Tuesday, April 22, 2014

Apabila usia melebihi 40 tahun


“...apabila dia telah dewasa dan usianya sampai 40 tahun, ia berdoa, Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (Surah al-Ahqaf : ayat 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah SWT, maksudnya;

“...apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?...” (Surah al-Fathir : ayat 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janji-Nya dalam ayat selepas itu - (maksudnya) Kematangan.

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi SAW seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

“Dibangkitkan Rasulullah SAW pada usia 40 tahun.” (riwayat al-Bukhari).

Nabi Muhammad SAW diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan-jabatan elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun; Soeharto menjadi presiden pada umur 46 tahun; John F Kennedy, 44 tahun; Bill Clinton, 46 tahun; Paul Keating, 47 tahun; sementara Tony Blair, 44 tahun.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting.

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) tahap, iaitu
1.Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh)
2.Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun)
3.Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun)
4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati)

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah SAW;

“Seorang hamba muslim apabila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepada-Nya. Apabila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan apabila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi.” (riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah SWT sekali gus konsisten terhadap Islam, maka Allah SWT akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati-hati juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas RA dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syarak lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”

Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada pencipta-Nya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad SAW;

“Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati.”

Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara. Sejak Nabi Adam AS sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah SWT tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak. Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa.

http://detikislam.blogspot.com/

Monday, April 21, 2014

Cukai, GST, amanah dan hukum Islam

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN 

HUKUM KERAJAAN MENGENAKAN CUKAI

Penulisan ringkas ini akan berkongsi persoalan cukai menurut ahli fiqh Islam berdasarkan ijtihad masing-masing. Secara umumnya, para ulama fiqh terbahagi kepada tiga kumpulan dalam menentukan hukum kerajaan mengenakan cukai. Ia seperti berikut:-

 1.Haramnya cukai secara mutlak. Mereka berhujjah berdasarkan dalil :

a.Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara bathil.

Justeru, pungutan cukai dianggap tergolong dalam pendapatan yang bathil kerana tanpa rela dan keperluan mendesak.

b.Sabdaan Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut, ertinya: “Janganlah kami menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya.” (Riwayat Ahmad : hadis sohih)

Justeru, mengambil cukai dari rakyat sedang rakyat tidak rela disebabkan pendapatan kerajaan yang mewah adalah tiada halal.

c.Sabda Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam, Ertinya: “Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, seseungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya.” (Riwayat Muslim : Sohih)

Justeru, pemungut cukai adalah haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.

d.Nabi bersabda, Ertinya: “Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (sebahagian menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka.” (Riwayat Ahmad : Sohih menurut Al-Suyuti)

2.Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.

a. Dalil mereka: Sabda Nabi, ertinya: “Sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat.” (Riwayat At-Tirmidzi : Dhoif menurut Al-Suyuti, Albani, )

b. Berlandaskan Siyasah Syari’iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Sebagaimana fatwa Imam Malik yang berkata, ertinya:

Wajib ke atas orang ramai menebus tawanan perang mereka walaupun mereka terpaksa menggunakan harta mereka sendiri (Ahkam al-Quran, Ibn Arabi, 60/1). Imam Al-Qurtubi juga menguatkan hal ini dengan katanya “Sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum muslimin dalam sesebuah negara iaitu selepas digunakan wang zakat dari baitul mal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (dari cukai rakyat). (Tafsir Al-Qurtubi, 2/223).

Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Al-Syatibi dalam kitabnya al-I’tisom. Imam Al-Ghazzali juga menyatakan yang sam apabila dia menyebut, ertinya, “Apabila sudah kosong milikan negara daripada harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan dan meninggalkan tugasan tentera, maka dibimbangi masuknya musuh ke neraka umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi keperluan tentera. (Al-Mustasfa, 1/426)

Namun, konteks fatwa ini kelihatan tidak begitu menepati situasi Malaysia kerana negara kita masih tidak sampai ke tahap tersebut.

3.Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.

Pendapat ini dipegang oleh Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, hlm 116), begitu juga Sheikh Abu a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan cukai jika wang bayaran cukai itu adalah bagi kemaslahatan awam. (Nazariyat al-Islam, hlm 313). Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam sambil mengatakan perkataan ‘Maks’ di dalam hadis ancaman neraka itu oleh Nabi SAW itu membawa maksud khusus iaitu, ertinya: iaitu jenis cukai yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk bersenang-senang mereka dengannya dan penyokong mereka walaupun menyempitkan rakyat mereka. (Fiqh al-Zakat, Qaradawi, 2/987)

Prof. Dr Ali Muhydin al-Qurrah Daghi menyatakan Ini juga merujuk kepada sebahagian cukai yang dikenakan pada zaman pemerintahan awal Islam seperti AL-KHARRAJ (cukai tanah), AL-'USHUR ( cukai perniagaan 10 % ke atas perniagaan non muslim) dan AL-JIZYAH (cukai individu) . Kesemua cukai ini digunakan sebaikanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.

TARJIH PANDANGAN

Penulisan ringkas ini tidak mampu untuk membuat tarjihan pendapat yang terkuat secara komprehensif, namun secara umumnya perbincangan hukum cukai dalam Islam tidak dapat lari dari menimbang di antara maslahat kebaikan dan kemudaratan darinya. Walaupun sewaktu wujudnya dalil-dalil berkaitan cukai, namun menurut majoriti ulama’, nas yang berkait dengan urusan siyasah dan pentadbiran mesti dilihat kepada ‘illah atau sebab utamanya ianya disebutkan oleh Nabi SAW. Melihat kepada objektifnya iaitu membawa lebih kebaikan berbanding kemudaratan. Beberapa jenis hukum dalam urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman serta keperluan.

Namun apapun, kaedah fiqh ada menyatakan “Menolak Keburukan didahulukan dari Membawa Kebaikan (tambahan)”. Justeru, jika benar tanpa GST atau cukai jualan dan servis, maka ini ekonomi negara bakal terancam, kelangsungan negara menjadi longgar, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke semasa.

Sebahagian ahli ekonomi menyimpulkan cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan. Manakala sebahagian yang lain menyatakan cukai hanya menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal, kenaikan harga dalam majoriti barangan yang akhirnya membawa kesan buruk kepada hampir semua kelas pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Disebabkan harga barang menjadi menaik, kuasa beli dan nilai matawang menjadi turun.

Cukai seperti ini mungkin sangat releven bagi sesebuah negara yang belum memperkenalkannya khususnya seperti cukai pendapatan, korporat dan sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai baru sedangkan kantung kewangan negara masih utuh dan perbelanjaan awam masih boleh dikawal dan diperbetulkan, sudah tentu lebih cenderung hukumnya kepada HARAM, kecuali jika ia bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua ulama.

Negara Malaysia yang telah sedia ada cukai jualan dan servis sejak beberapa puluh tahun lepas, namun untuk meniadakannya secara drastik bakal menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan, pentadbir awam dan negara berada dalam kesukaran yang dibimbangi membawa lebih mudarat berbanding manfaat. Jika hukum haram yang ingin dipegang sebagai terkuat, maka sejak berpuluh tahun sebelum ini cukai ini sudah haram dan patut ditegaskan agar tidak perlu dibayar serta jangan dibayar. Bukanlah sekarang masanya untuk terus menolak cukai secara sepenuhnya.

Berkenaan GST pula, jika mampu dibuktikan sebagai penyusunan semula metode cukai dan seterusnya mampu diurus dengan lebih baik, telus dan lebih kurang menekan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan khidmat sebelum ini, maka saya rasakan GST boleh disokong pelaksanaannya atas dasar, mengambil kaedah Fiqh iaitu mengambil yang kurang mudarat di antara dua kemudaratan.

ANTARA SYARAT

Namun tentunya, keharusan berdasarkan pertimbangan kaedah “yang kurang mudarat dari dua mudarat” ini mestilah diikat dengan beberapa perkara antaranya seperti :-

1.Kadar 6 % patut dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. Mungkin kadar 3 % lebih sesuai sebagai permulaan.
2.Sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan tindakan keras dan segera bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima tidak disalahgunakan oleh pentadbir awam dan ahli politik yang berkuasa. Kita tidak mahu laporan kelemahan dan salah urus tadbir kewangan yang didedahkan Jabatan Audit Negara pada setiap tahun menjadi hanya bebelan awam secara berkala tanpa sebarang tindakan jitu.
3.Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut diberi kuasa dan kemampuan pendakwaan dengan lebih berkesan agar tiada peniaga yang mampu lari dari GST atau tiada pegawai awam boleh memanipulasi pelaksanaan GST untuk kepentingan mereka.
4.Pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme terbaik dan jitu dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan.
5.Peruntukan bajet kepada semua kementerian yang BELUM digunakan sewajarnya dilaporkan semula dalam bajet tahun berikutnya. Jangan dipaksa sesebuah jabatan atau kementerian menghabiskan wang peruntukan sehingga sebahagian mereka ‘terpaksa’ menghabiskannya  kepada perkara yang sia-sia dan merugikan rakyat serta pecah amanah.

Pada waktu beberapa perkara utama ini gagal dipastikan dan jika kemudaratan pula bertambah ke atas peniaga dan rakyat, tatkala itu, pihak yang mengharuskan GST dikira telah membuat keputusan yang memudaratkan ahli negara dan rakyatnya, itu tidak lain membawa kepada dosa dan pengabaian amanah.

www.zaharuddin.net

Thursday, March 6, 2014

Memperingati kejatuhan Khilafah Uthmaniah 3 Mac 192

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Ramai yang tidak menyedari tarikh 3 Mac ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah.

Negara Turki terletak di Asia kecil dan di sebelah Tenggara Benua Eropah. Kedudukan Turki memang unik, kerana sebahagian besar wilayahnya terletak di Asia, dan sebahagian kecilnya terletak di Eropah. Kedua-dua wilayah yang terpisah ini dihubungkan dengan jambatan yang merentasi Selat Bosporus.

Turki mempunyai sejarah panjang sebagai pusat pemerintahan Islam yang menaungi sebahagian besar ummat Islam. Khilafah Uthmaniah Turki diasaskan oleh Uthman Orthogol, berada di zaman kemuncak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople daripada Byzantin.

Kehebatan kerajaan Uthmaniah mula semakin lemah diakibatkan oleh perancangan jahat orang-orang Yahudi Dunnama, di mana mereka ini telah memeluk Islam dengan niat untuk menghancurkan Islam daripada dalam (gunting dalam lipatan). Golongan Yahudi juga telah menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Turki. Kemuncak perancangan mereka golongan Yahudi merancang untuk menghancurkan Khilafah Islam. Golongan Yahudi antarabangsa melalui gerakan Freemason yang menguasai media massa telah menonjolkan Mustafa Kamal. Media massa juga telah memainkan peranan penting memburukkan kerajaan Uthmaniah Turki terutama kecacatan peribadi Khilafah yang bergelumang dengan keseronokan. Di Turki, telah ditubuhkan "The Young Turks" pada tahun 1908 gerakan Yahudi ini digerakkan dengan bantuan Freemason. Golongan ini sangat agresif untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II.

Di negara-negara Arab lain pula semangat Nasionalisme Arab telah ditiupkan dengan menganggap kerajaan Turki sebagai penjajah. Negara Barat berusaha meniupkan semangat negara bangsa kepada negara-negara Arab, melalui semangat Nasionalisme Arab inilah Turki mahu dipisahkan daripada saudara-saudara Islam lainnya di seluruh dunia. Perancangan keji Yahudi ini akhirnya berjaya meruntuhkan khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Mustafa Kamal telah naik ke takhta kuasa dan mula menunjukkan kebenciannya kepada Islam dan orang-orang beriman.

Seluruh dasar kerajaan telah dipisahkan daripada Syariat Islam di antaranya menurut Ahmadi Al-Aziz (1998):

1. Tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai dasar perlembagaan dan pemerintahan negara.

2. Golongan pemerintah (atasan) dan konco-konconya hinggalah ke menteri-menteri dan wakil-wakil rakyatnya, adalah perompak-perompak terhormat yang mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka kaya-raya hasil menyertai politik.

3. Kebanyakan siaran-siaran radio dan televisyen serta isi kandung majalah, 95% adalah maksiat. Memang ada yang baiknya tetapi cuma sekadar 5% sahaja.

4. Terdapat binaan tugu-tugu dan patung-patung dalam negara, yang mana tugu-tugu dan patung-patung tersebut dibesar-besarkan.

5. Muzik-muzik haram, tari-menari, bergaul bebas, panggung-panggung wayang lucah, mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan lain-lain lagi dibenarkan berleluasa.

6. Waktu-waktu sembahyang, masjid kosong. Majoriti manusia berkeliaran di luar masjid dengan segala bentuk urusan duniawi.

7. Peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan.

8. Banyak projek yang sia-sia atau membazir, dengan menggunakan wang berjuta-juta seperti membesarkan tempat-tempat peleseran yang digunakan untuk orang-orang besar sahaja.

9. Polis dan tentera yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan tetapi merekalah yang banyak membuat rakyat berasa tidak aman.

10. Para pemimpin apabila ditegur, mereka melenting dan marah-marah. Maka mereka pun berdendam dan mencari peluang mendedahkan pihak yang menegur untuk diambil tindakan.

11. Di satu bandar bernama Balikesir, Mustafa Kamal berucap bahawa agama terpisah dengan urusan harian dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berbuat demikian. Ini jelas menentang Al-Quran dan Sunnah.

12. Dalam satu ceramahnya Mustafa Kamal pernah menegaskan bahawa mana mungkin sebuah negara maju jika orangnya tidak berpakaian secara moden (mendedahkan aurat). Akibatnya ramai yang telah dibunuh hanya kerana enggan berpakaian secara barat dan mematuhi arahan negara Turki moden.

13. Mustafa Kamal tidak membenarkan kuasa talak pada suami (seperti yang ada dalam ajaran Islam) kerana mengikut undang-undang sivil dari Sweden. Ironisnya, undang-undang ini diperkenalkan beberapa bulan selepas dia menceraikan isterinya.

Kejatuhan Islam yang telah memayungi umat selama 600 tahun lebih ini akhirnya telah mewajahkan dunia Islam yang baru, kemunculan negara bangsa akibat pemetaan baru dunia Islam dengan arkitek utamanya ialah empayar Pax Britanica dan Peranchis. Negara umat Islam juga telah difaraidkan dan menuju titik kelemahan paling parah dengan pelebaran faham ilmaniah atau sekularisme. Umat Islam dijajah dan mengalami keterpurukan nilai serta tersudut dalam semua sektorsehingga memunculkan faham pan islamisme untuk mendobrak hegemoni Barat.

Empat tahun selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah juga menyaksikan Imam Hasan Al-Banna menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam, seterusnya gerakan Islam ditubuhkan di bumi umat Islam yang lain. Jamiat Islami ditubuhkan di Sub Continent, Masyumi di Indonesia, Hizbul Muslimin di Malaya, an-Nur di Turki dan pelbagai gerakan Islam kontemporari yang lain.
3 Mac 1924 adalah sejarah luka umat Islam dan ianya akan kembali sembuh dengan ummah kembali berjuang untuk mengembalikan ketuanan Islam. Islam yang berdaulat, negara yang mendokong Syariat serta menjadi pembenteng kepada agama Allah sebagaimana yang telah dilakarkan dalam sejarah Khilafah Uthmaniah.

Wednesday, March 5, 2014

KULIAH US HASMINUDDIN


-->
TARIKH : 5/3/2014 (RABU)

TEMPAT : MASJID KAMPUNG KUBANG GAJAH ARAU PERLIS

KITAB : SIRAH NABAWIYYAH 
(AR RAHEEQ AL MAKHTUM)

JOM PAKAT HADIR & TAMBAH ILMU
DI TAMAN SYURGA...

Sifat mukmin sebena

Oleh. DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

CINTAI Allah SWT mestilah dengan mengikut segala perintah-Nya tanpa banyak persoalan.
- Gambar hiasan

ARTIKEL kali ini masih lagi berkaitan dengan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarga baginda. Jelas terbukti betapa benarnya sahabat dalam menzahirkan keimanan kepada Allah SWT, sehingga sanggup berkorban harta benda mahupun nyawa.
Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah SWT (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun. (al-Ahzab: 23)
Ayat ini menunjukkan betapa cintanya sahabat dan berdukacitanya mereka apabila tidak boleh bersama baginda Rasulullah SAW dalam mempertahankan agama Islam ketika perang Badar.
Imam Ahmad r.hm telah meriwayatkan dengan sanadnya yang sahih daripada Thabit katanya: "Bapa saudaraku Anas bin al-Nadhr r.a sangat terkilan kerana tidak dapat ikut bersama Rasulullah SAW di dalam perang Badar. Dia berkata: "Aku tidak ikut berjuang dalam peperangan pertama yang diceburi Rasulullah SAW. Demi sesungguhnya Allah memberi kesempatan kepadaku berjuang dalam peperangan selepas ini, nescaya Allah dapat melihat bagaimana aku berjuang."
Ujar Thabit: Dia bimbang mengeluarkan perkataan yang lain. Kemudian dia turut berjuang bersama Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud. Di sana dia bertemu dengan Saad ibnu Muaz r.a, lalu dia berkata kepadanya: "Aku tercium bau syurag di bukit Uhud."
Kata Thabit: Lalu dia bertempur hingga gugur syahid. Disabdanya terdapat lebih 80 luka-luka ditetak, ditikam dan dipanah. Kata perempaun saudaranya iaitu ibu saudaraku al-Rubaiyi� binti al-Nadhr: "Aku dapat mengenal mayat saudarku itu dari jari-jarinya." Ujar Thabit: Lalu turunlah ayat di atas."
Sayyid Qutub dalam Fi Zilal Al-Quran menyebut: "Gambaran gemilang bagi contoh golongan Mukminin ini adalah disebut di sini dengan tujuan untuk menyempurnakan gambaran iman berbanding dengan gambaran nifak, keimanan yang lemah dan kemungkiran janji daripada golongan lawannya supaya perbandingan itu dapat ditunjukkan dengan sempurna dalam rangka tarbiah melalui peristiwa al-Quran.
Gambaran itu diulaskan pula dengan menerangkan hikmah ujian dan akibat memungkiri janji dan menyerahkan kesemua hal ini kepada iradat Allah SWT.
Dalam menambahkan lagi koleksi kebaikan dalam mizan hasanat kita pada hari akhirat kelak, maka hendaklah kita lakukan semua perintah Allah SWT yang wajib dan kita menambahnya dengan pelbagai amalan sunat dan fadhail �amal antaranya;
Kalaulah ini sebagai lambang cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasul dengan perlaksanaan segala titah perintah-Nya, maka sewajarnya kita juga meletakkan kefahaman yang tinggi dalam berkorban untuk agama Allah SWT, meninggikan syiar-Nya dan melaksanakan syariat-Nya.
Sifat-sifat yang baik atau dikenali sebagai sifat mahmudah seperti amanah, ikhlas, jujur, berintegriti dan lain-lain hendaklah menjadi pakaian dalam kehidupan kita ini.
Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang benar-benar bertakwa sehingga melayakkan kita meraih syurga-Nya.

Imam Muda jadi usahawan


HASSAN Adli Boutique turut menyediakan jubah dengan rekaan eksklusif untuk tujuan nikah.
BAGAIKAN dimensi baharu, tempoh tiga bulan sepanjang menjalani kursus dalam akademi Imam Muda memberikan suatu kejutan buat Mohd. Hassan Adli Yahaya selepas tamat dari akademi tersebut.
Jika dahulu setiap perbuatan yang dilakukan hanya untuk dirinya sendiri, namun bagi pendakwah kelahiran rancangan realiti televisyen itu segalanya kini perlu dijaga sempurna.
Ini kerana setiap tutur kata, penampilan dan akhlak selepas bergelar ikon bagi umat Islam itu dinilai dalam semua sudut oleh masyarakat tidak kira berbangsa bangsa, agama dan juga peringkat umur, di mana sahaja.
Itulah yang diakui oleh bekas juara Imam Muda musim ke-2 itu. Beliau yang tidak pernah putus mendapat jemputan mengadakan ceramah oleh pelbagai pihak turut mengakui sukar untuk berhadapan dengan kesibukan tersebut.
Namun, kekangan itu tidak menghalangnya untuk meneruskan minat dalam menceburi bidang perniagaan sejak kecil.
Meletakkan jemputan untuk mengadakan ceramah sebagai profesion kedua, Mohd. Hassan atau dikenali Imam Muda Hassan lebih memfokuskan kerjaya utamanya kepada bidang perniagaan.
Hassan berkata, berasal daripada latar belakang keluarga yang susah, telah mendidiknya untuk berniaga demi mencari pendapatan sendiri bermula seawal peringkat sekolah rendah.
�Selepas ayah meninggal dunia yang pada ketika itu saya masih berusia tujuh tahun, pendapatan keluarga yang seramai sembilan orang adik-beradik dahulu hanyalah bergantung kepada hasil pendapatan emak dengan menoreh getah.
�Bermula dari itulah, ia mendidik saya untuk mencari pendapatan sendiri dengan melakukan perniagaan.
�Sehingga menjadi minat saya untuk berniaga termasuk ketika berada di sekolah sehinggalah di universiti," katanya yang kini mengusahakan butik jubah lelaki dan syarikat agensi pelancongan antarabangsa.
Ilham
Memegang sabda Rasulullah SAW bermaksud sembilan dari 10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan, Hassan yang kini masih menuntut di peringkat Sarjana dalam bidang Usuluddin memilih untuk membuka butik pakaian, Hassan Adli Boutique dengan membekalkan jubah.
�Ilham untuk membuka butik ini tercetus semasa saya melakukan umrah pada 2011. Keunikan jubah yang menjadi pakaian rasmi bagi masyarakat arab menarik perhatian saya untuk menjual dan membawa pakaian sunah itu ke Malaysia.
�Mengambil konsep jubah di negara Arab, jubah yang dijual di sini adalah dihasilkan mengikut bentuk badan pembeli dengan rekaan yang ringkas tetapi ekslusif. Ia bagi menyasarkan pengguna muda untuk mendekati trend berjubah.
�Jika pakaian yang dibawa oleh barat boleh popular dalam kalangan orang kita ini, mengapa tidak pakaian yang dipakai oleh manusia contoh umat Islam Nabi Muhammad SAW," ujarnya yang sedang berusaha mempelbagai fesyen jubah dengan rekaan terkini.
Selain berniaga, Hassan berkata, ia juga merupakan usaha berdakwah kepada masyarakat untuk mendekatkan golongan muda untuk mengikut amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW menerusi pemakaian baginda.
Bermula secara dalam talian, Hassan Adli Boutique kini mempunyai permis perniagaan yang terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Koleksi jubah boleh didapati dengan harga bermula RM100 sehingga RM240 sehelai.
Anak kelahiran Air Tawar Perak itu turut menubuhkan syarikat Persada Oasis Travel and Tours yang menawarkan perkhidmatan pakej mengerjakan umrah dan pelancongan.
�Bukan sekadar menawarkan pakej mengerjakan umrah dan pelancongan di beberapa buah negara terpilih, kita juga turut membuka pakej kursus pengajian pendek di Yaman.
�Pakej ini mengalu-alukan sesiapa yang berminat terutamanya imam masjid untuk mengambil kursus bahasa Arab atau beberapa bidang lain selama tiga bulan," jelasnya.

Jom Selawat