Wednesday, August 17, 2011

MUHASABAH RAMADHAN




Al hamdulillah Allah telah memberi peluang kepada kita selaku hambanya yang banyak bergelumang dengan dosa dan noda ini melepasi hari yang ke 15 pada hari ini. Semoga pinjaman umur yang tidak tahu bila akan berakhir ini akan terus dipinjamkan sebagai penumpang di alam yang fana' ini.

Amirul Mukminin Saidina Umar R.A pernah menyatakan : Hisablah dirikamu sebelum kamu dihisab dihadapan Allah, satu peringatan buat semua yang beriman mahupun yang tidak beriman bahawa masa audit itu akan sampai.

Beberapa minggu ini banyak peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan di negara kita, terbaru kisah serbuan Jais ke gereja dan tuisyen percuma oleh pihak gereja.

Saya tidak mahu mengulas isu tersebut yang mungkin boleh mengundang pelbagai persepsi masyarakat dan juga mereka yang ingin mensensasikan isu tersebut.

Cuma sekiranya kita renung kembali apa yang dinyatakan oleh Amirul Mukminin Saidina Umar, maka semua yang bergelar umat Islam dari pimpinan hinggalah kepada rakyat bawahan hendaklah bermuhasabah bahawa apa yang berlaku mungkin disebabkan kecuaian umat dan pimpinan.

Mana mungkin mereka boleh terlibat jika pimpinan seperti Umar Al Khattab atau Umar Bin Abd Aziz masih hidup. Wahai pimpinan umat marilah sempena Bulan Ramadhan Al Mubaarak ini kita sama bermuhasabah. jadikan dua tokoh tersebut selaku idola untuk meraih redha Allah bukan redha manusia. Wahai pimpinan umat dibahumulah nanti segalanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Izati. Wahai pimpinan umat kami sentiasa berdoa "dan jadikan orang-orang yang bertaqwa itu sebagai pimpinan kami". Realisasikan doa kami itu. Kembalilah kepada petunjuk Ilahi.

Wahai umat islam. kembalilah kepada Al Quran Dan Sunnah nabimu. Jangan terpedaya dengan ajakan dan tipudaya musuh-musuh Islam. Firman Allah yang bermaksud "Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (Al Baqarah: 120).

Wahai umat islam yang berharta, yang kaya, bantulah umat Islam yang tidak berkemampuan agar ianya menjadi sedekah jariah apabila anda berada di alam barzarkh nanti. Carilah umat yang memerlukan, janganlah sibuk membantu umat diluar sedang umat di Malaysia masih ramai yang memerlukan.

Semoga ianya memberi lontaran semangat pengorbanan kepada umat Islam. Ingatlah apa sahaja yang berlaku mempunyai hikmah yang perlu difikirkan bersama. Jom berubah.


No comments:

Post a Comment

Jom Selawat