Wednesday, September 10, 2014

3 Elemen pekerja terbaik

Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti." (Riwayat al-Baihaqi).

Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain, bukan sekadar mendapat laba, tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata-mata makan gaji, tetapi menghadam sebanyak-banyaknya kebaikan dan reda Ilahi.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita melihat pekerjaan daripada perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm, Rabu lalu.

Katanya, pegang kata kunci 'beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik' untuk membezakan pekerjaan manusia dengan makhluk Allah SWT yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.

Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di dunia, manusia diberi tanggungjawab bekerja sebagai cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk menang dalam menyahut ujian itu. Caranya dengan melaksanakan pekerjaan pada tahap terbaik.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2).

Setiap pekerjaan datang dengan ujian, kecekapan, kesungguhan, keikhlasan dan akhlak semuanya diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang Mukmin.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." (Surah al-Qasas, ayat 26).


Gabungan sudut al-quwwah

Perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal, tetapi juga ilmu dan kemahiran. Mempunyai amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan.

Inilah sifat umat Islam dalam bekerja. Ada gabungan kepakaran juga keimanan, cantuman integriti dan kecekapan. Jika ada semuanya, dengan izin Allah SWT segala yang direncana menjadi dan diberkati.

Pekerja juga perlu melakukan kerja dengan acuan Allah SWT bukan terapan manusia jika ingin melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja tinggi.

Terdapat tiga elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama, capai kualiti dengan input yang sedikit menghasilkan output yang banyak. Kedua, kuantiti yang lebih baik dan ketiga ialah akhlak, etika serta adab terpuji yang membangun jati diri, sahsiah peribadi seorang Mukmin.
Imam Malik menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta' dan hasrat itu dipertikaikan kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta' yang ditulis oleh orang terdahulu, jadi apakah perbezaan hasil tangan Imam Malik?

Lalu Imam Malik menegaskan, perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itu akan berkekalan. Beliau menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring 3,000 daripada 10,000 hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta' karangannya.
Beliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta' hanya terbayang Kitab Muwatta' milik Imam Malik dan terpadam kitab muwatta' yang terdahulu sebelum beliau.
Hebatnya keikhlasan akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.

Tidak mudah lakukan kebaikan

Bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan dilakukan perlu kepada perlindungan daripada tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan, kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hamba-Nya dan ia adalah sunahtullah.
Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.

Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha untuk menjadi orang yang baik.

Jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik,
tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan secara yang terbaik. Walau apa juga kekangan, lakukanlah kebaikan dengan sehabis baik, penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda Allah SWT.

Dr Yusof al-Qaradawi mengatakan, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran selain daripada iman. Ini akan melahirkan pekerja yang selari dengan falsafah Islam.

Etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasul-Nya mengatasi segala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya. Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang memperelokkan kerjanya.

Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan takwa, ketulusan hati, keluhuran budi serta kemuliaan akhlak yang semua sifat itu akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya.

Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita ketika melaksanakannya.
Jawatan, kerja, tugas atau apa juga profesion yang kita pegang bukan suatu kebanggaan untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah duniawi dan manfaat ukhrawi.
Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul, tapi laksanakan dengan betul-betul secara yang terbaik.

* Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat