Thursday, August 25, 2011

Baiki Solat Dan Jaga Amanah



Pada kali ini marilah kita renungkan 6 soalan yang dibincangkan oleh Imam Ghazali dengan murid-muridnya. Walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya amat besar peranan dan kesan dalam hidup kita di dunia apatah lagi sewaktu kita berjumpa Allah nanti. Mari kita bincangkan dalam konteks kehidupan pada hari ini semoga kita dapat manfaatnya.

Soalan-soalan tersebut ialah
1. Apakah benda yang paling dekat ?
2. Apakah benda yang paling jauh ?
3. Apakah perkara yang paling besar?
4. Apakah perkara yang paling berat?
5. Apakah benda yang paling ringan? dan
6. Apakah yang paling tajam?

Saya percaya hampir semua orang Islam tahu menjawab soalan-soalan tersebut tetapi apalah salahnya diulang semula kerana kita tidak dapat lari dari penyakit lalai dan lupa, dan adakalanya kita tersilap memberi keutamaan.

1. Benda yang dekat ialah mati. Sesuai dengan umur dunia yang sudah semakin tua, kita pun tidak tahu bila masanya kita akan mati. Mati tidak sahaja menimpa orang yang sakit, tetapi juga mereka yang tidak pernah sakit, baik tua baik muda baik kanak-kanak atau siapa sahaja.

Mati di sini juga boleh membawa maksud sakit di mana kita tidak mampu buat apa-apa lagi dalam menguruskan diri kita sama seperti orang yang telah mati hanya berharap diuruskan oleh orang lain yang hidup dan sihat. Oleh itu sebelum kita tidak dapat menguruskan diri baiklah kita bersiap sedia apa-apa yang perlu.

Kita perlu pastikan semua yang kita buat ada hubungkaitnya dengan beribadat kepada Allah. Disamping menikmati hasil keduniaan kita juga akan dapat ganjaran pahala sebagai bekalan yang kekal, Insyaallah.

Saidina Umar Al-Khattab r.a. pernah mengingatkan kita , “ Hisablah (hitunglah) diri kamu sebelum kamu dihisab(dihitung ) dihadapan Allah di akhirat nanti.”

Mati adalah satu perkara yang sangat menggerunkan dan untuk meringankan azab sakratulmaut, disamping menunaikan ibadat-ibadat wajib, banyakkanlah beristighfar, berzikir dan bertahmid memuji keagungan dan kebesaran Allah, serta sentiasa meminta belas-ihsan panduan Allah terhadap apa jua yang kita lakukan. Di samping itu banyakkanlah berselawat atas Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. mudah-mudahan dengan syafaat baginda kita diringankan bebanan terutama di dalam kubur.

Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya sentiasa berselawat ke atas rasulnya, dan dalam sebuah hadis ada diriwayatkan sabda Rasulullah bahawa setiap selawat yang kita ucapkan ke atas rasul akan dibalas dengan 10 kali selawat oleh Allah ke atas kita.

Rasulullah pernah mengingatkan isterinya Saidatina Aishah r.a. dalam sebuah hadis yang bermaksud “Jangan kamu tidur sebelum kamu melaksanakan empat perkara, membaca Al-Quran sampai khatam (membaca surah Al-Ikhlas 3 kali), berselawat keatas Rasulmu, berdoa memohon keampunan untuk seluruh umat Islam, dan beristigfar, berzikir, bertahmid memuji kebesaran Allah Subhanahuwataala.”

Hadis yang ringkas ini bukannya susah pun untuk dilaksanakan jika kita jadikan amalan setiap malam sebelum tidur. Kalaulah terus tertidur tak bangun-bangun keesokan paginya, Insyaallah mati kita adalah dalam iman.

Kalau mampu buatlah solat sunat taubat setiap malam sebelum tidur, meminta keampunan atas segala kesalahan yang kita lakukan, dengan perasaan yang amat benci terhadap kelakuan kita tesebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

2. Benda yang paling jauh ialah masa yang telah lalu. Masa yang telah lalu sudah menjadi sejarah dan tidak ada apa-apa yang kita ubah lagi. Oleh itu dengan kesempatan yang masih ada lakukanlah sesuatu yang baik, atau ubahlah sesuatu yang kurang baik kepada perkara yang lebih baik.

Contoh paling nyata ialah sewaktu anak-anak masih kecil, asuhlah mereka supaya hormati orang-orang tua. Atau pun jangan berhenti menyuruh mereka solat bila sampai waktunya. Dengan sendirinya perkara-perkara baik sebegini akan jadi tabiat yang berguna dan Insyaallah akan kekal sehingga mereka meningkat dewasa.

Mungkin ada anak-anak kita yang sedikit degil tetapi janganlah hendaknya kita berputus asa. Anak-anak kecil belum tahu apa-apa, ibubapalah pembentuk mereka.
Sedikit sahaja kelalaian dipihak kita kesannya cukup besar bila mereka dewasa nanti

Kalau kita ada kuasa untuk mengubah sesuatu kepada yang lebih baik, maka ubahlah sewaktu kita ada kuasa, jangan tunggu sehingga kuasa sudah hilang baru kita teringat. Kadang-kadang kita tidak tahu kita ada kuasa sehingga kuasa itu hilang dari genggaman kita.

3. Perkara dan musuh yang paling besar pula ialah nafsu ?
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia boleh menjinakkan nafsu supaya mengikut kata imannya. “

Kehendak nafsu sentiasa berlawanan dengan kehendak atau dorongan iman. Setiap orang Islam mesti berusaha untuk mengawal nafsunya, baik nafsu makan, nafsu syahwat, nafsu bekerja, nafsu berhibur, nafsu mencari harta, nafsu berpakaian, nafsu berkata-kata, nafsu untuk berkuasa, nafsu menghias rumah, nafsu suka dipuji, nafsu bermegah-megah dan sebagainya.

Antara contoh-contoh bagaimana nafsu berusaha untuk mengawal dan mempengaruhi kita ialah, bila terdengar azan untuk solat, nafsu akan memujuk, biarlah ! lambat lagi, apa nak kejar, kalau kita hendak menolong seseorang, nafsu akan mengatakan, buat apa nak tolong, ramai lagi orang lain boleh menolong; nak bersedekah dengan wang yang sedikit sedang itu sahaja yang kita mampu,

nafsu akan mengatakan, sedikit boleh jadi apa, tunggulah lain kali sahaja, tentu lebih banyak dapat disediakan, nak mula mendekati mesjid selalu, nafsu akan memujuk dengan mengatakan apa nak susah, umur masih muda, di rumah pun boleh solat, tua nanti buatlah lagi senang dah kurang tanggungjawab kerana anak-anak dah besar dan macam-macam lagi. Sangat ramai orang yang tewas kerana nafsu.

Dalam bulan Ramadan ini berjayakah kita melawan nafsu makan, mampukah kita mengurangkan belanja dapur berbanding dengan bulan-bulan sebelum ini ?

Nafsu juga boleh menyebabkan kita jadi bakhil. Kita selalu keberatan untuk berderma atau bersedekah sebab takut miskin sedangkan kaya miskin adalah anugerah dan ketentuan Allah. Allah boleh bagi atau tarik balik sebarang rezeki yang Dia bagi kepada kita..

4. Perkara yang paling berat adalah memegang amanah.
Sejauh mana kita menjalankan tanggungjawab kita memegang amanah. Adakalanya tanggungjawab itu datang sendiri secara mengejut seperti bila ibu atau bapa meninggal dunia, atau bila ketua pejabat bertukar sementara datangnya pengganti. Adakalanya tanggungjawab datang kerana kita memintanya melalui pertandingan atau pun ditawarkan.

Di mana sahaja setiap seorang dari kita mesti ada memikul amanah sekurang-kurangnya terhadap diri sendiri dan keluarga.

Seorang majikan atau ketua tempat bekerja memikul amanah bagaimana menjaga kebajikan dan pengurusan tempat kerja tersebut supaya teratur, tanpa penyelewengan, sentiasa ceria dan berdaya maju.

Seorang pemimpin negara atau parti atau persatuan mesti menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tidak boleh pecah amanah menyalahgunakan apa-apa yang bukan hak kita untuk diri sendiri. Khalifah Umar Abd Aziz r.a. menunjukkan contoh yang baik iaitu jika urusan keluarga maka dia akan menggunakan lilin khas untuk urusan keluarga dan bukan menggunakan lilin yang dikhaskan untuk urusan negara.

Pecah amanah juga boleh berlaku jika kita menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang kita sukai atau rapat dengan kita tetapi dia tidak layak atau yang belum sampai masanya untuk memegang jawatan tersebut sedangkan ada orang lain yang lebih layak kepada jawatan itu.

Kesan pecah amanah amat besar bukan sahaja kepada individu tetapi mungkin kepada anak-anak dan keluarga. Sekiranya melibatkan wang maka apa yang pasti ialah makanan yang dibeli dengan wang haram itu seumpama memasukkan api neraka ke dalam mulut kita dan anak-anak kita.

Pernah kita mendengar orang-orang mengatakan, “Aku gunakan wang itu bukan untuk makanan tetapi benda-benda lain yang tak akan jadi darah daging aku dan keluarga aku” Betulkah ?

Jika dengan wang haram itu dibelikan barang-barang keperluan, maka wang asal yang disediakan untuk membeli barang-barang itu sudah bukan hak kita lagi, sesungguhnya semua wang dari sumber tidak halal, akan tetap haram.

Kita janganlah lupa terhadap cerita bagaimana seorang pekerja yang baik tetap disiksa Allah kerana mengambil sedikit sahaja carikan kayu dari tempat kerjanya tanpa kebenaran tuannya untuk membersihkan giginya. Sesungguhnya Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui apa yang kita kerjakan.

“Dan janganlah kamu makan iaitu mengambil harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah , dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (iaitu mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). Al-Baqarah 188

Memang amat berat kalau terpaksa memikul amanah sedangkan ramai dari kita tidak mampu untuk memikulnya. Kalau boleh, elakkanlah secara sengaja mencari sebarang beban sedangkan kita tahu kita adalah lemah dan tidak mampu untuk melaksanakannya.

“ Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala” An-Nisaa 10

Sebagai contoh; Sekiranya ada antara kita (sama ada lelaki atau perempuan) yang diamanahkan menjaga harta peninggalan ibu bapa yang dulunya kita jaga sewaktu adik-adik masih kecil, dan kini mereka telah dewasa, maka pulangkanlah (serahkan) semula jika masih ada kepada adik-adik kerana itu bukan hak kita lagi.

Janganlah pula dijadikan hak kekal dan diberikan pula kepada anak-anak dengan perasaan takut miskin kerana rezeki itu adalah hak Allah, kita hanya pemegang amanah sahaja. Harta-harta rampasan seperti inilah yang akan merenggangkan silaturrahim dan menyusutkan segala keberkatan amalan yang kita lakukan.

Seiring dengan ketibaan Hariraya tak lama lagi, para ustaz juga selalu mengingatkan kita, janganlah pula kerana hendak menyambut Hari Raya kita menambah hutang jika tidak perlu, atau menambah dosa dengan menyalahgunakan harta atau apa-apa yang bukan hak kita walaupun sementara dengan tujuan lepas raya dipulangkan atau bila ada wang akan diganti semula.

Ingatlah bagaimana cerita Saidina Umar Al-Khattab r.a. diperingatkan oleh pegawai kewangannya supaya tidak menggunakan kemudahan perbendaharaan Islam walaupun ketika itu khalifah dalam kesempitan. Sesungguhnya mati itu sangat hampir dan kita semua tidak tahu setakat mana umur kita.

Sama-samalah kita menjaga semua amanah sebaik mungkin, Insyaallah kita akan selamat.

5. Yang paling ringan ialah meninggalkan solat:

“ Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya” An-Nisaa’ 103

Sebagai tanda beriman semua orang Islam mesti melaksanakan Rukun Islam yang kedua iaitu sembahyang(solat) pada waktunya. Tidak ada alasan untuk melambat atau meninggalkan solat..
Imam Ghazali mengatakan solatlah yang paling diambil mudah untuk ditinggalkan oleh orang Islam.

“ Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yaqin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya “ Al-Baqarah 45-46

Terlalu banyak alasan yang selalu digunakan oleh orang Islam yang tidak kuat imannya, seperti pakaian kotor, (adakah pakaian kotor itu najis atau tidak najis); masa masih ada lagi (yaqinkah selepas itu kita akan kelapangan dan ada masa ); mesjid dan surau tak ada (solat itu di masjid dan surau sajakah );

telekung tak bawa (wajibkah bertelukung, apa kah pakaian kita tidak menutup aurat); sejadah tak ada (perlukah sejadah)?. Saya pernah melihat warga kita di luar negara, tepi jalan, tepi perhentian bas, di stesen keretapi, dalam supermarket pun (dalam tempat uji pakaian ) boleh solat. Sesungguhnya bumi Allah ini luas dan bersih kecuali disempitkan dan dikotorkan oleh manusia.

Meringankan solat juga boleh bermaksud meringankan kesempurnaan solat seperti, tidak berjemaah, kalau berjemaaah , saf tidak lurus, masuk saf lambat, jemaah tidak rapat satu sama lain, tidak mahu berganjak kalau ada lompang setelah ada makmum yang keluar saf, pentingkan diri dengan mengejar kipas dan alat hawa dingin, bersuara kuat hingga ganggu orang di sebelah, atau tidak berwuduk dengan sempurna, dan lain-lain lagi.

Rasulullah mengingatkan kita bahawa amalan solatlah yang akan dinilai dahulu sebelum Allah menilai ibadat yang lain, secara tidak langsung kalau gagal penilaian solat, amalan yang lain akan sia-sia sahaja.

Orang yang gagal dalam penilaian solat atau solatnya tidak diterima, atau yang tidak bersolat, tempat mereka adalah dalam neraka Saqar. Penghuni neraka Saqar dibakar sehingga hangus dan kemudian dipulihkan semula kulit-kulit mereka dan dibakar semula, begitulah seterusnya dan mereka kekal di dalamnya.

“Tentang (tempat tinggal) orang yang bersalah, “ Al-Muddaththir 41

Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka (ahli syurga bertanya); “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka ) Saqar ? ” Al-Muddaththir 42

“Orang-orang yang bersalah itu menjawab; “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang (solat); “ Al-Muddaththir 43

“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;” Al-Muddaththir 44

“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; “ Al-Muddaththir 45

“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasnan” Al-Muddaththir 46

Marilah sama-sama kita terus berusaha memperbaiki solat kita kerana solat adalah tiang agama.

6. Yang paling tajam ialah lidah

Tidak ada senjata yang paling tajam selain daripada lidah.

Lidah (keupayaan berkata-kata) perlu digunakan untuk kebaikan dan janganlah pula digunakan untuk keburukan.

Jika percakapan yang disampaikan berupa provokasi atau pun fitnah, pengajaran yang terpesong, atau arahan yang zalim dan kejam, kesan atau akibatnya amat serius boleh mendatangkan kesan buruk satu atau beberapa generasi yang tidak boleh diperbaiki lagi sampai bila-bila. Memang mudah untuk memohon maaf atas sebarang ketelanjuran kata-kata, tetapi bagaimana pula kesan emosi, atau kesan jangka panjang ke atas individu, atau keluarga yang menjadi mangsa, sudah pasti amat sukar untuk disembuhkan.

“ Fitnah itu lebih buruk(dahsyat) daripada membunuh”

Orang Islam tidak akan lupa bagaimana rumahtangga Rasulullah bergoncang akibat fitnah yang ditujukan ke atas Saidatina Aishah r.a. isteri baginda sehingga Allah menurunkan wahyu menerangkan kebenaran dan menjernihkan suasana.

Oleh itu untuk tidak dimurkai Allah, dalam pergaulan sehari-hari, jangan amalkan sifat munafik dan jauhkan diri dari mereka yang bersifat demikian iaitu; kalau berjanji dia mungkir janji, kalau bercakap dia dusta dan kalau diberi amanah dia akan pecah amanah.

Sebaliknya lidah (yakni keupayaan berkata-kata) hendaklah digunakan untuk menyampaikan ilmu yang berguna, memberi nasihat atau mengajar dan membaca Al-Quran dan sebagainya. Ia bukan sahaja berfaedah untuk diri penyampai, malahan akan memberi menfaat untuk masyarakat sampai bila-bila. Sekiranya perkara baik tersebut disebarkan pula kepada orang lain selepas itu, ganjarannya akan terus berterusan seperti mengalirnya air sungai sama juga seperti ganjaran harta diinfakkan untuk ke jalan Allah.

“ Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”
(A-Li Imraan 133).

Sebaik-baiknya marilah sama-sama kita meneruskan tugas Rasulullah menyeru kepada berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan, terutama kepada diri sendiri, anak-anak, isteri dan kaum keluarga kita, sesungguhnya kita hanya penyeru dan penyampai dan kita tiada daya untuk memberi hidayah kerana ia hak Allah, sepertimana gagalnya seruan Nabi Ibrahin a.s. kepada bapanya, Nabi Noh a.s kepad anaknya, Nabi Musa a.s. kepada Firaun, Qarun dan Haman, Nabi Muhammad s.a.w kepada bapa saudara baginda, dan sesungguhnya kita adalah dilarang berputus asa.
Mudah-mudahan dengan usaha yang berterusan, kita dan orang-orang disekeliling kita akan tetap dalam peliharaan Allah sampai bila-bila.

Disamping itu semasa melakukan ibadat atau kerja-kerja kebajikan janganlah pula lupa berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita sentiasa dipermudahkan dan dilimpahi rahmat dan kurniaanNya.

“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepada mu (Wahai Muhammad) mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka ) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir ( kepada mereka ); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu, Maka mereka hendaklah menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu);, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul “ Al-Baqarah 186

“Dan Tuhan kamu berfirman” Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina” Al-Mukmin 60

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri” Al-Baqarah 222

“ Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” An-Nahl 128

Suka juga diselitkan di sini janganlah kita celupar dalam berkata-kata walaupun ia tidak menyakitkan hati sesiapa tetapi dibimbangi kalau kata-kata tersebut akan menjadi seperti doa yang akan merugikan kita seperti contohnya, pasangan pengantin baru berkata tidak mahu anak dahulu, nak rehat dahulu, anak-anak menyusahkan atau sebagainya.

Jika ia diucapkan sewaktu Allah mengkabulkan doa kan susah jadinya. Ataupun mereka yang baru keluar pusat pengajian, tak mahu minta kerja dulu, nak rehat dulu, sudah penat nak rehat seketika, nantilah dulu atau apa-apa sahaja ucapan yang tidak sepatutnya diucapkan.

Sudah banyak kali kita mendengar orang merungut dah puas berusaha tapi masih susah dapat anak, susah dapat kerja dan sebagainya. Bagi mereka yang terlibat, eloklah muhasabah diri kalau-kalau pernah tersasul kata walaupun tanpa niat.

Jika ada eloklah buat solat taubat banyak-banyak minta keampunan dan minta dikasihani Allah. Ambillah peluang istimewa di bulan Ramadan yang amat berkat, dan bulan yang dibuka pintu langit tanpa sebarang hijab ini, semoga segala permohonan dimakbulkanNya, Insyaallah.. .

Dalam sebuah hadis Rasulullah ada menyebut bahawa tiga kumpulan yang tidak ragu-ragu akan dimakbulkan doanya ialah orang-orang yang dizalimi, orang yang bermusafir dan doa ibubapa terhadap anak-anaknya.

Oleh itu mulai sekarang marilah kita berazam untuk memperbaiki apa-apa sahaja kelemahan yang ada, memperbaiki kesempurnaan semua ibadat kita, tuturkata dan tingkahlaku dan berusaha menyumbangkan apa-apa sahaja yang kita terdaya demi agama Islam yang kita kasihi, mudah-mudahan nama kita akan diseru oleh semua malaikat yang menjaga semua pintu-pintu syurga di hari pembalasan nanti, Amin...

Oleh: MZD

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat