Tuesday, March 15, 2011

Hukum kanak-kanak yang belum mumayyiz solat berjamaah berada didalam saf golongan dewasa?


apakah hukum kanak-kanak yang belum mumayyiz solat berjamaah berada didalam saf golongan dewasa? Huraikan mengikut pelbagai mazhab dan kesimpulan yang yang harus dipegang oleh ajk surau supaya tidak timbul masalah dikalangan masyarakat..

Jawapan Hukum kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak, apabila dia berada dalam saf tersebut, adakah ianya merosakkan saf dan adakah sedemikian itu menghilangkan fadhilat pahala berjemaah, berkata Al-Imam Al-Sayyid Abdullah binUmar bin Abu Bakar bin Yahya di dalam kitab Bughyah Al-Mustarsyidin: “Jika ada di dalam saf sesiapa yang tidak sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tiadalah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh saf mereka dari saf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian).

Kecuali, jika orang-orang yang berada pada saf-saf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaklid padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari saf-saf mereka dengan tiada takut (apa-apa kemudaratan) ke atas diri atau harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari saf-saf mereka itu). Kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang mana makmum tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas).

Adalah lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu saf kepada satu saf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid Al-Haram ada saf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah. Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam saf-saf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taklidnya yang mengatakan sah sembahyang dan begitu juga jika dia tidak bertaklid (kepada mana-mana ulama) di atas asas bahawa orang awam itu tiada mempunyai mazhab.

Maka dari itu diketahui, bahawa barangsiapa telah berada di dalam saf, tidak harus (tidak boleh) diketepikan dia itu dari safnya, melainkan jika diketahui sembahyangnya batal dengan ijmaulama, atau dia beriktikad bahawa sembahyang orang itu rosak ketika dia mengerjakan sembahyangnya itu.” Maka jika didapati kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana saf sembahyang dan tidak diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum, dan tidak diketahui sama ada dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau belum, maka menurut pendapat atau fatwa Al-‘Allamah Al-Sayyid Abdullah bin Yahya yang di atas ini perkara itu tidak meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah dan sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam saf-saf itu."
"

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat