Rukun solat ada 13:
1. Niat.
2. Takbiratul-Ihram (Allahu-Akhbar yang pertama).
3. Berdiri bagi yang mampu.
4. Membaca surah Al-fatihah.
5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).
6. Iktidal dengan tama'ninah.
7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah.
9. Tasyahhud/Tahiyyat Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad saw dalam Tasyahhud Akhir.
12. Membaca salam
13. Tertib.
=========================================================
HURAIAN RUKUN SOLAT
1.  Niat : niat dilafazkan di dalam hati. Lafaz yang disebut oleh mulut itu  tidaklah dipanggil sebagai niat. Niat solat berlaku semasa seseorang  mengangkat takbiratul-ihram iaitu tatkala ia mengata Allahu-Akbar.  Umpamanya, untuk solat Zuhur, maka seseorang itu akan  bertakbiratul-ihram dan lalu hatinya berkata:
Usolli fardhaz zohri arba'a raka'atin lillahi ta'ala
Niat dalam hati : Sahaja aku solat Fardhu Zuhur, empat rakaat, tunai, kerana Allah Taala
Nota:  tidak semua perkara dalam niat seperti contoh di atas adalah  perkara-perkara yang dituntut dalam perbuatan niat. Perkara yang  dituntut dalam niat ada 3, iaitu Qasad ("Sahaja aku solat"), Ta'arrudh  (Fardhu) dan Ta'yin (Zuhur, sebagainya).
Oleh itu, niat "Sahaja aku solat Fardhu Zuhur" sudah mencukupi syarat sebagai niat.
Niat  "Empat Rakaat", "Tunai" atau "Kerana Allah Ta'ala" adalah tidak  disyaratkan, bahkan hanya sunat hukumnya. Namun begitu adalah lebih baik  untuk menghadirkan kesemuanya di dalam hati.
Adapun niat  menjadi imam ("Imaman") atau makmum ("Makmuman/Makmumatan") ketika  takbiratul-ihram hanyalah disyaratkan pada sembahyang Jumaat sahaja,  tetapi pada sembahyang lain tidaklah disyaratkan dan hanya sunat  hukumnya.
Jika tidak diniatkan menjadi imam atau makmum  ketika takbiratul-ihram untuk sembahyang Jumaat, maka tidaklah sah  sembahyang Jumaat seseorang itu.
Jika seseorang makmum tidak berniat  menjadi makmum ketika takbiratul-ihram dalam sembahyang (selain daripada  fardhu Jumaat), dia masih lagi dibolehkan berniat mengikut imam pada  mana-mana rukun sembahyang, contohnya ketika rukuk. Namun begitu, adalah  makruh hukumnya jika seseorang itu berterusan dengan sengaja mengikuti  imam dengan tanpa berniat menjadi makmum.
Imam yang tidak  berniat menjadi imam ketika takbiratul-ihram, atau ketika mana-mana  rukun yang lain, tidaklah terbatal sembahyangnya ataupun sembahyang  makmumnya.
Bagi sembahyang Qasar (memendekkan solat fardhu  yang empat rakaat menjadi dua rakaat), perkara-perkara yang manjadi  tuntutan ketika takbiratul-ihram selain Qasad, Ta'arrudh dan Ta'yin  ialah niat Qasar. Maka bagi seseorang yang hendak solat Qasar perlulah  berniat sekurang-kurangnya: "Sahaja aku sembahyang Fardhu Zuhur Qasar."
Bagi  sembahyang sunat yang mempunyai waktu dan sembahyang sunat yang  mempunyai sebab, maka wajiblah disertakan di dalam niat hanya dua  perkara, iaitu Qasad ("Sahaja aku sembahyang") dan Ta'yin (sunat Hari  Raya Adha, sunat gerhana bulan, dan sebagainya).
Dituntut  juga dalam perkara niat ini ialah menentukan qabliyah (sebelum) dan  ba'diyah (selepas) dalam sembahyang sunat Rawatib. Ini tertentu kepada  sembahyang sunat Zuhur, Maghrib dan Isya' sahaja, seperti dinyatakan  dalam niat: "Sahaja aku solat Sunat Zuhur qabliyah/ba'diyah" atau  "Sahaja aku solat Sunat Sebelum/Selepas Zuhur."
Adapun  sembahyang sunat Subuh dan Asar tidaklah disyaratkan niat qabliyah,  kerana kedua-dua sembahyang tersebut hanya ada qabliyah sahaja dan tiada  ba'diyah (iaitu tidak ada solat sunat Rawatib selepas Subuh dan Asar).
Bagi  sembahyang sunat mutlak pula wajib disertakan di dalam niat semasa  takbiratul-ihram satu perkara sahaja iaitu Qasad. Umpamanya seseorang  hanya perlu berniat: "Sahaja aku sembahyang".
2.  Takbiratul-Ihram, iaitu mengucapkan Allahu-Akbar untuk memulakan solat.  Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar dengan lafaz lain.  Sebutan kalimah Allahu-Akbar itu diwajarkan agar tidak melebihi daripada  empat belas harakat (tujuh alif), dan pergerakan tangannya tidak  melebihi tiga kali pergerakan, kerana semua ini akan menjejaskan  kesahihan dan kesempurnaan solat.
Nota: sebutan Allahu-Akbar  yang teramat panjang ketika niat, dan pergerakan tangan yang  berkali-kali, adalah disebabkan oleh was-was atau berterusan tidak  kepastian sama ada apa yang dilakukanya itu telah sempurna atau belum.  Was-was adalah berpunca dari bisikan syaitan, dan seseorang yang ditimpa  was-was ini perlulah banyak berzikir, sebaiknya zikir  "Laa-Ilaha-Illallah."
3. Berdiri bagi orang yang berkuasa.  Sekiranya seseorang itu berdiri tetapi condong ke hadapan, ke belakang,  ke kanan atau ke kiri hingga tidak dapat dinamakan sebagai berdiri maka  hukum solat itu tidak sah. Sekiranya tidak mampu berdiri maka bolehlah  dilakukan solat secara duduk, baring mengiring, menelentang atau secara  mana yang termampu. Untuk solat sunat dibolehkan sembahyang secara  duduk, namun tidak digalakkan.
4. Membaca al-Fatihah: pada  tiap-tiap rakaat dengan memelihara segala makhraj dan tajwid fatihah.  Mazhab Syafi'e mewajibkan rukun al-Fatihah untuk makmum dalam solat  berjemaah.
5. Rukuk, berserta tuma'ninah. Sekurang-kurangnya  rukuk ialah membongkokkan belakangnya sampai dua tangan di atas dua  kepala lutut, disertai dengan tama'ninah iaitu berhenti sebentar sekadar  lama bacaan Subhanallah, dan anggota-anggota berat kemudian berhenti.  Doa tasbih ketika rukuk ialah:
Subhana robbiyal adzimi wabihamdi
"Maha suci Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya."
6. Iktidal: Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk, berserta tuma'ninah. Doa tasbih ketika iktidal ialah:
Sami Allahuliman hamidah
"Allah mendengar akan orang yang memuji-Nya."
Kemudian disambung pula dengan bacaan:
robbana walakal hamd'
"Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji."
7.  Sujud ialah meletakkan dahi di atas tempat sujud, dan dahi itu mestilah  tidak berlapik dengan sesuatu. Sekiranya terpaksa seperti dahi dibalut  kerana luka dan sebagainya, maka tidaklah wajib dibuka. Dahi yang  berlapik dengan songkok dengan sengaja tanpa sebab adalah tidak sah  solatnya. Anggota sujud ada 7:
     1. Dahi
     2. Dua tapak tangan
     3. Dua lutut
     4. Dua perut jari kaki
Doa ketika sujud ialah:
Subhana robbiyal a'la wabihamdi
"Maha suci Allah yang Maha Mulia dengan sifat kepujian-Nya"
8.  Duduk di antara dua sujud berserta tuma'ninah. Mengangkat kepala dan  badan untuk duduk di antara dua sujud ini mestilah mengandungi tujuan.  Oleh itu, sekiranya seseorang itu mengangkat dari sujud kerana tujuan  lain, umpamanya mengelakkan daripada binatang, maka hendaklah ia kembali  sujud semula. Duduk antara dua sujud merupakan rukun pendek maka tidak  wajar dilama-lamakan. Doa tasbih ketika duduk antara dua sujud ialah:
Rabbirgh firli warhamni wajburni warfa'ni warzuqni wahdini wa'aafini wa'fu'anni
"Ya  Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah  darjatku, rezekikanlah aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan  maafkanlah aku."
9. Tahiyyat/Tasyahud akhir. Membaca tahiyyat  akhir juga hendaklah dipelihara segala bacaan di dalamnya. Bacaan  tahiyyat akhir adalah seperti berikut:
Attahiyaatul  mubaarokaatus solawaatut thaibaatu lillah. Assalaamu'alaika  ayyuhannabiyyu warahmatullahi wabarakaatuh. Assalaamu'alaina wa'alaa  'ibaadillah hissolihinn. Asyhadu al laa ilaa ha illallah, wa asyhadu  anna Muhammadar Rasulullah. Allahummasolli 'ala sayyidina Muhammad,  wa'ala aali sayyidina Muhammad. Kama sollai ta'ala Ibrahim wa'ala aali  Ibrahim. Wabarik 'ala sayyidina Muhammad wa'ala aali sayyidina Muhammad.  Kama barok ta'ala Ibrahim wa 'alaa aali Ibrahim. Fil 'aalamina innaka  hamidummajid
"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik  adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah  serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah  yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku  naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Kurniakanlah  rahmat dan kesejahteraan Kepada junjungan mulia Muhammad saw dan ke  atas ahli keluarga baginda yang mulia, sebagaimana rahmat dan  kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan kepada Ibrahim dan ahli  keluarga Ibrahim. Dan limpahkanlah berkatMu kepada Muhammad dan ahli  keluarga Muhammad seperti mana berkatMu kepada Ibrahim dan ahli keluarga  Ibrahim. Sesungguhnya Engkau yang amat terpuji lagi amat mulia."
nota: ungkapan "sayyidina" di dalam contoh di atas hanyalah sunat hukumnya dan tidak mengapa jika ditinggalkan.
10. Duduk ketika tahiyyat akhir.
11. Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekurang-kurangnya; "Allahumma-solli 'ala Muhammad."
12. Salam pertama: Sekurang-kurang salam ialah "Assalamu'alaikum" bermaksud "salam sejahtera ke atas kamu."
13.  Tertib. Tertib ditakrifkan sebagai mendahulukan yang dahulu dan  mengkemudiankan yang kemudian. Solat yang tertinggal ketertiban  rukun-rukunnya dikira tidak sah.
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment