Tuesday, May 10, 2011

Asy-Sya'rawi tokoh tafsir terkemuka



Asy-Sya'rawi dianggap sebagai tetamu kehormat di Universiti Malik Abdul Aziz di Mekah


MUHAMMAD Mutawalli Sya'rawi dilahirkan di Mitaghamr Daqhiliayah, Mesir pada tahun 1911. Beliau juga turut digelar sebagai Ketua dari fakulti bahasa Arab Universiti Al-Azhar pada tahun 1941 dan biasa dipanggil dengan nama Asy-Sya'rawi.

Beliau yang memiliki ijazah dan menjadi tenaga pengajar pada tahun 1943 pernah mengajar di Madrasah Diniyah di Thantha, Iskandariah dan Zaqaziq.

Selain itu, beliau turut memegang jawatan sebagai pensyarah di fakulti Syariah, Universiti Malik Ibnu Abdul Aziz, Mekah Al-Mukaramah.

Pada tahun 1961, beliau dilantik sebagai Pengarah Dakwah di Kementerian Wakaf, Pengawas Bahasa di Al-Azhar (1962), Pengarah Perpustakaan Syaikh Al-Azhar (1964), Pengarah Utama Al-Azhar (1975) dan sebagai Menteri Perwakafan dan Urusan Al-Azhar pada tahun 1976.

Asy-Sya'rawi juga terpilih sebagai anggota Majlis Bahasa Arab pada tahun 1987, anggota Gerakan Pendiri Rabithah Alam Islami di Mekah.

Malah beliau dianggap sebagai tetamu kehormat di Universiti Malik Abdul Aziz di Mekah.

Menjadi khatib pada khutbah Arafah di Mekah pada musim haji tahun 1979. Selain itu, beliau juga menghadiri ratusan seminar dan simposium bertaraf antarabangsa bagi memberikan pencerahan kembali kepada Islam terutama yang menyentuh aspek kehidupan kaum Muslimin.

Asy-Sya'rawi turut mendapat anugerah Daulah Takdiriyah tahun 1988. Beliau juga turut mendapat gelaran Doktor Kehormat dari Universiti Mansurah, Mesir, pada tahun 1980.

Selain itu, beliau turut terlibat sebagai pembicara dalam siaran langsung Tafsir al-Quran pada setiap hari Jumaat di televisyen Mesir.

Di antara syairnya tentang hijrah Rasulullah SAW adalah

Mohon istirahatlah wahai cahaya yang mulia,

Dan ketampanan agung bagimu tak terlarang segala rahsia,

Katakanlah bagi pencari-Nya, sungguh kamu pemburu kemuliaan,

Mendapatkan petunjuk pada genggaman Jabbar,

Kamu adalah pembela, pejuang yang diharap oleh kaum tertindas,

Setiap sendi duniawi yang tidak dibangun atas agama,

Sesungguhnya bangunan di atas lumpur akan roboh.

Terdapat lagi beberapa karya-karyanya yang lain seperti Al adalah Al-Fatwa Kubra, Min Faidi al-Rahman fi Mu'jizati Al-Quran, Tafsir Al-Quran al-Adzim, Aqidatu al-Muslim, serta Labbaika Allahuma Labaik.

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada 17 Jun 1998 dan dikebumikan di tempat kelahirannya di Daqhiliyah.

Qazaf: Syarahan Dr Wahbah Az Zuhaily 14 Mei


Cendekiawan Islam dari Syria, Dr Wahbah Az Zuhaily (gambar) akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Sumpah dan Qazaf’ di Dewan Solat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada 14 Mei ini.

Beliau yang dipilih Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H akan mengupas tajuk berkenaan pada majlis yang berlangsung jam 2.30 hingga 4.30 petang itu.

Program tersebut adalah anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sehubungan itu, PUM dalam satu kenyataan menjemput orang ramai hadir majlis syarahan berkenaan bagi memahami isu sumpah dan qazaf.

Dr Wahbah mempunyai penglibatan dan sumbangan yang amat besar dalam dunia Islam dan umat Islam.

Beliau yang juga tenaga pakar dalam Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa (Majma Fiqh l-Islami), mempunyai kepakaran yang amat tinggi dalam penulisan ilmiah.

Karya Dr Wahbah menjadi rujukan umat Islam di dunia antaranya yang tersohor di Malaysia adalah Kitab Tafsir Al-Munir Fi Al-Aqidah Wa Al-Syariah Wa Al-Minhaj dan Kitab Fiqh Perundangan Islam.

Wawasan beliau sangatlah tinggi, mahu melihat ajaran al- Quran dan Sunnah terus bertebar di muka bumi.

Justeru itu, beliau menginfaqkan sepenuhnya diri beliau untuk kemajuan Islam.

Sunday, May 8, 2011

Di Manakah Cantiknya Seorang Wanita

Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja.

Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak.

Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.

Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan.

Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu.

Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam.

Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.

Anda ingin lebih cantik dan menarik?

# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.

# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.

# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.

# Pakailah "sabun istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.

# Rawatlah rambut anda dengan "selendang islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki.

# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin ukhuwwah.

# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian."

# Bedaklah wajah anda dengan "air wudhu."


Bila Air Mata Berbicara

.... dan mata pun terbuka. Lantaran bunyi alarm dari telefon bimbit dengan kalimah Lailahaillallah.

Alhamdulillah. Masih punya umur yang panjang. Bingkas bangkit. Kekasih telah lama menanti.

Usai Subuh yang singkat, ku duduk di atas sejadah usang, sejadah peninggalan arwah. Hanya itu saja yang tinggal.

Tatkala bibir melafaz taubat, istighfar yang panjang..

Air mata: Kau benar menyesal?

Aku: Ya. Aku menyesal.

Air mata: Apa yang kau kesalkan?

Aku: Banyak. Begitu banyak yang patut aku kesalkan. Kealpaan. Kesombongan. Kelekaan. Ah, begitu banyak untuk aku senaraikan satu persatu.

Air mata: Maka, mengapa tidak kau titiskan aku? Sudah lama kau tidak menangis, bukan?

Aku: Ya. (Perlahan. Dada menahan sebak.)

Air mata: Kau tak mahu menangis?

Aku: Bukan. Bukan aku tak mahu.

Air mata: Jadi? Apa kau tunggu lagi? Aku sudah lama tersimpan. Aku sudah lama menanti. Mengapa tiada setitis pun yang keluar? Atau kau hanya pura-pura kesal?

Aku: Tidak! Aku bukan berpura-pura. Sungguh, aku manusia yang banyak dosa. Aku tahu.

Air mata: Nah. Buktikan.

Aku: ... (Termenung) Aku... aku tak mampu. Kesedihan itu tidak menyelubungiku. Ia sudah hilang.

Air mata: Oh, alangkah ruginya. Kau tahu bukan, andai setitis aku mengalir di pipi itu mahupun basah hanya sehelai bulu mata mu, dosa mu terhapus. (1)

Aku: (Terus tertunduk malu. Apakah yang menghantui aku? Tangisan. Aku sudah tak mampu.)

Air mata: (terus menyambung bicara..) Apakah kau sudah sombong?? Kau sudah senang. Kau tidak lagi dibelenggu kesempitan. Kau kacang lupakan kulit??

Aku: Tidak!! Bukan!! (Meronta, menafi)

Air mata: Biarkanlah aku mengalir.

"Tangisilah dosamu sepanjang masa dengan bersungguh-sungguh, sesungguhnya tangisan meringankan kesedihan.

Jangan engkau lupa dosamu dalam kitab dan besarnya, sesungguhnya dosa-dosa meliputi manusia"

Air mata: Ah! Aku kecewa. Aku tahu kau telah lupa. Kau merasa nikmat dan bahagia?? Kau merasa sombong!! Kau sangka kau tidak berdosa!! Hati kau keras!! Ego!!

"Sesiapa yang takutkan Allah s.w.t maka perbanyakkanlah air mata dalam khalwat.
Semoga ianya setelah ingatan dan tangisan, air mata ditukarkan dengan kebaikan." (3)

Air mata: Sudahlah. Kau menangis cuma bila kau kecewa. Kau menangis cuma bila kau buntu.Kau menangis cuma bila kau merasa tak punya apa-apa. Kau lupa Sang Pencipta!!

Aku: bukan...(perlahan. Bibir terkunci. Hati sayu. Mahu lari.) Mengapakah ia tak mahu mengalir? Itu aku tak punya jawapan. Aku tak tahu! Sunguh, aku tak tahu!

Air mata: Ah, aku benar-benar kecewa. Jangan kau beri alasan. Manusia memang begitu.

"Aku mahukan air mataku sebagai lautan yang menumpahkan air, dari mataku atas apa yang telah luput dari zamanku.

Sebagai penyesalan daripadaku bagi kelemahan atas ketakutan, yang tidak diperolehi kesedihan melainkan belenggu ketakutan.

Demi Allah sekiranya sah tetapnya kesedihan, tidaklah aku mendapati melainkan tidur dalam kesedihan.

Alangkah baiknya mataku pada seluruh anggota, menangis atasku dengan mata yang tidak mengantuk." (4)

Matahari mula menampakkan muka. Hari sudah terang. Aku bangkit meninggalkan sejadah usang, tanpa air mata. Kesal.

*****

Rujukan:

1 : Hadith;

i) Rasulullah S.A.W. bersabda: "Tidak akan masuk ke dalam api neraka seseorang yang menangis karena takut kepada Allah hingga air susu ibu (yang sudah diminum oleh anaknya) kembali ke tempat asalnya." - [HR.At-Tirmidzi]

ii) Rasulullah S.A.W. bersabda : "Barangsiapa yang mengingat Allah kemudian dia menangis sehingga air matanya mengalir jatuh ke bumi niscaya dia tidak akan diazab pada hari kiamat kelak." - [HR. Al-Hakim dan dia berkata sanadnya shahih]

Kisah Hamba Allah dan Bulu Mata di Akhirat (hairilabubakar.blogspot)

(2) - (4) (sumber sajak): Ibnu al Jauzi 2006. Taman Nasihat Kebun Pendengar. Jasmin Enterprise. 1: 168-172.

Sumber Grafik: Amy Llyod

20 Amalan Murah Rezeki

0

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T. memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

Di antaranya:

01.Menyempatkan diri beribadah

Allah S.W.T. tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.]

02.Memperbanyakkan istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah S.W.T., yang menjadi sebab Allah S.W.T. jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi S.A.W.:

"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." – [Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a]

03.Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.:

"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." – [Riwayat at-Tirmizi]

04.Sentiasa ingat Allah S.W.T.

Banyak ingat Allah S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah S.W.T.beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd: 28]

05.Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda:

"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya." – [Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:

"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya." – [Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]

06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.:

"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." – [Riwayat Bukhari]

07.Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:

"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya" – [Riwayat Muslim]

08.Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

09. Banyakkan berbuat kebajikan

Ibnu Abbas berkata:

"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10.Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11.Menjalinkan silaturrahim

Nabi S.A.W. bersabda:

"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." – [Riwayat Bukhari]

12.Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki." – [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid]

13.Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah S.W.T. buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan baginya." – [Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]

14.Melazimi solat malam (tahajjud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..

15.Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." – [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]

16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." – [Ibrahim: 7]

Firman-Nya lagi:

"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." – [Ali Imran: 145]

17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.

Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim."

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18.Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19.Berikhtiar sehabisnya

Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.

Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20.Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti firman-Nya:

"Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan (keperluannya)." – [At-Talaq: 3]

Nabi S.A.W. bersabda:

"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." – [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.]

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.

Dengan takwa, Allah S.W.T. akan memberi "... jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." – [At-Talaq: 2-3]

Pendek kata, bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenar, kuncinya adalah dengan melaksanakan amalan-amalan takwa.

Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T., lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.


Sumber Asal : Majalah ANIS

Tuesday, May 3, 2011

Kuatkuasa perlu bagi kurangkan merokok


S. M. Mohamed Idris

Merokok tidak baik untuk kesihatan, mudah sahaja malangnya langkah yang diambil untuk menangani wabak merokok di Malaysia dilihat bertentangan – pada satu pihak kosnya dalam bentuk kesihatan manusia manakala satu pihak usaha kerajaan yang menjadi kesan negatif kepada penanam tembakau serta usaha untuk membasmi kekemiskinan. Hujah yang kedua itu tidak dapat diterima.

Perangkaan merokok di Malaysia amat membimbangkan; lebih 50% lelaki dewasa adalah perokok dan kira-kira 50 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun merokok setiap hari. Dianggarkan 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan merokok, menjadikannya pembunuh utama di negara ini. WHO menganggarkan tembakau membunuh bilion orang di dunia ini pada akhir abad ke 21. Kemudian terdapat kos rawatan kepada keluarga, mengurangkan produktiviti ekonomi dan meningkatkan kos penjagaan kesihatan awam.

Di Malaysia, tembakau ditanam untuk membantu petani memperolehi pendapatan dan mengurangkan kemiskinan. Bank Dunia, agensi kewangan global yang menyediakan modal bagi pengeluaran tembakau di negara membangun, telah menghentikan tindakannya yang menyedari akan kos kesihatan dan kini menyokong tanaman alternatif.

Pengulangan dakwaan bahawa penanaman tembakau mengurangkan kemiskinan hanya dibesar-besarkan, walaupun sebenarnya salah, apabila kita melihat contohnya kerajaan Malaysia sering menyelamatkan dan menawarkan subsidi kepada petani tembakau untuk mengekalkan daya maju ekonomi mereka dalam keadaan dilanda bencana alam dan lain-lain cabaran. Contohnya pada awal 2009 apabila tanaman tembakau di Pantai Timur musnah oleh banjir, menyebabkan kerajaan dan syarikat tembakau melanjutkan bantuan khas dalam bentuk subsidi kepada petani.

Seksyen 16 (1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2004 dengan jelas menyatakan, “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam kotak mengandungi tidak kurang daripada dua puluh batang”. Bagaimanapun amat malang sekali terdapat gesaan bagi menyokong ‘perjuangan penanam tembakau’ mengatasi pertimbangan kesihatan sepertimana yang dilihat melalui keputusan kabinet pada 2005 yang tidak menghentikan segera kotak rokok 14 batang sepertimana yang disarankan oleh Rangkakerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) tetapi akan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun.

Malaysia sepatutnya menerima WHO FCTC yang memberikan mandat terhadap beberapa jenis dasar kawalan tembakau. Bagaimanapun, kerajaan mengalami konflik dalam pelaksanaan dasar dan langkahnya memandangkan mereka membeli banyak saham dalam syarikat multinasional tembakau senaraian awam seperti British American Tobacco dan Japan Tobacco International Malaysia dan menggalakkan penanaman tembakau, dengan alasan ia diperlukan untuk membasmi kemiskinan. Pembelian saham ini oleh kerajaan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) melalui badan pelaburan yang dikawal oleh kerajaan termasuk dana pencen, perbadanan pelaburan kerajaan dan unit amanah kawalan kerajaan negeri.

Oleh sebab itu kami mengalu-alukan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa kerajaan akan mendenda mereka yang ditangkap merokok atau memiliki rokok secara haram dalam usaha untuk mengurangkan permintaan terhadap rokok itu, yang akan membawa kepada berhentinya aktiviti penyeludupan dan perdagangan haram seperti itu.

Rokok yang diseludup berharga serendah RM2 bagi setiap kotak 20 batang, manakala rokok bebas cukai pula diseludup oleh sindiket dan dijual secara haram oleh peruncit yang tidak bertanggungjawab di seluruh negara dengan harga antara RM3.50 dan RM4 bagi satu kotak berisi 20 batang rokok. Penyangak peruncit ini pula tidak hanya menjual rokok yang diseludup tetapi mencabuli peraturan kerajaan yang menetapkan harga rokok minimum (MCP) RM7.

Rakyat Malaysia dilaporkan merokok “amat mengejutkan dengan sembilan bilion batang rokok haram setiap tahun” – dengan anggaran 4 daripada 10 rokok yang dihisap di negara ini adalah yang haram, menyebabkan kerajaan kehilangan hasil daripada cukai sehingga RM2 bilion.

Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Kerajaan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil langkah yang serius memandangkan merokok telah mengancam individu dan kesihatan masyarakat. Langkah yang lebih konkrit mestilah dilakukan dalam dasar negara dan dilaksanakan dengan tegas untuk memerangi masalah penggunaan tembakau yang semakin berkembang.

1) Kurangkan Permintaan

- Jadikan harga rokok minimum yang lebih tinggi bagi rokok untuk memastikan perokok menghentikan tabiat mereka yang membazirkan wang itu. Harga runcit rokok berjenama premium perlu ditetapkan pada kadar yang lebih tinggi bagi kotak 20 batang, lebih tinggi berbanding harga semasa kira-kira RM10 sekotak. Harga premium rokok berjenama di United Kingdom ialah RM36.60, Ireland RM37.98, Singapura RM27.80, New Zealand RM27.20, Jepun RM10.60 dan Sri Lanka RM10.90.

- Menguatkuasakan pengharaman jualan rokok secara berasingan untuk memastikan peruncit tidak menjualnya.

- Menaikkan duti eksais ke atas produk tembakau dan meningkatkan penguatkuasaan untuk mencegah penyeludupan secara haram, barangan gelap atau rokok bebas cukai. Ini membantu untuk memastikan rokok tidak diperolehi dengan mudah oleh sebahagian besar penduduk.

- Hapuskan status bebas cukai bagi rokok dan produk tembakau yang dijual di lapangan terbang dan kedai bebas cukai.

- Hentikan penjualan rokok di atas kapal terbang Malaysia.

- Haramkan pameran rokok di kaunter bayaran setiap premis dan kedai runcit serta tempat tumpuan utama lain. Sebagai ganti, produk ini perlu dijauhkan daripada pandangan awam, contohnya di bawah kaunter bayaran, dan hanya dikeluarkan untuk dijual atas permintaan khusus pelanggan.

2) Melindungi daripada perokok pasif – melanjutkan pengharaman merokok meliputi semua tempat awam termasuk restoran, bar, taman dan kawasan rekreasi.

3) Memperkenalkan sistem pelesenan yang menghadkan bilangan dan lokasi premis yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Lesen seharusnya tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

4) Meningkatkan langkah menghapuskan penanaman tembakau, dan menjadikannya haram untuk menanam tembakau.

5) Meningkatkan dana kerajaan untuk pendidikan, kempen antimerokok, dan langkah untuk membantu perokok menghilangkan tabiat merokok mereka.

6) Melarang mengaitkan pendidikan, aktiviti sukan, biasiswa dengan syarikat dan produk tembakau.

7) Keazaman politik yang kuat dan melaksanakan dasar peraturan yang tegas untuk mengawal tabiat merokok di negara. Kerajaan perlu menghentikan menggunakan usaha menghapuskan kemiskinan dan perlindungan petani sebagai alasan untuk gagal mengambil tindakan tegas terhadap pengeluaran dan promosi tembakau.

8) Mengharamkan publisiti bagi produk tembakau dalam sebarang bentuk. Pemimpin kerajaan perlu menunjukkan contoh teladan dan melalui sokongan bagi mengurangkan perokok dan penyakit yang dikaitkan dengannya.

9) Hentikan sebarang bentuk tidak ketara daripada sokongan kerajaan untuk produk tembakau – pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan mestilah menghentikan daripada memberikan sokongan kepada syarikat tembakau multinasional sebagai warga korporat yang baik, dengan itu memberikan mereka peluang untuk mengurangkan kesan terhadap dasar tembakau.

10) Sokongan media juga turut diperlukan untuk menghentikan aktiviti merokok – pihak media perlu meningkatkan liputan terhadap kesan negatif tembakau untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap bahaya merokok dan menggalakkan mereka berhenti merokok.

Tembakau adalah penyebab penyakit utama yang boleh dicegah, kehilangan masa yang berharga dan kematian awal dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami menggesa kerajaan supaya tidak lagi berada dalam konflik tetapi meletakkan kepentingan orang ramai mengatasi kepentingan industri.

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang

No. 10, Jalan Masjid Negeri,

11600 Pulau Pinang

Tel: 04-8299511 Faks: 04-8298109 emel: idris_md@streamyx.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Thursday, April 28, 2011

Batas-batas bergurau



Ketawa yang berlebihan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah SWT. - Gambar hiasan

AGAMA Islam menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang, perpaduan dan harmoni.

Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satu cara untuk menyenangkan hati itu ialah dengan bergurau senda.

Adapun gurau senda itu suatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperoleh ketenangan dan kesejahteraan. Bahkan boleh membebaskan diri daripada keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad menjalankan kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat baginda seperti manusia biasa. Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah dan baginda juga pernah bergurau senda.

Antara senda gurauan Rasulullah ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Hasan: "Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Muhammad, lalu berkata 'wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga."

Maka Rasulullah bersabda: "Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga."

Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah bersabda: "Khabarkan kepada perempuan itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua."

Lalu dibacakan firman Allah yang tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya.

Dalam senda gurauan Rasulullah yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Daripada Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata: Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab: Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Daripada kisah-kisah tersebut dapat kita lihat bagaimana Rasulullah bergurau tetapi dalam perkara yang benar, bukan perkara yang dusta.

Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain. Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu membuat orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah.

Nabi Muhammad berpesan dalam sebuah hadis maksudnya: "Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Berkata Imam Al-Nawawi: "Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah."

Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka.

Bagaimanapun, jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan. Janganlah dalam gurauan itu ada unsur-unsur menghina, mencerca, mengolok-olokkan dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputus silaturrahim.

Jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada gurauan itu mungkin akan terjadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu puak daripada daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat: 11)


Jom Selawat