Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima peluang yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan.
Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu.
Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu menyiksakan.
Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat apabila telah cukup haul dan nisbahnya.
Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T.
Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua? Tidakkah kita akan menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu?.
Seterusnya Rasulullah s.a.w menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.
No comments:
Post a Comment