Tuesday, December 15, 2015

7 Amalan Yang Akan Memberi Pahala Berterusan


Anas Bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Tujuh perkara akan terus mengalir pahalanya walaupun setelah orang itu mati.
1. Orang yang mengajarkan ilmu, walaupun dia telah mati namun pahalanya akan tetap sampai kepadanya sekiranya ilmu itu memberi manfaat kepada orang yang diajar. Dengan syarat mengajar itu dengan niat ikhlas kerana Allah S.W.T. bukannya dengan tujuan untuk upah dunia.
2. Orang yang membina parit atau taliair, sama ada dia membina sendiri atau secara gotong royong dengan ahli masyarakat.
3. Orang yang membuat telaga dengan tujuan supaya setiap orang ramai dapat mengambil air untuk minum atau untuk keperluan hidup mereka. Maka selama air kolah atau telaga itu berguna atau diguna orang untuk berwudhu’ dan bersuci bagi memudahkan kerja ibadah, maka selam itulah pahalanya akan terus mengalir kepada orang-orang yang berbuat demikian.
4. Orang yang menanam pokok buah-buahan, selama hasilnya dapat dimakan oleh orang ataupun haiwan, ataupun rimbunan pokok-pokok tersebut dapat memberi peluan orang berteduh dari panas dan seumpamanya maka pahala dari semua faedah itu akan mengalir kepada orang yang menanamnya.
5. Membina masjid, sama ada membina masjid secara berseorangan atau menderma untuk pembinaan masjid. Sesungguhnya masjid itu disebut “rumah Allah” maka bagi orang yang membinanya sudah pasti akan menerima ganjaran yang terus menerus.
6. Mewakafkan naskah Al-Quran supaya dapat dibaca oleh orang ramai. Dengan mewakafkannya di Masjid-masjid, surau atau musalla, selama itu Al-Quran itu dibaca dan dihayati segala hokum dan panduan di dalamnya, maka pahala dari pembacaan itu akan terus mengalir kepada yang mewakafkan.
7. Orang yang mendidik anak-anaknya sehingga anak mereka menjadi orang yang soleh atau solehah, kerana anak-anak yang soleh akan melaksanakan tanggungjawabnya kepada Allah. Yang paling utama dari anak yang soleh ialah mereka akan sentiasa mendoakan akan kedua ibu bapanya, setelah ibu bapa mereka meninggal dunia.
Sumber : Minda Barakah Masjid Darul Barakah, Taman Satria Jaya BDC.

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat