday, June 19, 2011

Majalah Terbaru: GEN-Q: Generasi Quran Kreatif

HARGA RM 7.00.....PENGEDAR DIPERLUKAN




PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Jom Selawat