Monday, January 4, 2010

Hukum mengumpat dan mengaibkan orang

Dari Aisyah RA, katanya: Hindon Binti Ubah, isteri Abu Soyan masuk menemui Rasulullah SAW.lalu bertanya: Ya Rasulallah, sesungguhnya Abu Sofyan adalah lelaki yang sanqat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab baginda Rasul SAW.: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAH AL HADIS:
Para ulama mengambil banyak pengajaran dari Al Hadis diatas antaranya:

Orang yang ingin mendapat fatwa dan orang yang teraniaya dibolehkan untuk menceritakan keburukan tentang orang lain yang ada kaitannya dengan perkara yang diminta fatwa atau penganiayaan itu. Perkara ini tidak termasuk ke dalam bab larangan mengumpat (Al Ghibah). Tetapi hal ini termasuk kedalam salah satu jenis mengumpat yang dikecualikan.

Nafkah isteri adalah tanggungjawab atau kewajiban suami. Adapun kadar nafkah ialah secukupnya. Ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh Nabi: Ambillah dengan baik yang dapat mencukupkan keperluanmu dan keperluan anak anakmu.

Kadar kecukupan yang dimaksudkan ialah berdasarkan adat dan keadaan manusia, berbeza-beza kadarnya disebabkan kerana perbezaan masa dan tempat, apakah dia orang yang hidup senangkah atau dia orang yang hidupnya susah.

Jika orang yang wajib mengeluarkan nafkah tersebut enggan memberinya kepada pihak yang berhak menerimanya atau bersifat sangat kedekut, maka orang yang berhak menerimanya atau orang yany mengatur perbelanjaan anak-anaknya itu dibolehkan mengambil harta (duit) orang tersebut walaupun tanpa pengetahuannya. Ini kerana sebabnya nyata dan zahir. Dan ini bukan kes khianat, dan ini tidak termasuk kedalam larangan Nabi saw. : ” Jangan kamu khianat kepada orang yang mengkhianati kamu “.

Nafkah anak adalah kewajiban dan tanggungjawab ayahnya. Bukan tanggungjawab ibu dan bukan pula tanggungjawab orang-orang lain seperti datuknya, pamannya dan lain-lain.

Bahawa orang yang diserahkan tanggungjawab mengatur sesuatu urusan perbelanjaan dan kewangan, dapat diterima ketentuannya tentang jumlah kadar yang diperlukan ini kerana dia adalah orang yang memikul amanah, dan dia memiliki kuasa dalam hal itu.

Bahawa orang yang meminta sesuatu fatwa yang ada kaitannya dengan orang lain, jika orang yany ditanya (mufti) dapat menerima kebenaran perkara yang diajukan itu maka tidak perlulah dimaklumkan perkara tersebut kepada orang lain itu. Lebih lebih lagi jika perkara tersebut dapat mendatangkan mudarat (bahaya) sebagaimana persoalan yang terkandung dalam Al Hadis diatas. Barangkali akan rusak rumahtangga Hindon jika aduan itu dimaklumkan kepada Abu Sofyan.

JENIS-JENIS MENGUMPAT YANG DIBOLEHKAN :

Sebagaiamana kita sama maklum bahawa hukum mengumpat adalah haram. Mengumpat ialah menceritakan tentang aib atau keburukan seseorang yang apabila orang tersebut mendengarnya maka ia akan marah dan benci.

Dalam hal ini Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata: Ketahuilah bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu dan mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting tidak mungkin tercapai kecuali dengannya. Mengumpat yang diperbolehkan-oleh agama itu ada enam jenis:

(1) KES PENGANIAYAAN.

Dibolehkan kepada orang yang dianiaya untuk mengadu kepada pihak berkuasa seperti Sultan, Qadhi atau lain-lain pihak yang mempunyai kuasa untuk memberi keinsafan dan kesedaran kepada orang yang menganiaya itu. Umpamanya: Si Polan itu telah menganiaya saya begini dan begitu.

(2) MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.

Umpamanya seseorang berkata kepada pihak polis atau bahagian pencegah maksiat: Si Polan itu telah berbuat perkara sumbang, tolong tuan cegah perkara tersebut. Maksud orang itu ialah menjadikan pihak berkuasa sebagai orang tengah untuk mencegah kemungkaran. Tetapi jika tidak dengan maksud itu maka hukumnya adalah haram.

(3) MINTA FATWA.

Umpamanya ia berkata kepada mufti atau orang yang dipercayai boleh memberi fatwa: Ayah saya atau saudara saya atau suami saya telah menganiaya saya, adakah dia boleh berbuat demikian terhadap saya, bagaimana cara supaya saya dapat terhindar dari penganiayaannya. Perkara ini dibolehkan kerana hajat. Tetapi adalah lebih baik sekiranya dengan cara sindiran sudah tercapai tujuannya. Namun demikian menyebut nama orang yang menzalimi adalah dibolehkan sebagaimana dalam kisah Hindon diatas.

(4) MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.

Umpamanya: Kita menyebut tentang keaiban periwayat hadis seperti si polan pendusta, tidak amanah, kurang kuat ingatannya dan lain-lain. Perkara ini dibolehkan kerana tujuan kita berbuat demikian semata mata ingin menjaga keaslian hadis Rasulullah saw. Sebab tanpa berbuat demikian maka akan terdedahlah hadis Rasul saw dengan pemalsuan. Atau paling kurang supaya orang ramai jangan sampai menyangka hadis hadis tersebut sebagai hadis yang sahih. Apalagi jika orang berkenaan sememangnya orang yang suka memalsukan hadis. Dan menyatakan keaiban orang lain ini juga boleh jika kita diminta pandangan tentang peribadi seseorang yang akan menjadi rakan kongsi perniagaan , atau menitipkan amanah , atau urusan perkahwinan , demikian juga tentang berjiran dan sebagai.

(5) JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID’AH SECARA TERANG.

Umpamanya: Minum arak secara terang terangan atau seorang guru agama yang mengajar ajaran-ajaran sesat seperti syirik dan bid’ah atau bomoh dan dukun yang menggunakan amalan amalan syirik. Kita diperbolehkan menyebut keburukan atau keaiban orang orang berkenaan supaya muslimin yang lain dapat sentiasa waspada dan tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi dalam hal ini kita tidak boleh menceritakan cela mereka yang lain kecuali ada sebab-sebab lain yang membolehkannya sebagaimana tersebut diatas.

(6) SEBAGAI TANDA PENGENALAN.

Andaikata seseorang dikenal dengan gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat Pincang, Jali Sumbing, Enon Gendut dan lain-lain maka dibolehkan kita menyebut sifat-sifat tersebut tetapi dengan syarat tidak dengan nada atau tujuan menghina dan merendah rendahkan. Andaikata orang tersebut sudah dapat dikenal tanpa menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu adalah lebih baik.

—————————–

Satu Lagi Hadis dan kupasan..

Di dalam kitabnya yang berjudul ‘Nuzhatul Muttaqin’ syarah kepada kitab hadis yang masyhur ‘Riyadhus Sholihin’ mengenai siapa yang diharuskan mengumpat, pada asalnya mengumpat adalah haram akan tetapi diharuskan dalam keadaan keadaan tertentu. Dinyatakan oleh beliau diharuskan kepada enam golongan iaitu:

1. Mengadu kezaliman: Diharuskan kepada orang yang dizalimi mengadu kezaliman kepada qadi atau seumpamanya iaitu orang yang mempunyai kekuatan untuk menangani kes tersebut. Contohnya mengadu kepada hakim bahawa dia telah dizalimi oleh polan bin polan.

2. Meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran: Mengadu kepada orang yang mampu untuk mencegah kemungkaran tersebut.contohnya mengadu kepada bapa atau keluarga pelaku maksiat agar keluarganya dapat menasihati serta mencecahnya dari terus melakukannya.

3. Meminta fatwa: Diharuskan bagi orang yang ingin menanyakan fatwa mnceritakan apa yang berlaku bagi membolehkan mufti mengeluarkan hukum yang bertepatan dengan apa yang dikehendakinya.

4. Memberi peringatan kepada Muslimin serta menasihati mereka.

5. Orang yang terang terang melakukan maksiat: Dibolehkan mengumpat ke atas mereka ini bagi menyedarkan kesalahan mereka. Sebagai contoh mereka berjudi atau minum arak di jalanan, dibolehkan mengumpat atau mengata mengenai hal mereka.

6. Pengenalan kepada seseorang insan yang mana tidak dikenali orang tersebut kecuali dengan gelaran: Contohnya polan bin polan tidak dikenali di tempat asalnya kecuali dengan gelaran tertentu, maka dibolehkan.

Disediakan oleh:

Ust Muhamad Farhan bin Ismail
Jabatan Feqh Wa Usul
Universiti Mu’tah
Jordan.

No comments:

Post a Comment