Friday, December 14, 2012

Bicara zakat: masuk saham daripada wang pinjaman

Ustaz Hamizul Abdul Hamid,

KULIAH SUBUH US HASMINUDDIN

TARIKH : 15.12.2012
 
HARI : SABTU
 
TEMPAT : MASJID FELDA CHUPING PAUH PERLIS

Info Terkini dari ustaz Din

Salamualaikum warahmatullah.

Kuliah maghrib (14.12.2012)
Penyampai :
Ustaz Hasminuddin Bin Hashim
Kitab :
Kitab Bidayatul Hidayah Karangan Imam Al Ghazali 
Tempat :
Masjid kampung Tradisi Changloon Kedah Darul Aman

Kepada yang tinggal berdekatan
dijemput hadir.
 

Monday, December 3, 2012

Menangislah kerana takut Allah



Detik Islam, 03 Dis 2012
Mengapa kadang-kadang kita menangis, dan siapa yang menetapkan fitrah (naluri) ini kepada kita yakni fitrah menangis? Seorang bayi sejak lahir ke dunia ini kita melihatnya menangis dan seseorang yang rapat dengan kita juga menangis. Maka menangis adalah fitrah Allah ciptakan pada diri manusia, dan kebanyakan orang-orang jahil meyakini bahawa menangis tidak ada manfaatnya. Akan tetapi terdapat beberapa kajian untuk membuktikan kebalikan dari keyakinan orang-orang jahil tersebut.

Dalam al-Quran menyebutkan bahawa menangis adalah sifat yang baik namun dengan syarat bahawa menangis itu kerana rasa takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Beberapa pakar psikologi melontarkan satu idea "Perubatan Dengan Menangis"

Seperti dilaporkan dari laman Al-Sofwa, satu penyelidikan dilakukan oleh para penyelidik AS dan Belanda menemui kebaikan di sebalik menangis bahawa kebanyakan orang merasakan bertambah baiknya perasaan mereka setelah menangis dan pada saat yang sama, hanya satu orang dari 10 yang keadaanya adalah buruk selepas itu (selepas menangis ).

Ahli psikologi dari University of South Florida, AS dan Universiti Tilburg, Belanda mendapati bahawa orang yang menangis dan mengeluarkan air matanya merasakan bertambah baiknya perasaan mereka.

Sebaliknya, tercatat bahawa sekitar satu pertiga daripada 3,000 orang yang mengikuti kajian tersebut, perasaan mereka tidak baik selepas menangis. Hasil kajian ini diterbitkan dalam American Journal of Psychology - mengaitkan antara manfaat menangis dengan tempat dan waktu menangis tersebut. Kajian ini melihat bahawa menangis memberikan kesan menenangkan, seperti pernafasan yang menjadi lambat dan hal ini dapat mengurangkan kadar denyutan jantung. Para penyelidik menganggarkan bahawa hal inilah menyebabkan mengapa manusia mengingat perkara yang positif selepas menangis dan menghidari perasaan tegang.

Para penyelidik melakukan penyelidikan mengenai tangisan di makmal dan mereka mendapati bahawa kebanyakan hasilnya adalah perasaan yang buruk. Mereka merumuskan bahawa sebabnya adalah keadaan tegang, imaginasi dan pemantauan. Hal-hal demikian akan menimbulkan perasaan-perasaan negatif yang menghalang kebaikan yang positif berkaitan dengan menangis.

Kajian ilmiah ini menguatkan apa yang ada dalam kajian sebelum ini, tentang manfaat menangis yang dirasakan oleh para penyelidik di bidang psikologi. Namun para penyelidik tersebut tidak mengetahui cara menangis yang betul dan berkesan!

Menangis kadang-kadang boleh menjadi ubat untuk banyak penyakit, tetapi dengan syarat bahawa tangisan tersebut disebabkan rasa takut kepada Allah. Dan itulah yang dikhabarkan al-Quran, dengan firman-Nya ketika menceritakan tentang orang-orang beriman yang khusyuk 'yang hati mereka merasakan pengaruh dari firman Allah, apa reaksi mereka? Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman tentang mereka:

"Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Surah al-Israa' :  ayat 109)

Lihatlah bagaimana penjelasan Ilahi ini mengaitkan antara menangis dengan khusyuk. Maka kedua-duanya adalah cara yang terbaik untuk mengubati penyakit mental.

Menangis disebabkan rasa takut kepada Allah menambah kekhusyukan dan ketakutan kepada Allah pada diri seorang yang beriman, dan membuatnya lupa kepada kesedihan, dan kebimbangan-kebimbangan lain.Mengapa hal ini terjadi? Orang yang dipengaruhi oleh firman Allah dan membayangkan kegerian hari kiamat serta mengingat kebesaran Sang Pencipta, nescaya akan dapat menghindari masalah dan kesedihan yang dihadapinya sehingga dia lupa akan masalahnya.

Ini adalah langkah pertama dalam proses menyelesaikan masalah apapun yang dihadapi iaitu dengan melihat masalah ini sebagai sesuatu yang remeh dan boleh diselesaikan sehingga dengan demikian dia akan mudah menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini telah ditegaskan oleh pakar psikologi dan program neuro-linguistic tentang penyelesaian masalah dan kesukarannya.

Oleh itu, Allah menyebutkan berkaitan "menangis" pada beberapa ayat di dalam al-Quran. Dia menjadikannya sebagai tempat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai indikasi kejujuran seorang mukmin takutnya kepada Sang Pencipta, Yang Maha Berkuasa. Allah berfirman:

“Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? Oleh hal yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadatlah kamu kepada-Nya (dengan sepenuh-penuh tauhid).”(Surah An-Najm: ayat 59-62)

Maka dalam nas al-Quran ini, Allah memerintahkan kita untuk menangis kerana takut kepada-Nya dan agar kita menjauhi perkara sia-sia serta menjauhi banyak ketawa. Hal itu tidak menghalang kita daripada tersenyum yang juga tergolong sebagai ubat (untuk mengubati kesedihan dan masalah).

Sesungguhnya menangis,, khusyuk, dan doa adalah resipi yang bagus untuk mengubati ketegangan jiwa. Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita termasuk antara golongan yang Allah berfirman tentang mereka:

"... Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami. " (Surah al-Anbiyaa : ayat 90)


Oleh itu, perlunya kita pada zaman ini berdoa, khusyuk, dan tangisan yang disebabkan kerana rasa takut kepada Allah.

Semoga Allah melepaskan kesedihan kita dan memberikan kesabaran kepada kita kerana tidak ada pemberian daripada Allah yang lebih luas berbanding kesabaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

http://detikislam.blogspot.com

Thursday, November 29, 2012

Isu palestin - GAMIS sanggah iLMU

Eikhwan Ali,
Iman adalah perjanjian taat setia (baiah) dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW untuk mengakui keesaan Allah SWT dan kenabiaan Muhammad SAW serta untuk mengengkari taghut – pihak yang menyimpang daripada jalan Allah SWT dan melakukan kezaliman mengikut hawa nafsu tanpa batas.

Al-Mu’min yang sebenar ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulullah, dan terus dengan keimanan itu tanpa ragu-ragu serta berjihad pada jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka. Menjelaskan ciri-ciri ini, Allah SWT berfirman, maksudnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan) imannya.” (al-Hujurat : ayat 15)

Warga Palestin Kental Iman

Perkara yang menyebabkan manusia menjadi ragu-ragu ialah kerana kebimbangan dan kerisauan terhadap rezeki dan ajal mereka. Lalu, tugas-tugas jihad ini diabaikan kemudian ditinggalkan kerana tidak beriman dengan sifat ar-Razak Allah SWT. Padahal ulat di dalam batu sekalipun telah disediakan rezeki oleh Allah sesuai dengan kebesaran dan kemuliaan sifat-Nya.

Maka disebabkan itulah perbuatan jihad yang merupakan buah daripada iman ini telah dijanjikan oleh Allah SWT untuk memperoleh al-fauz ul-‘azim (kemenangan yang besar). Kemenangan itu sama ada kemuliaan ganjaran jihad dan mati syahid atau kemenangan ke atas musuh-musuh Allah SWT.

Oleh itu, hanya orang yang mempunyai kekuatan iman mampu keluar ke medan perang dan bertahan di medan perang sehingga dia mendapat salah satu ketentuan Allah kepadanya; syahid atau kemenangan. Warga Palestin, setelah berlalunya beberapa zaman dan generasi, terus dengan semangat dan cita-cita mereka untuk membebaskan Palestin. Inilah bukti kekentalan iman umat Islam Palestin.

Perang di Palestin adalah Jihad


Jihad yang berasal dari kalimah al-juhd dengan pengertian keperitan dan kesusahan tidak bebas dari tiga tabiat; [1] Wujudnya usaha dan tenaga yang bersungguh-sungguh yang digembleng, [2] Adanya matlamat dan cita-cita suci lagi tinggi untuk dicapai, dan [3] Berhadapan dengan musuh yang menghalang dan menentang usaha dan perjuangan tersebut. Jihad di lapangan mana pun dan dengan cara apa sekalipun mestilah sesuai dengan tuntutan jihad fi sabilillah yang bermatlamatkan mendapat keredhaan, keampuanan dan rahmat daripada Allah SWT.

Penafian tidak berlakunya jihad di Palestin adalah suatu kenyataan yang bercanggah sekali dengan al-Quran. Perbuatan jihad yang dilakukan oleh warga Palestin dengan melibatkan ketenteraan, penggunaan senjata dan sehingga berlakunya korban yang tidak sedikit adalah selari dengan tuntutan Allah SWT iaitu untuk [1] Mempertahankan pencerobohan dan kezaliman daripada pihak musuh, serta sebagai pembelaan ke atas umat Islam yang dihalau dari tanah airnya sendiri (al-Hajj : 39), [2] Membalas dan mempertahankan pencerobohan musuh (al-Baqarah : 190), dan [3] Membela kaum muslimin yang lemah dan tidak terdaya dan yang telah dizalimi.

Warga Palestin Ada Kekuatan


Barangkali benar, kekuatan warga Palestin atau briged Izz ad-Din al-Qassam, sayap tentera HAMAS, tidak setanding dengan kekuatan Israel Defense Force (IDF). Namun, perkara ini tidak bermakna warga Palestin perlu melarikan diri dari medan jihad sedangkan tuntutan-tuntutan jihad itu telah jelas. Sirah Nabawiyyah pula telah memperlihatkan bahawa tidak pernah kekuatan persenjataan kaum muslimin mengatasi kekuatan persenjataan musuh. Dalam hal ini, apa yang dituntut ialah mempersiap sediakan segala kekuatan yang mampu disediakan (al-Anfal : 60).

Al-Qassam telah pun menunaikan tuntutan ini. Buktinya, briged itu masih mampu bertahan walaupun pertempuran itu telah berlangsung buat sekian lamanya. Hal ini beerti bahawa briged itu mempunyai kekuatan dan upaya yang tidak sebarangan. Walaupun seawal penubuhannya al-Qassam hanya mampu memiliki senapang, kini al-Qassam telah berupaya menghasilkan roket, senjata ringan automatik, bahan letupan dan mortar buatan sendiri. Menurut bekas pengarah CIA juga, briged ini mempunyai keupayaan untuk melakukan serangan menggunakan bahan toksid.

Bukan Gerila

IDF dan CIA memang mengakui bahawa al-Qassam adalah sebuah pasukan tentera yang memiliki ribuan anggota dengan pelbagai tahap kemahiran dan professionalism. Sudah pasti pasukan sebegini akan melakukan tindakan ketenteraan secara berstrategik dan beperancangan serta dengan arahan kepimpinan, bukannya membabi buta.

Operasi amaliah istisyhadiah (serangan berani mati) pula selari dengan al-Quran dan as-Sunnah. Pelbagai pertubuhan ulama mengakui operasi ini antaranya, Jabhah Ulama al-Azhar, Rabitah Alami Islami, Majlis Fatwa Kebangsaan Jordan, Majlis Fatwa Ulama Pakistan, Rabitah Ulama Palestin, Majlis Ulama Indonesia. Mereka membuat kesimpulan bahawa mati akibat operasi ini adalah syahid. Ramai ulama Islam juga menyokong operasi ini antaranya Dr Wahbah az-Zuhaili, Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti, Dr Yusof al-Qardhawi dan Dr Muhammad Abu Faris.

Warga Palestin itu membela tanah airnya, bumi Islam, agama, kemuliaan dan umatnya. Mereka benar-benar syahid kerana mengorbankan nyawa dengan kerelaan pada jalan Allah, ikhlas kerana Allah dan dalam keadaan mereka terpaksa melakukan cara sedemikian untuk menggerunkan musuh-musuh Allah SWT yang jelas menyatakan permusuhannya dan bangga dengan kekuatan mereka yang didukung oleh kuasa besar lainnya.

Boikot Sangat Praktikal


Tindakan memboikot barangan Yahudi Zionis dengan cara mengenali produk keluaran mereka dan memulaukan barangan tersebut serta memilih barangan tempatan atau selain daripada produk sekutu mereka adalah diiktiraf oleh ulama sebagai antara langkah praktikal untuk membantu warga Palestin. Antara ulama yang menyokong usaha ini ialah Dr Yusof al-Qardhawi, Syeikh Abdullah Jibrin, Dr Hamman Said, Dr Muhammad Abu Faris, Dr Naser Farid Wasil, Fatwa Majlis Ulama Sudan, dan Fatwa Majlis Ulama Palestin.

Kempen boikot ini sangat berkesan, pelbagai contoh dapat dilihat seawal pelancarannya pada 2002, McDonalds terpaksa menutup operasinya di timur tengah, dua daripada enam McDonalds di Jordan juga ditutup, di Mesir pula nama McDonalds ditukar kepada Manfoods dan 175 cawangannya telah ditutup. Amazon.com pula telah memutuskan hubungannya dengan Jurusalem Post.

Otomotif Texas Export, sebuah syarikat eksport kereta US juga telah membatalkan urusan jual beli dengan Israel. Kesan daripada boikot juga, Sharon terpaksa memohon bantuan kecemasan daripada Washington dan Israel mengalami inflasi yang melambung tinggi. Maka dakwaan bahawa boikot adalah semangat, angan-angan kosong dan khayalan semata adalah suatu kebodohan.

Salah Tindakan Hijrah Keluar dari Palestin


Seruan supaya warga Palestin berhijrah keluar dari Palestin dengan bersandar kepada peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah adalah sangat tidak tepat. Umat Islam berhijrah bersama Nabi SAW dari Makah, yang bukan di bawah kekuasaan kaum muslimin ke Madinah adalah untuk membina kuasa dan negara bagi umat Islam. Adapun Palestin adalah hak milik kekuasaan umat Islam.

Meninggalkannya beerti menyerahkan secara percuma tanah air milik kaum muslimin itu kepada Israel laknatullah, menghalalkan jenayah perang yang dilakukan mereka, merelakan kehormatan dan maruah umat Islam dicabul, dan pasti sekali jika sedemikian, Allah akan mencabut rasa gerun musuh terhadap umat Islam, hilanglah izzah bagi umat Islam. Dalam konteks perundangan antarabangsa pula, undang-undang atau kerajaan negara mana yang akan mengizinkan keadaan tersebut berlaku(?).

Kesimpulan

GAMIS merasakan amat kecewa sekali terhadap iLMU dengan pendirian sedemikian. Tidak hairanlah jika imej Islam yang ditonjolkan Umno banyak sekali bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan mengelirukan umat Islam.

Saya sekali lagi ingin menegaskan pendirian GAMIS sebagaimana yang telah  dikemukakan oleh Presiden GAMIS, Azan Safar, “GAMIS menyokong penuh perjuangan HAMAS dan warga Palestin untuk terus berurusan dengan Israel dengan ‘bahasa darah’. HAMAS dan rakyat Palestin pasti sekali akan mendapat salah satu dari dua kemuliaan; menang atau mati syahid.”

Eikhwan Ali ialah Timbalan Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Wednesday, November 28, 2012

email rasmi us din

Salamualaikum semua.....salam maal hijrah. salam tahun baru hijrah 1434h. semoga kehidupan hari ini lebih baik dari kehidupan hari semalam.

Semoga Allah memberikan kemenangan kepada Islam di tahun 1434h ini.

Tunaikan semua perintah yang diwajibkan Allah kerana menunaikannya akan mendapat pahala.
Perbanykkan amalan sunat yang boleh menguntungkan pelakunya.
Kurangkan perkara yang harus ditakuti membazir atau membuang masa.
Tinggalkan yang makruh itu lebih baik.
Tinggalkan terus segala yang diharamkan Allah tanpa  banyak alasan
 

Saya nak maklumkan disini email rasmi saya ialah : hasminuddin@ymail.com

Tuesday, September 18, 2012

Pertahan Nabi dengan amal sunnah, akhlak terpuji

Mohammad Fazril Mohd Saleh ,
Nabi Muhammad SAW merupakan makhluk terbaik yang diciptakan Tuhan, diutus buat semua dan menjadi rahmat untuk sekalian alam. Kewajipan mentaati Nabi Muhammad adalah suatu yang tidak mungkin dapat disangkal oleh seorang Muslim yang beriman. Malah, mencintai Nabi Muhammad merupakan antara kewjiban seorang Muslim yang menjadi tanda keimanannya.

Perjalanan kehidupan Baginda Nabi SAW, tidak pernah sunyi daripada dugaan dan cabaran, penghinaan dan cacian yang dilemparkan oleh kaum musyrikin yang memusuhi Baginda.

Walau apa pun penghinaan dan cacian terhadap Baginda Nabi Muhammad SAW, sebagai Muslim, kita mengetahui akan hakikat kemuliaan Nabi secara yakin tanpa sebarang keraguan.

Berikutan insiden penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Nakoula Basseley Nakoula, 52 tahun dari California yang menghasilkan sebuah filem berjudul "The Innocence of Muslim" dan dimuat naik di laman sosial Youtube, para pelajar dan mahasiswa Muslim khususnya disarankan untuk memperdalam pengetahuan tentang peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW.

Sebagai Muslim, kita wajib mempertahankan peribadi Nabi SAW daripada sebarang penghinaan. Walau bagaimanapun, tindakan ganas dan liar yang dilakukan oleh para demonstran dalam siri-siri tunjuk perasaan seluruh dunia sehingga meragut nyawa adalah tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan.

Tindakan terburu-buru yang emosional seperti ini dapat mendatangkan pandangan buruk masyarakat dunia terhadap Muslim dan agama Islam dan membangkitkan fenomena Islamophobia sepertimana firman Allah:  “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan”. (Al-An'am: 108)

Sekiranya kita ingin membantah dan melakukan perhimpunan aman, itu tidaklah menjadi masalah. Tunjuk perasaan dan demonstrasi yang dilakukan biarlah bertepatan dengan lunas-lunas syarak dan akhlak Islami.

Umumnya mengetahui penghasilan filem ini merupakan tindakan bodoh seorang pembikin filem yang mempunyai masalah integriti dan terlibat dalam beberapa jenis jenayah. Justeru, selain daripada menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap filem bodoh ini, apa lagi kesan luahan dan tunjuk perasaan kita?

Pastinya Nabi Muhammad SAW akan berbangga dengan ummatnya yang cinta dan kasih kepada Baginda. Namun, jika akhlak tidak terjaga, kebenciaan membara dalam hati dan tindakan luar batas sehingga mendatangkan fitnah kepada agama Islam, apakah semuanya ini akan menggembirakan Nabi Muhammad SAW?

Tanpa menafikan peranan aksi-aksi tunjuk perasaan dan demonstrasi membantah filem ini, penulis berpandangan, masyarakat dunia jangan melupakan pembantaian yang sedang berlaku atas ummat Islam dunia yang sedang merana dan memerlukan bantuan segera.

Tunjuk perasaan dan advokasi membantah pembunuhan bangsa Rohingya di wilayah Arakan, Myanmar, krisis berdarah Syria dan penindasan yang tidak berkesudahan di Palestin, Kashmir, Selatan Thailand dan lain-lain haruslah sentiasa konsisten.

Malah kempen-kempen kemanusiaan dan kutipan dana bantuan untuk mangsa-mangsa krisis kemanusiaan ini wajar terus berjalan dan diperhebatkan.   Sekiranya Nabi Muhammad SAW bersama kita, pastinya Baginda berbangga dengan tindakan ini kerana asas ajaran Baginda Nabi SAW ialah kasih sayang dan saling membantu.

Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia harus bertindak wajar  dan bijak memberi fokus dalam setiap tindakan. Amalkan sunnah dan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai manifestasi tanda cinta kasih kita kepada Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.

Penulis ialah Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Jom Selawat