Wednesday, September 30, 2009

MUHASABAH IDUL FITRI

Program hiburan di media elektronik cacatkan ibadah Aidilfitri
Oleh Mohd Akmal Afiq Mohamad

AIDILFITRI datang dan pergi sebagai kurnia dan anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk meraikan kemenangan dalam menghadapi dugaan selepas menunaikan ibadah sepanjang Ramadan. Saban tahun umat Islam bergembira merayakan Aidilfitri dengan mengamalkan tradisi balik kampung untuk menemui ayah bonda serta sanak-saudara. Tidak kurang juga ada yang mengunjung rumah jiran berdekatan untuk mengeratkan silaturahim dan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari lebaran, kita sering kali dibudayakan dengan cara sambutan yang tidak wajar dan dilihat bertentangan dengan amalan sebenar dalam menyambut kedatangan 1 Syawal. Setiap tahun apabila menjelangnya Aidilfitri, pelbagai program dan pengisian yang berbentuk hiburan melampau disajikan televisyen. Ia seolah-seolah tidak ubah seperti persaingan antara syarikat media untuk mendapat tempat di hati masyarakat Islam dan bukan lagi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Akibatnya, pelbagai bentuk rancangan yang tidak wajar dipertontonkan menerusi televisyen bagi mengisi kekosongan Aidilfitri. Lantaran itu, hari mulia 1 Syawal dicemari dengan pelbagai bentuk hiburan melampau yang bertentangan dengan norma serta nilai hidup bangsa dan agama kita.

Ia secara tidak langsung mengubah persepsi generasi muda yang tersalah faham dengan meletakkan televisyen sebagai teras utama dalam menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh kebanyakan daripada kita terlalu leka dengan sajian hiburan yang melampau sedangkan tanggungjawab sebenar dalam melakukan perkara yang dituntut seperti berziarah, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan sebagainya diabaikan. Tidak kurang ada yang sanggup menghabiskan sepanjang hari dengan pergi ke panggung wayang menonton sehingga melupakan amalan menziarahi. Maka, dengan sajian sedemikian, akan menyebabkan terhakisnya nilai kemuliaan Aidilfitri.

Amalan ziarah untuk saling mengenali antara satu sama lain gagal dicapai disebabkan masing-masing sibuk menonton rancangan televisyen yang menarik. Tujuan tetamu yang pada mulanya hadir untuk beramah mesra dan merapatkan hubungan yang terjalin dengan tuan rumah berubah sebaik saja rancangan menarik tersaji di rumah tuan rumah. Maka, masing-masing mengalihkan perhatian dengan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang disajikan televisyen.

Sedangkan menghormati dan memuliakan tetamu adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Nabi pernah bersabda: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya”. Di samping itu, nilai komunikasi sesama kita dalam bentuk beramah mesra, bertegur-sapa, saling bermaafan juga dibataskan.

Aidilfitri sebenarnya perlu diisi dengan laungan takbir dengan memuji kebesaran Allah dan tasbih sebagai tanda meraikan kemenangan kita dalam menyempurnakan ibadat Ramadan. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda : “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid, dan taqdis”. Pada masa sama, Aidilfitri juga menitikberatkan dua perkara asas iaitu pertalian ukhuwah sesama Muslim dan juga tazkiyatun nafsi atau pembersihan jiwa yang dibina menerusi madrasah Ramadan selama sebulan.

Maka, di sini jelas, sekiranya Aidilfitri itu sendiri diisi dengan pelbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan, dan hiburan yang melampau, ia sememangnya bercanggah dengan tujuan dan cara sebenar dalam meraikannya.

Dalam pada itu, nilai spiritual atau kerohanian yang dibina melalui kejayaan Ramadan juga terhakis. Madrasah Ramadan yang dianjurkan agama khusus untuk melahirkan insan yang bertakwa sukar direalisasikan ekoran pelbagai program hiburan yang bertentangan dengan adat dan agama direncanakan menerusi televisyen.

Meskipun begitu, saya secara peribadi ingin menyatakan sekalung pujian dan tahniah kepada pihak media terutama media elektronik dan media cetak tempatan yang dilihat banyak melakukan perubahan ke arah yang lebih baik untuk mendidik masyarakat terutama pada Ramadan lalu. Akan tetapi, sebaik saja berakhirnya Ramadan, pelbagai sajian yang tidak enak disajikan sehingga menyebabkan umat Islam menjadi lalai dan leka.

Masing-masing hanya mengutamakan semangat hedonisme dalam merayakan Aidilfitri dan tidak lagi mengutamakan semangat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan selepas tamat Ramadan. Sedangkan Aidilfitri adalah salah satu medan bagi umat Islam untuk membuat perubahan dan penilaian diri dari semasa ke semasa.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang pernah menyatakan bahawa sekiranya Aidilfitri disambut dengan metod dan pengisian hiburan yang keterlaluan, hukumnya adalah haram. Apabila jatuhnya hukum haram, maka sambutan Aidilfitri tidak lagi dianggap sebagai ibadah tetapi hanya adat tradisi yang bercanggah dengan agama.

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat