Friday, January 1, 2010

contoh doa majlis perhimpunan pagi di sekolah

Ya Allah… di pagi yang berkat ini,kami menadah tangan memohon kepada Mu,ampunilah dosa-dosa kami,kedua ibu bapa kami,kaum keluarga kami,guru-guru kami juga muslimin dan mislimat,mu'minin dan mu'minat samada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Ya Allahu Ya Rahman…limpahkanlah kepada kami ilmu pengetahuan,hiasilah diri kami dengan kesopanan,muliakan kami dengan ketaqwaan,segarkan tubuh kami dengan kesihatan dan berkatilah diri kami dengan keredhaan.

Ya Allahu Rahim…pereratkan hubungan kami sebagaimana engkau persaudarakan Muhajirin dan Ansar,jauhkan hasad dan dengki sebagaimana engkau jauhkan langit dan bumi dan rahmatilah diri kami sebagaimana engkau merahmati kehidupan para nabi.

Ya Allahu Ya Jabbar.. pelajar-pelajar kami hadir di hari ini untuk mengerah keringat dan tenaga demi mengejar cita-cita serta mencapai azam yang dicipta.Jadikanlah anak-anak didik kami ini insan yang berguna,taat kepada perintah agama,menyayangi ibu bapa,beradab kepada guru dan cintakan ilmu.Bangkitkan dalam jiwa mereka semangat untuk membela nasib keluarga,memartabatkan bangsa dan agama serta mengharumkan nama negara ke seluruh dunia.

Ya Allahu Ya Qahhar…bantulah kami guru guru dalam menyebarkan ilmu di sekolah ini,menerapkan nilai-nilai murni dan menghasilkan pelajar-pelajar yang berkualiti.Semoga mereka menjadi insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

Ya Allahu Ya Karim…kami mohon kesempurnaan,jangan engkau kurniakan kecacatan,kami mohon kemuliaan,jangan campakkan kepada kami kehinaan,kami mohon kebahagiaan,jangan duga kami dengan kedukaan dan kami mohon keredhaan,jangan bunuh kami dengan kemurkaan.

Ya Allah…Sesungguhnya engkau maha mengetahui apa yang lahir dan tersembunyi,maka terimalah keuzuran kami ini,engkau maha mengetahui hajat kami,maka perkenankanlah permohonan kami dan engkau memang mengetahui kandungan hati kami,kerana itu,ampunilah dosa-dosa kami.

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat