Wednesday, March 5, 2014

Imam Muda jadi usahawan


HASSAN Adli Boutique turut menyediakan jubah dengan rekaan eksklusif untuk tujuan nikah.
BAGAIKAN dimensi baharu, tempoh tiga bulan sepanjang menjalani kursus dalam akademi Imam Muda memberikan suatu kejutan buat Mohd. Hassan Adli Yahaya selepas tamat dari akademi tersebut.
Jika dahulu setiap perbuatan yang dilakukan hanya untuk dirinya sendiri, namun bagi pendakwah kelahiran rancangan realiti televisyen itu segalanya kini perlu dijaga sempurna.
Ini kerana setiap tutur kata, penampilan dan akhlak selepas bergelar ikon bagi umat Islam itu dinilai dalam semua sudut oleh masyarakat tidak kira berbangsa bangsa, agama dan juga peringkat umur, di mana sahaja.
Itulah yang diakui oleh bekas juara Imam Muda musim ke-2 itu. Beliau yang tidak pernah putus mendapat jemputan mengadakan ceramah oleh pelbagai pihak turut mengakui sukar untuk berhadapan dengan kesibukan tersebut.
Namun, kekangan itu tidak menghalangnya untuk meneruskan minat dalam menceburi bidang perniagaan sejak kecil.
Meletakkan jemputan untuk mengadakan ceramah sebagai profesion kedua, Mohd. Hassan atau dikenali Imam Muda Hassan lebih memfokuskan kerjaya utamanya kepada bidang perniagaan.
Hassan berkata, berasal daripada latar belakang keluarga yang susah, telah mendidiknya untuk berniaga demi mencari pendapatan sendiri bermula seawal peringkat sekolah rendah.
�Selepas ayah meninggal dunia yang pada ketika itu saya masih berusia tujuh tahun, pendapatan keluarga yang seramai sembilan orang adik-beradik dahulu hanyalah bergantung kepada hasil pendapatan emak dengan menoreh getah.
�Bermula dari itulah, ia mendidik saya untuk mencari pendapatan sendiri dengan melakukan perniagaan.
�Sehingga menjadi minat saya untuk berniaga termasuk ketika berada di sekolah sehinggalah di universiti," katanya yang kini mengusahakan butik jubah lelaki dan syarikat agensi pelancongan antarabangsa.
Ilham
Memegang sabda Rasulullah SAW bermaksud sembilan dari 10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan, Hassan yang kini masih menuntut di peringkat Sarjana dalam bidang Usuluddin memilih untuk membuka butik pakaian, Hassan Adli Boutique dengan membekalkan jubah.
�Ilham untuk membuka butik ini tercetus semasa saya melakukan umrah pada 2011. Keunikan jubah yang menjadi pakaian rasmi bagi masyarakat arab menarik perhatian saya untuk menjual dan membawa pakaian sunah itu ke Malaysia.
�Mengambil konsep jubah di negara Arab, jubah yang dijual di sini adalah dihasilkan mengikut bentuk badan pembeli dengan rekaan yang ringkas tetapi ekslusif. Ia bagi menyasarkan pengguna muda untuk mendekati trend berjubah.
�Jika pakaian yang dibawa oleh barat boleh popular dalam kalangan orang kita ini, mengapa tidak pakaian yang dipakai oleh manusia contoh umat Islam Nabi Muhammad SAW," ujarnya yang sedang berusaha mempelbagai fesyen jubah dengan rekaan terkini.
Selain berniaga, Hassan berkata, ia juga merupakan usaha berdakwah kepada masyarakat untuk mendekatkan golongan muda untuk mengikut amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW menerusi pemakaian baginda.
Bermula secara dalam talian, Hassan Adli Boutique kini mempunyai permis perniagaan yang terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Koleksi jubah boleh didapati dengan harga bermula RM100 sehingga RM240 sehelai.
Anak kelahiran Air Tawar Perak itu turut menubuhkan syarikat Persada Oasis Travel and Tours yang menawarkan perkhidmatan pakej mengerjakan umrah dan pelancongan.
�Bukan sekadar menawarkan pakej mengerjakan umrah dan pelancongan di beberapa buah negara terpilih, kita juga turut membuka pakej kursus pengajian pendek di Yaman.
�Pakej ini mengalu-alukan sesiapa yang berminat terutamanya imam masjid untuk mengambil kursus bahasa Arab atau beberapa bidang lain selama tiga bulan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat