Wednesday, September 30, 2009

MUHASABAH IDUL FITRI

Program hiburan di media elektronik cacatkan ibadah Aidilfitri
Oleh Mohd Akmal Afiq Mohamad

AIDILFITRI datang dan pergi sebagai kurnia dan anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk meraikan kemenangan dalam menghadapi dugaan selepas menunaikan ibadah sepanjang Ramadan. Saban tahun umat Islam bergembira merayakan Aidilfitri dengan mengamalkan tradisi balik kampung untuk menemui ayah bonda serta sanak-saudara. Tidak kurang juga ada yang mengunjung rumah jiran berdekatan untuk mengeratkan silaturahim dan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari lebaran, kita sering kali dibudayakan dengan cara sambutan yang tidak wajar dan dilihat bertentangan dengan amalan sebenar dalam menyambut kedatangan 1 Syawal. Setiap tahun apabila menjelangnya Aidilfitri, pelbagai program dan pengisian yang berbentuk hiburan melampau disajikan televisyen. Ia seolah-seolah tidak ubah seperti persaingan antara syarikat media untuk mendapat tempat di hati masyarakat Islam dan bukan lagi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Akibatnya, pelbagai bentuk rancangan yang tidak wajar dipertontonkan menerusi televisyen bagi mengisi kekosongan Aidilfitri. Lantaran itu, hari mulia 1 Syawal dicemari dengan pelbagai bentuk hiburan melampau yang bertentangan dengan norma serta nilai hidup bangsa dan agama kita.

Ia secara tidak langsung mengubah persepsi generasi muda yang tersalah faham dengan meletakkan televisyen sebagai teras utama dalam menyambut Aidilfitri. Sebagai contoh kebanyakan daripada kita terlalu leka dengan sajian hiburan yang melampau sedangkan tanggungjawab sebenar dalam melakukan perkara yang dituntut seperti berziarah, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan sebagainya diabaikan. Tidak kurang ada yang sanggup menghabiskan sepanjang hari dengan pergi ke panggung wayang menonton sehingga melupakan amalan menziarahi. Maka, dengan sajian sedemikian, akan menyebabkan terhakisnya nilai kemuliaan Aidilfitri.

Amalan ziarah untuk saling mengenali antara satu sama lain gagal dicapai disebabkan masing-masing sibuk menonton rancangan televisyen yang menarik. Tujuan tetamu yang pada mulanya hadir untuk beramah mesra dan merapatkan hubungan yang terjalin dengan tuan rumah berubah sebaik saja rancangan menarik tersaji di rumah tuan rumah. Maka, masing-masing mengalihkan perhatian dengan hanya memberikan tumpuan kepada apa yang disajikan televisyen.

Sedangkan menghormati dan memuliakan tetamu adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Nabi pernah bersabda: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya”. Di samping itu, nilai komunikasi sesama kita dalam bentuk beramah mesra, bertegur-sapa, saling bermaafan juga dibataskan.

Aidilfitri sebenarnya perlu diisi dengan laungan takbir dengan memuji kebesaran Allah dan tasbih sebagai tanda meraikan kemenangan kita dalam menyempurnakan ibadat Ramadan. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda : “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid, dan taqdis”. Pada masa sama, Aidilfitri juga menitikberatkan dua perkara asas iaitu pertalian ukhuwah sesama Muslim dan juga tazkiyatun nafsi atau pembersihan jiwa yang dibina menerusi madrasah Ramadan selama sebulan.

Maka, di sini jelas, sekiranya Aidilfitri itu sendiri diisi dengan pelbagai bentuk kemungkaran, kemaksiatan, dan hiburan yang melampau, ia sememangnya bercanggah dengan tujuan dan cara sebenar dalam meraikannya.

Dalam pada itu, nilai spiritual atau kerohanian yang dibina melalui kejayaan Ramadan juga terhakis. Madrasah Ramadan yang dianjurkan agama khusus untuk melahirkan insan yang bertakwa sukar direalisasikan ekoran pelbagai program hiburan yang bertentangan dengan adat dan agama direncanakan menerusi televisyen.

Meskipun begitu, saya secara peribadi ingin menyatakan sekalung pujian dan tahniah kepada pihak media terutama media elektronik dan media cetak tempatan yang dilihat banyak melakukan perubahan ke arah yang lebih baik untuk mendidik masyarakat terutama pada Ramadan lalu. Akan tetapi, sebaik saja berakhirnya Ramadan, pelbagai sajian yang tidak enak disajikan sehingga menyebabkan umat Islam menjadi lalai dan leka.

Masing-masing hanya mengutamakan semangat hedonisme dalam merayakan Aidilfitri dan tidak lagi mengutamakan semangat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan selepas tamat Ramadan. Sedangkan Aidilfitri adalah salah satu medan bagi umat Islam untuk membuat perubahan dan penilaian diri dari semasa ke semasa.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang pernah menyatakan bahawa sekiranya Aidilfitri disambut dengan metod dan pengisian hiburan yang keterlaluan, hukumnya adalah haram. Apabila jatuhnya hukum haram, maka sambutan Aidilfitri tidak lagi dianggap sebagai ibadah tetapi hanya adat tradisi yang bercanggah dengan agama.

Monday, September 28, 2009

HUKUMAN SYARIAH HAK ALLAH

Hukuman sebat syariah tidak seperti sebatan sivil

Isu sebat sepatutnya tidak dibesar-besarkan. Bahkan penjelasan mengenainya telah pun dibincangkan melalui satu seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada April lalu berhubung Hukuman Sebat Jenayah Syariah.

"Jika dibuat perbandingan di antara sebat syariah dan sebat sivil, kesimpulannya, sebat sivil itu lagi kejam," demikian kata pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jasri Jamal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu hukuman sebat terhadap Dewi Sari Kartika Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah Negeri Pahang kerana meminum arak di khalayak ramai, baru-baru ini.

Ujar Jasri, Islam itu agama yang indah dan sebat yang termaktub di dalam hukum syariah pula mempunyai banyak hikmah di sebaliknya.

Oleh itu mengapa ia harus dipertikaikan oleh banyak pihak. Walhal dari sudut perundangan, apa sahaja yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah, tiada pihak yang boleh mempertikai apatah lagi pihak yang berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau menggesa supaya diberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk membuat semakan di atas keputusan yang telah diputuskan.

"Sebagai ahli akademik, kes pertama ini dilihat sebagai kes teladan atau rujukan yang boleh dilihat sekiranya berlaku kes yang seumpamanya pada masa hadapan.

"Tetapi apabila kes ini 'dikacau' oleh pihak-pihak yang tidak sepatutnya bersuara, maka hukuman ke atas Kartika tergendala," jelasnya.

Kaedah Sebat

Sementara itu kekecohan kaedah sebat yang menjadi bualan masyarakat yang mempersepsikan kaedah tersebut menyerupai kaedah sebat sivil, ia harus diperbetulkan.

Menurut Dr. Jasri, kekeliruan ini berlaku mungkin disebabkan ia menjadi kes pertama.

Ditambah pula selama ini, demonstrasi sebat yang diadakan di tempat-tempat awam hanya menunjukkan kaedah sebat sivil.

Justeru sudah tiba masanya, kaedah sebat syariah dipertontonkan kepada masyarakat supaya salah faham ini boleh diperbetulkan.

Dalam pada itu memetik kertas kerja yang bertajuk, 'Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah:Satu Pandangan' oleh Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Masran Muhammad, dalam seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah, menjelaskan, daripada aspek pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah, Jabatan Penjara tidak mengalami sebarang masalah kerana semua bentuk hukuman sebat telah diajar kepada Pegawai Sebat Rotan.

Di samping itu apabila terdapat hukuman yang melibatkan sebatan rotan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah ia akan dirujuk kepada Bahagian Keselamatan, Ibu Pejabat Malaysia agar tiada sebarang kesilapan semasa pelaksanaan.

"Jabatan Penjara Malaysia perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam melaksanakan hukuman sebat di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah kerana ia melibatkan tatacara yang berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Masran menjelaskan, Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan hukuman sebat rotan terhadap pesalah-pesalah yang disabitkan dengan hukuman tersebut yang terdiri dari berbagai-bagai-bagai kategori seperti berikut:

lJenayah

lJenayah Syariah

lPecah Amanah (CBT)

lJuvana

lPesalah tatatertib penjara

Menurut Masran, secara purata pada setiap tahun selepas tahun 2005 sejumlah 775 pesalah telah dilaksanakan hukuman sebat rotan (1,700 sebatan setiap tahun secara purata).

Justeru, merujuk kes Kartika Dewi Sari, ia sepatutnya tidak menimbulkan sebarang kekecohan apatah lagi, sebatan syariah sama sekali jauh berbeza dengan sebatan sivil.

Bahkan menurut Dr. Jasri, ia boleh diibaratkan antara langit dan bumi.

Oleh itu mengapa perlu gusar sekiranya hukuman sebat syariah perlu dilaksanakan.

Sunday, September 27, 2009

KULIAH PENGAJIAN USTAZ HASMINUDDIN AKAN BERMULA

SALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH

KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT, KULIAH PENGAJIAN BERSAMA USTAZ HASMINUDDIN AKAN BERMULA. ANDA DIJEMPUT BERSAMA MENGHADIRI MAJLIS ILMU PADA MAKLUMAN SEPERTI BERIKUT :

SETIAP PAGI : ISNIN - JUMAAT : PUSAT ISLAM POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN PERLIS
(KITAB HADIS RIWAYAT 10 SAHABAT : USTAZ NURUDDIN AL BANJARI AL MAKKI)

ISNIN : KULIAH MAGHRIB : MASJID ULU PAUH
(KITAB BIDAYATUL HIDAYAH : IMAM AL GHAZALI)

SELASA : KULIAH MAGHRIB : MASJID KG GUAR GAJAH ARAU
(KITAB TAFSIR AL MUNIR : DR WAHBAH ZUHAILI)

KHAMIS : KULIAH MAGHRIB :PUSAT ISLAM POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN
(KITAB APA ERTIYA SAYA MENGANUT ISLAM : AL MARHUM USTAZ FATHI YAKAN)

JUMAAT : KULIAH MAGHRIB : MASJID KAMPUNG KUBANG GAJAH
(KITAB SIRAH Ar-Rahiq Al-Makhtum : AL FADHIL SHEIKH Safi ur-Rahman al-Mubarakpuri)

IKLAN PROGRAM PUSAT ISLAM DAN KAMSIS

SABDA RASULULLAH YANG BERMAKSUD : BARANG SIAPA YANG MENYEMBELIH (QURBAN) SEBELUM SOLAT (‘IDUL ADHA), MAKA IA MENYEMBELIH UNTUK DIRINYA, DAN BARANG SIAPA YANG MENYEMBELIH SESUDAH SOLAT SOLAT DAN DUA KHUTBAH, MAKA IA TELAH MENYEMPURNAKAN TATA CARANYA DAN MEMENUHI SUNNAH ORANG-ORANG ISLAM.(HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM)

PUSAT ISLAM DAN KAMSIS PTSS AKAN MENGANJURKAN PROGRAM QURBAN DAN AQIQAH SEMPENA HARI RAYA QURBAN 1430H PADA MAKLUMAN SEPERTI BERIKUT :

TARIKH :
29 / 11 / 2009 : 12 ZULHIJJAH 1430H (AHAD)
MASA : 8.30 PAGI
TEMPAT : PUSAT ISLAM POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN
SATU BAHAGIAN : RM 380.00


ANDA ADA MASALAH KEWANGAN?
JANGAN BIMBANG… ANDA BOLEH MEMBUAT BAYARAN SECARA ANRUSAN BERMULA DARI SEKARANG HINGGA 24 NOVEMBER 2009 (SELASA).

KEPADA WARGA PTSS YANG BERMINAT SILA HUBUNGI :
ENCIK RASHDAN BIN RASHID (PENGERUSI PUSAT ISLAM PTSS : 0195102722/1244)
USTAZ HASMINUDDIN BIN HASHIM (AJK PUSAT ISLAM PTSS : 017 9631817/6276)
USTAZ YASIR BIN OTHMAN (PENGETUA KAMSIS PTSS : 0174223060/6355)

MUHASABAH DIRI




Menilai kualiti puasa lalu

Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI

AIDILFITRI seharusnya memberikan seribu satu kegembiraan kepada kita dan seluruh umat Islam. Ibarat meraikan kemenangan yang dianugerahkan kepada setiap Muslim selepas melalui satu kem ibadah dan disiplin diri.


Melalui Firman Allah SWT, sunnah Rasulullah dan pelbagai hikmah yang ditemui di sebaliknya, berbagai-bagai kiasan dan tafsiran diberi kepada Ramadan dan ibadah puasa. Sehubungan dengan itu, bila diamat-amati terdapat tiga dimensi penting yang terkandung dalam pensyariatan ibadah puasa; hubungan hamba dengan Penciptanya, hubungan dengan sesama manusia dan tanggungjawab individu Muslim kepada diri sendiri.

Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu.

Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.

Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut.

Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.

Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.

Setelah hampir seminggu kita meninggalkannya, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita.

Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.

Menurut Ibn Abbas dan Imam al-Bukhari r.a., dalam episod bersedekah Rasulullah SAW merupakan individu yang amat pemurah kepada semua orang dan sifat kedermawanan Baginda ini bertambah-tambah pada bulan Ramadan.

Pada bulan Ramadan kita banyak menyaksikan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim menerima layanan yang istimewa dan hampir setiap hari mereka diraikan.

Walaupun demikian, adakah kita mula meninjau di mana mereka berada pada hari ini? Adakah sama seperti sebelum ketibaan Ramadan, kembali dalam keadaan yang terpinggir kerana tangan kita telah berhenti untuk menghulur bantuan dan kebaikan?

Apabila tilawah al-Quran sangat dianjurkan untuk dilakukan, selain ia menerbitkan butir-butir pahala dan berperanan sebagai pemangkin kepada doa-doa yang dipanjatkan, ia turut memberi petanda bahawa umat Islam sangat digalakkan untuk mencari dan menggali ilmu kerana al-Quran merupakan sumber dan asas ilmu kepada seluruh kehidupan manusia.

Amatlah malang bagi mereka yang berkesungguhan menjaga pemakanannya ketika berpuasa, tetapi terus mengabaikannya bila Ramadan melabuhkan tirainya.

Secara ringkasnya selepas berlalunya Ramadan, persoalan yang wajar ditanyakan oleh setiap individu Muslim kepada dirinya sendiri adalah, sama ada puasa yang baru berlalu telah berjaya melaksanakan peranannya dalam membentuk diri sebagai insan yang memiliki istiqamah dalam melakukan sebarang tindakan baik serta memelihara dirinya daripada sebarang keburukan.

Juga sama ada hubungan antara hamba dengan Penciptanya dapat dijaga secara berterusan, begitu juga dalam soal hubungan sesama manusia yang tidak membenarkan persengketaan berlaku, malah amat dianjurkan penyatuan dan berkasih sayang melalui pelbagai medium yang terkandung dalam agama Islam, serta sejauh mana pelaksanaan tanggungjawab terhadap diri sendiri dapat dikekal dan diteruskan.U/M

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Friday, September 25, 2009

BUDAYA BERMAIN MERCUN...INGIN REAKSI ANDA

SALAM ENAM SYAWAL DAN SELAMAT PAGI BUAT SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT, MUKMININ DAN
MUKMINAT. HARI INI KITA TELAH BERADA DI HARI KE ENAM BULAN SYAWAL, DAN KEBETULAN HARI JUMAAT PENGHULU SEGALA HARI.SEMOGA IANYA MENJANJIKAN SUATU YANG TERBAIK BUAT KITA SEMUA DALAM AGENDA KITA MENUNAIKAN AMANAH KITA SEBAGAI HAMBA ALLAH DI BUMI YANG BERTUAH INI.

BERMAIN MERCUN SUDAH MENJADI BUDAYA UMAT ISLAM MELAYU DI MALAYSIA. MALAM RAYA HARI RAYA. ENTAH DARI MANA, SIAPA YANG MEMULAKAN. SEBENARNYA TIADA TERDAPAT MANA-MANA NAS SAMA ADA AL QURAN ATAU HADIS YANG MENYATAKAN TENTANG PERMAINAN MERCUN.

CUMA PANDANGAN PERIBADI, PEMAIN MERCUN INI SEBENARNYA BERANI, MAKA LAYAKLAH DIHANTARKAN KEPADA PALESTIN AGAR MENJADI PEJUANG FI SABILLAH. SEKADAR CADANGAN...APA REAKSI ANDA

Wednesday, September 23, 2009

MAKLUMAN UTK SEMUA




SALAMUALAIKUM

UNTUK SEMUA SAHABAT-SAHABATKU US DEEN BERADA DI KAMPUNG (PERUMAHAN PERAMU JAYA 02) PEKAN PAHANG BERMULA 29 RAMADHAN HINGGA 8 SYAWAL 1430H.

KULIAH SUBUH AKAN BERJALAN DI SURAU AL HIDAYAH BERMULA 30 RAMADHAN HINGGA 8 SYAWAL.

SALAM SYAWAL BUAT SEMUA...TAQABBALALLAH MINNI WA MINKUM.

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah




Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

seni islam
sumber

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

25 Oktober 2006

(Diedit semula pada 3 Syawal 1428 H = 15 Oktober 2007)

TERBIT SEMULA : 8 OKTOBER 2008 ( 9 Syawal 1429 H)

p/s : Anda bebas untuk tidak menyetujui kesimpulan saya dalam tulisan ini. Bagaimanapuan, pihak saya tidak mengalu-alukan sebarang perdebatan dan hujah balas dalam ruangan komen. Saya meraikan setiap pandangan tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

Justeru, tidak perlulah berhujjah di sini, ini bukan tempatnya yang sesuai.

126072008

Last update: 08-10-2008 01:04

Ustaz Zaharuddin di tv9




Justeru, dengan rendah diri, saya menjemput tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama dengan al fadhil ustaz Zaharuddin Bin Abd Rahman, di dalam rancangan tersebut pada

Jumaat : 25 Sept (7.00-8.00 pg)

Sabtu : 26 Sept ( 7.00 - 8.00 pg)

Ahad : 27 September ( 7.00 - 8.00 pg).

Tema atau topik :

"Jual beli dan Perniagaan Menurut Islam"

Friday, September 18, 2009

Akhir Ramadhan yang memilukan






SALAMUALAIKUM...

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya, tearasa sekejap bersamamu Ramadhan. Amalanku amat sedikit. Bacaan Quranku sedikit, Qiamku sedikit, perasaan mazmumah masih menebal, rasa mahmudah rasa baru nak bercambah. Rasanya macam baru semalam baru aku bersamamu Ramadhan.

Terlalu sayang dan sedih nak berpisah denganmu wahai Ramadhan. Bulan yang penuh rahmat, penuh keampunan, bulan pembebasan dari api neraka, bulan setiap ibadah diberi 70 ganda pahala. Puasa di bulan Ramadhan dimonitor sendiri Allah, Ya Allah terasa malu dan takut rasanya sekiranya apa yang telahku persembahkan padaMu tidak seperti yang engkau kehendaki. Terlalu banyak yang belum ku buat sebelum aku beretemu denganMu. Namun hati ini amat berharap dengan amal yang sedikit ini dapat diterima olehMu.

Mahu tidak mahu terpaksa aku berpisah denganMu. Kuharap dapat bertemu denganmu lagi pada Ramadhan 1431H. Salam Idul Fitri buat semua.

Saturday, September 12, 2009

JOM KITA IKTIKAF DAN QIAM




SAYA MENGAJAK DIRI SAYA DAN SAHABAT-SAHABAT MARILAH KITA SAMA-SAMA BERIKTIKAF SETIAP HARI DI PUSAT ISLAM POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN. PROGRAM ITIKAF DAN QIAM SEPERTI BERIKUT ;

11.15 MALAM TADARUS

12.15 MALAM TIDUR
IBADAH FARDIAH

04.00 PAGI QIAM
SOLAT TAHAJUD

05.15 PAGI SAHUR JAMAIE

06.10 PAGI SOLAT SUBUH BERJEMAAH

06.25 PAGI KULIAH SUBUH

07.00 PAGI IKTIKAF

08.00 PAGI SOLAT DHUHA
BERSURAI

i'tikaf dan lailatul qadar




Salamualaikum saudara-saudariku, hamba-hama Allah sekalian. Al hamdulillah kita telah berada di fasa ketiga bulan Ramadhan 1430H. Fasa dimana Allah akan mengurniakan kepada orang yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan "pembebasasan dari api neraka". Inilah suatu anugerah yang tinggi sesudah rahmat dan keampunan telah dijanjikan.

Hari ini ana berbuka puasa di rumah bapa mertua di Kepala Batas Alor Setar, menu berbuka ikan bakar, siakap masak 3 rasa dll. Al hamdulilllah rezeki Allah. Jadi solat tarawih di masjid Bukit Tinggi, al hamdulillah ada la 4 saf. Kebanayakanya semuanya mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Masjid Bukit Tinggi solat tarwih 20 rakaat. Cuma ada beberapa perkara yang perlu diperbetulkan iaitu terlalu mengejar pun kurang elok dalam solat. Masa selang 8 rakaat, bilal semua Al Khalifatul Ula, Sebetulnya Al Khalifatul Awwal sebab Khalifah yang empat semuanya lelaki.....Jadi perkara ini perlu diperbetul dan diperjelas.

Nak cerita jugak pasal 10 malam terakhir ni,,,,sepatutnya masyarakat kita anjurkan program semarak iktikaf dengan beramai-ramai iktikaf, qiamullail dan sahur. Jadi marilah kita mencontohi junjungan rasul pada 10 malam terkahir ini dengan :

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman.
Ibn Abi 'Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: "Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak". (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi'en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi'en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

2. Mencari lailatul qadr

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu". (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu. Melewatkan sahur Daripada Sahl ibn Sa'd berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: "Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

3. Melakukan iktikaf.

Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari". (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

4. Membanyakkan doa
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa' fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak". (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

Semoga kita diberikan peluang oleh Allah untuk menikmati malam yang amat bermakna iaitu malam Lailatul Qadar. Selamat beramal dan beribadah serta beriktikaf.

Friday, September 11, 2009

CERAMAH USTAZ HASMINUDDIN BIN HASHIM




SATU CERAMAH NUZUL AL QURAN DAN IHYA RAMADHAN TELAH DIADAKAN DI SMKA ARAU
PADA : 21 RAMADHAN (11.9.2009).
MASA : 10.30 PAGI

TEMPAT : SURAU SMKA ARAU

AL HAMDULILLAH CERAMAH PAGI INI DIADAKAN DI SMKA ARAU. MENDAPAT SAMBUTAN HANGAT.
ANA MULAKAN DENGAN SLIDE KESILAPAN-KESILAPAN YANG DILAKUKAN DALAM BULAN RAMADHAN. KEMUDIAN SLIDE 7 PEPERANGAN DALAM ISLAM. TERUJA PELAJAR-PELAJAR BILA SLIDE MENUNJUKKAN HEROES IN THE BATTLE. TAPI ITULAH YANG MESTI DITAMPILKAN AGAR PELAJAR-PELAJAR ISLAM TIDAK MELUPAKAN HERO-HERO ISLAM BERMULA DARI RASULULLAH, ABU BAKAR, UMAR, UTHMAN DAN ALI.

SLIDE TERAKHIR, ANA TAMPILKAN ADAB-ADAB MEMBACA AL QURAN. ANA KURANG BERBICA PASAL NUZUL KERANA MUNGKIN PELAJAR SMKA SUDAH MAKLUM. CUMA ANA TEKANKAN BAB ADAB INI KERANA RAMAI YANG CUAIKAN ADAB MEMBACA AL QURAN SEHINGGA MEMBACA AL QURAN DALAM KEADAAN BERMAIN-MAIN.

HABIS CERAMAH BERKENALAN DENGAN SEORANG USTAZ DISITU RUPANYA SAHABAT ADIK ANA KETIKA MENUNTUT DI UNIVERSITI HASHEMIT DI JORDAN. ITULAH DUNIA KECIL SAHAJA. ADA JUGA DIKALANGAN PELAJAR YANG SEMPAT NAK COPY VCLIP, SEMOAGA USAHA MEREKA DIGANJARI ALLAH.

SEMOGA BAKI YANG SEDIKIT DALAM BULAN RAMADHAN INI MENJAJNJIKAN SUATU YANG TERBAIK BUAT DIRI KITA. SEMARAKKAN SEPULUH TERAKHIR DENGAN I'TIKAF DAN QIAM, AGAR LAILATUL QADAR DIANUGERAHKAN KEPADA KITA, INSYA ALLAH.

Sunday, September 6, 2009

17 Ramadhan tarikh istimewa (Nuzul Al Quran)




Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 185 yang bermaksud : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 123 yang bermaksud : Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang kamu tidak akan sesat sekiranya kamu beramal dengannya iaitulah Al Quran dan Sunnah Rasululullah”.

Penjelasan :

Alhamdulillah hari ini kita telah berada pada hari yang ke 17 dalam bulan yang mulia, bulan Ramadhan yang telah diisytiharkan oleh Allah dan Rasul sebagai bulan yang penuh dan mewah dengan tawaran-tawaran (tawaran pengampunan, tawaran rahmat, tawaran bebas dari api neraka, tawaran amalan yang dilakukan dilipatkan 70 kali ganda, tawaran lailatul qadar, tawaran bersedekah dan banyak). Allah bertinak selaku monitor puasa insan yang beriman agar segala tawaran yang dilaksanakan mendapat pointer terbaik dari Allah.

Wahai hamba-hamba Allah yang beriman, sesungguhnya penurunan Al Quran merupakan suatu hadiah terbaik buat Rasul dan ummah bagi menjadi rujukan terbaik bagi mengharungi kehidupan yang penuh cabaran, mehnah dan tribulasi. Justeru Allah telah ingatkan apa sahaja pertikaian yang berlaku hendaklah merujuk Allah dan Rasul. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang kamu tidak akan sesat sekiranya kamu beramal dengannya iaitulah Al Quran dan Sunnah Rasululullah”.

Al Quran diturunkan sebagai hidayah kepada manusia dan menjelaskan mana yang benar dan batil. Untuk mendapatkan hidayah mestilah melalui pembacaan dan pengamatan. Sebab itulah Allah menurunkan 5 ayat pertama dalam surah Al Alaq “1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),2. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; 3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, 4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, 5. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. untuk memberitahu kita betapa pembacaan terlalu penting buat manusia, khususnya yang bernama muslim”.

Bermula dari 5 ayat diatas seterusnya Al Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun. Sheikh Muhammad Ali Al Sobuni menjelaskan hikmah penuruanan Al Quran sedemikian kerana

Pertama : Memperkukuh (memantapkan hati Rasulullah dalam menghadapi golongan musyrikin yang menyakitkan hati baginda.
Firman Allah dalam surah Al Furqan ayat 32 yang bermaksud : Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?” Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.

Kedua : Sebagai tanda kasih sayang kepada Rasululullah ketika turun wahyu.
Firman Allah dalam surah Al Muzammil ayat 5 yang bermaksud : (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat. (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

Ketiga : Penurunan hukum syariat secara berperingkat. Contoh penghamaran arak secara berperingkat :
1. Firman Allah dalam surah Al Nahl ayat 67 yang bermaksud : Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.
2. Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 219 yang bermaksud : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.
3. Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 43 yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
4. Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 90-91 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Keempat : Mempermudahkan hafalan dan kefahaman Al Quran.
Firman Allah dalam surah Al Jumuah ayat 2 yang bermaksud : Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.


KKelima : Sebagai jawapan terhadap peristiwa mahupun kes.
Firman Allah dalam surah Al Taubah ayat 25 yang bermaksud : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Keenam : Sebagai petunjuk kepada Allah yang mentunkan Al Quran
Firman Allah dalam surah Al Nisa’ ayat 82 yang bermaksud : Patu
tkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

Firman Allah dalam surah Hud ayat 1 yang bermaksud : Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

Semoga peristiwa nuzul Al Quran menjadi suatu yang paling bernilai sebagai seorang yang beriman kepada Allah. Jadikanlah Al Quran sebagai :

1. Rujukan utama dan Pedoman hidup kita.
2. Penghibur ketika hati berduka.
3. Perawat terbaik untuk segala penyakit fizikal dan rohani.
4. Sumber motivasi terbaik.
5. Sumber kisah terbaik.
6. Bacaan utama sebelum pembacaan yang lain.

Saturday, September 5, 2009

MALAM INI BERSAMA USTAZ HASMINUDDIN





US HASMINUDDIN B HASHIM AKAN MENYAMPAIKAN TAZKIRAH RAMADHAN :

TARIKH : 15 RAMADHAN 1430H (MALAM 16 RAMADHAN 1430 H) : 5 September 2009
BERTAJUK : BATTLE OF RAMADHAN
MASA : PADA MALAM INI SELEPAS 4 RAKAAT
TEMPAT : PUSAT ISLAM POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN ARAU PERLIS

Friday, September 4, 2009

OFFER RAMADHAN YANG TIDAK DIHIRAUKAN




CUBA KITA RENUNG 3 HADIS INI :

1. Sabda Rasulullah yang bermaksud : Barang siapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan bersungguh akan diampunkan dosanya yang telah lalu.

2. Sabda Rasulullah yang bermaksud : Barang siapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan bersungguh akan diampunkan dosanya yang telah lalu.

3. Sabda Rasulullah yang bermaksud : Barang siapa yang mendirikan malam Lailatul Qadar dengan keimanan dan bersungguh akan diampunkan dosanya yang telah lalu.

Penjelasan.

Hadis yang telah dinyatakan di atas merupakan peluang, hadiah dari Allah yang disediakan kepada mereka yang menghargai nikmat Allah yang tidak terhingga. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud : Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. Nikmat yang mesti dan wajib dihargai oleh insan yang memperakui bahawa dirinya ialah warga muslim yang mendiami madrasah Ramadhan.

Hadis pertama :

Rasul memberitahu kita barangsiapa yang berpuasa dengan bersungguh dan keimanan dengan menahan anggota tubuh badan dan hati akan diampunkan dosa Allah. Berpuasa dengan bersungguh memperolehi ganjaran, bersungguh mempelajari ilmu tentang puasa, bersungguh membetulkan solat, bersungguh bertaubat kepada Allah, bersungguh ingin mendapatkan habuan Allah dengan keimanan kepada Allah. Keimanan yang meletakkan hanya Allah yang berkuasa menentukan segala dengan ikhtiar kita sebagai hambaNya yang banyak melakukan dosa.

Justeru tawaran Allah agar diredeemkan dosa patut diambil peluang oleh seluruh meslimin dan muslimat. Namun kini semuanya sudah berlalu, alasan yang kerap diberikan letih, sibuk, malas, sampainya hati yang mengaku islam melafazkan kata-kata durja kepada amalan nabi dan amalan sahabat.

Hadis kedua

Rasul menyatakan barangsiapa yang mendirikan malam di bulan Ramadhan dengan kesungguhan dan keimanan akan diampunkan dosanya yang telah lalu oleh Allah. Mendirikan malam dengan membaca Al Quran, solat tarawih, solat tahajud, pengisian ilmu. Perkara ini kurang diperhatikan oleh generasi hari ini. Lihatlah generasi rasul yang tidak lekang lidah dan mulut mereka menyebut kalimah Allah, tiadak ada dalam kamus hidup mereka perkataan letih dan rehat. Walau baru kembali dari medan peperangan kewajipan Allah wajib ditaati.Sebab itulah nafsu merupakan musuh yang lebih besar dari tentara di medan perang. Perlawanan dengan nafsu ini akan berterusan sehinggalah nyawa dan badan kita berpisah.

Hadis ketiga

Lailatul Qadar yang dijanjikan pada malam-malam ganjil 10 Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan malam terakhir sebagai suatu hadiah terbesar sebelum hadiah perlawanan akhir., firman Allah dalam surah Al Qadr ayat 3 : yang bermaksud : Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Matlamatnya ialah memberikan keampunan kepada insan agar sebelas bulan yang mendatang bakal dihiasi dengan keindahan iman dan islam kesan dari kurniaan Allah.
Jadi tunggu apa lagi rebutlah sebelum nyawa kita dikembalikan buat selamanya kepada Allah, kita menjadi tua, kita tidak mempunyai harta, datang waktu sibuk yang kurang mungkin menyebabkan kita boleh memberikan tumpuan pada Allah, nikmat sihat ditukarkan kepada ujian kesakitan yang takut-takut kita tidak mampu bertahan yang kufur kepada Allah.

Ayuh, muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat, adik-adik, abang-abang dan kakak-kakak, pekerja kerajaan dan swasta, pemimpin-pemimpin masyarakat muslim, para ustaz, para cendikiawan, para penjenayah, para pencuri, para penyeluk saku, para pelaku maksiat, para samseng jalanan, para artis, para pelakon, para pelajar : sek rendah, sek men, para penuntut IPTA/IPTS. Rebutlah tawaran Allah berdasarkan 3 hadis di atas yang bermatlamat memberi keampunan Allah. Alangkah seronok sekiranya kita mendapat keampuan Allah. Alangkah hinanya sekiranya kita mendapat kemurkaan Allah. KIVkanlah sambutan hari raya dahulu untuk merebut tawaran Allah agar keampunan Allah yang diraih guna menghadapi 11 bulan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi, yang akhirnya kemenangan yang dijanji Allah pada 1syawal Insya Allah.

Selamat menjalani ibadah puasa dari ustaz Deen dan cikgu Farzana(isteri saya).

Jom Selawat