Saturday, November 26, 2011

..Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun.. Haramkah membacanya??

Oleh Aljoofre

Terbaca di beberapa blog dan forum baru-baru ini, memandangkan hampirnya kita memasuki tahun baru Hijrah, berkemundang sekali lagi seruan bahawa bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun merupakan satu bid'ah yang jelas haram di sisi Islam. Benarkan apa yang dihebohkan ini? Kalau benar mengapa saban tahun setiap jabatan agama negeri tidak pernah menghalang sambutan ini? Adakah tok mufti dan semua ustaz yang berada di setiap jabatan agama ni bersekongkol dalam kesesatan? Sama-sama kita kaji..

Biasanya apabila kita tidak mengetahui asas bagi satu masalah, maka kita akan mudah membuat keputusan yang salah. Asas dan sebab bagi satu masalah merupakan kunci bagi kita untuk mendapatkan jawapan bagi masalah tersebut. Di sini kita perlu mengkaji dua masalah. Mengapa dibaca doa akhir dan awal tahun. Seterusnya mengapa pula satu golongan lagi cuba untuk mengharamkan perbuatan ini.

Asas pendapat pertama kita lihat dari sudut amalan para ulamak berkurun lamanya bukan sahaja di nusantara malahan di banyak lagi tempat di dunia, yang mengamalkan berdoa di akhir dan awal tahun. Apakah asas mereka? Jawapannya yang ringkas, bukankah kita semua mengetahui bahawa beredarnya bulan dan tahun ini merupakan tanda kekuasaan Allah? Maka tidak layakkah kita sebagai hamba yang lemah memuji Allah apabila kita memerhatikan kebesaranNya? Seterusnya, bukankah molek kalau kita akhiri akhir tahun kita dengan memohon ampun atas kesalahan kita sepanjang tahun lalu, dan seterusnya memulakan awal tahun baru, dengan berdoa kepada Allah agar tahun yang mendatang dipenuhi rahmah dan maghfirahNya? Doa itu senjata mukmin. Maka gunakanlah senjata ada sebaik mungkin.

Asas pendapat kedua. Bid'ah dholalah (atau kata mereka bid'ah secara mutlak) adalah mengadakan sesuatu yg baru yang tiada asasnya langsung dalam agama. Itu kata kita. Ada di kalangan mereka yang menyalah erti bahawa bid'ah adalah sesuatu urusan agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Namun sangkaan ini amat tersasar dari kebenaran berdasarkan terlalu banyak dalil menunjukkan keharusan perkara dalam agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah seperti menghimpunkan Al-Quran dan azan solat jumaat sebanyak dua kali yang dilakukan oleh Saiyidina Usman. Maka diistilahkan pula oleh Imam Syafie dan para mujtahidin yang lain perkara ini sebagai bid'ah hasanah. Malah diklasifikasikan pula oleh Imam Nawawi bid'ah kepada 5 hukum taklifi yang ada. Mereka kata klasifikasi ini klasifikasi dari sudut bahasa, namun jika kita kaji bid'ah dari segi bahasa bukanlah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dan yg lain, tetapi bid'ah dalam agama.

Apapun yang diistilahkan kita sepakat mengatakan bahawa perkara yang dibaharukan yang tiada asasnya langsung dalam agama hukumnya haram dan bid'ah yang dholalah. Nah, sekarang mereka membuat pula satu kaedah. Jika satu ibadat itu dilakukan pada satu waktu tertentu atau hari tertentu atau bilangan tertentu tanpa ada hadis yang warid dari Rasulullah s.a.w. maka ianya dikira sebagai bid'ah (baca bid'ah dholalah) dan haram. 2 asas inilah yang dipegang menjadikan bacaan doa akhir dan awal tahun sebagai haram.

Maka apa pula komentar bagi kedua-dua hujjah kedua-dua golongan ini ya?

Perbincangan bagi hujjah pendapat yang pertama. Dikatakan bahawa memuji Allah apabila memerhatikan kebesaran-Nya. Benar. Namun cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur itu perlukan petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya s.a.w. Bukannya mengikut fikiran kita semata-mata. Adakah berdoa tersebut cukup untuk menghapuskan segala dosa yang berlaku di sepanjang tahun. Kalau begitu mudahla, Buat dosa banyak-banyak. Akhir tahun doa jelah. Lagipun kalau doa ni pun da bid'ah dan berdosa, sebenarnya bukan hapuskan dosa tapi tambahkan dosa lagi.

Jawapan kepada perbincangan ini. Cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur adalah diharuskan selagi mana tidak melanggar syara'. Sebanyak mana pun kita bersyukur takkan cukup dengan nikmat yang Allah beri. Lagipun kita bukan bersyukur mengikut fikiran kita semata-mata, tetapi berdasarkan kepada petunjuk Allah dan Rasul-Nya jugak kan. Bukankah berdoa ini satu cara yang ditunjukkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukannya kita sambut dgn konsert atau pertunjukkan bunga api.

Berkenaan doa boleh menghapuskan dosa atau tidak tersebut, urusan tersebut diserahkan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang memerintah kita supaya berdoa dan Dialah yang memakbulkan doa dan mengampunkan dosa. Ini merupakan usaha kita yg diperintah oleh-Nya. Hujjah buat dosa banyak2 kemudian berdoa adalah hujah yang dangkal, kerana tiada siapa yang mengetahui selama mana hayatnya. Juga ia seolah-olah mempermain-mainkan mereka yang berdoa setiap hari agar diampunkan oleh Allah. Mengapa tidak tunggu tua sahaja baru berdoa. waktu muda buat dosalah banyak2. Hujah yang amat cetek dan tidak perlu dihiraukan, tetapi perlu dijawab kerana banyak antara mereka yang cetek ilmu, tapi mengaku berilmu. Semua kita sepakat bahawa melakukan perkara yang dilarang oleh syarak secara pasti dan mesti adalah haram. Jadi mengapa perlu dipersoalkan perkara begini. Tetapi kita sebagai manusia yang tidak maksum pasti tidak akan lari dari kesalahan. Jadi kita perlu dari masa ke semasa meminta pengampunan dari Allah s.w.t. Niat melakukan dosa dengan harapan berdoa di waktu lain agar diampunkan adalah niat yang jelas salah dan terlarang.

Perbincangan hujjah pendapat yang kedua pula.

Perbincangan hujjah pendapat yang kedua. Apakah asas-asas yang diiktiraf dalam menentukan hukum dan adakah doa ini tiada asasnya langsung dalam agama? Para ulamak telah berselisih dalam perkara ini, namun mereka sepakat menentukan bahawa Al-Quran, Assunnah, Ijma' dan Qias secara umumnya adalah asas dalam menentukan hukum. (kecuali beberapa ulamak zahiri dan syiah yang menolak terus qias). Mereka pula hanya menganggap Al-Quran dan Assunnah dan ijtihad para mujtahidin berdasarkan dua sumber ini merupakan asas. Walaubagaimanapun kedua-dua masalah ini tidakla jauh bezanya jika difahami dengan betul. Jadi persoalan sekarang adakah di sana asas bagi doa ini dibaca?

Secara ringkasnya asas bagi berdoa secara umumnya adalah ayat-ayat Alquran dan Assunnah yang terlalu banyak menerangkan perintah berdoa tak kira masa dan tempat. Perintah2 ini tidak boleh kita khususkan kepada doa yang warid dalam alquran dan sunnah semata-mata, kerana ia dikira sebagai mengkhususkan sesuatu yg umum tanpa pengkhususnya. Selain itu warid dari Hadis2 dan asar para solihin keharusan berdoa selain dari yg warid mengikut keperluan kita asalkan tidak bercanggah dengan syarak.

Asas seterusnya dalam berdoa ini adalah berdasarkan maslahah (yang juga sumber perundangan hukum islam). Maslahah yang rajihah (yang boleh diguna pakai) dalam perkara ini ditentukan oleh para ulamak terdahulu bukan menurut pemikiran kita semata. Maslahah ini lebih jelas di zaman kita yang mana ramai di kalangan masyarakat kita sudah jauh dari ajaran Islam dan tidak reti berdoa lagi. Malah di tahun baru ini pun mereka tanpa segan silu membuat kemaksiatan. Bukankah molek jika kita menyeru mereka berdoa di waktu begini?

Jadi apabila ada asas-asas yang disebutkan maka kita tidak boleh menyebut amalan berdoa ini sebagai satu perkara bid'ah yang sesat. Malah boleh kita masukkannya di dalam bid'ah hasanah yang disebutkan oleh Imam Syafie.

Mereka juga menyatakan bahawa sesutu ibadat seperti zikir dan doa itu perlu menyamai Rasulullah dari sudut bilangan, masa, hari dan tempat. Sesuatu yang bercanggah dengan salah satu darinya adalah haram. Kita pula menjawab, di manakah dalil kepada penyataan ini? Ulamak terdahulu tidak pernah membuat kaedah sebegini. kaedah yang ada adalah, ibadat tidak menyalahi dari apa yang Rasulullah tunjukkan. Jangan Rasulullah bersolat subuh 2 rakaat kita bersolat 3 rakaat, kerana nak pahala lebih. Itu yang salah. Adapun berdoa dan berzikir di waktu yang tidak warid Rasulullah berzikir pada waktu tersebut adalah tidak diharamkan. Kerana Rasulullah sendiri sentiasa berzikir dan berdoa. Selain itu perintah berzikir berdoa tidak pernah mengkhususkan masa dan tempat. Tiada salahnya jika kita hanya mengaji Al-Quran selepas maghrib setiap hari dan memerintahkan pula anak-anak kita berbuat sedemikian, walaupun tidak warid dalam hadis Rasulullah ada mengkhusukan begitu. Itu kita sepakat bukan. Jadi mengapa kita mengkhususkan pula sebelum maghrib akhir zulhijjah untuk berdoa dikira sebagai sesuatu perbuatan yang haram?

Hujjah mereka seterusnya adalah kebaikan sesuatu perkara adalah berdasarkan al-Quran dan As-sunnah. Maka kita katakan bahawa kebaikan berdoa ini juga adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang menyuruh kita berdoa tanpa mengira waktu dan tidak pernah pula melarang kita berdoa di waktu2 tertentu. Maka kita simpulkan bahawa berdoa awal dan akhir tahun ini merupakan perkara yang baik menurut syara'. Bid'ah mustahabbah kata Imam Nawawi.


Kesimpulan: Doa di awal dan akhir tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat, namun ia bukanlah perkara yang wajib. Anda hendak berdoa, berdoalah di setiap waktu dan ketika. Setiap waktu dan ketika itu termasuk juga padanya doa di awal dan akhir tahun. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yg lalu diampunkan dan amalan kita diterima. Jua berdoalah moga di tahun baru ini kita dibantu melawan syaitan, nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu melakukan amal ibadat sebanyak mungkin.

Wallahu A'lam

Wasallallahu 'Ala Saiyidina Muhammad Wa'ala Alihi Wasohbihi Ajma'in, Walhamdulillahi Rabbil 'Alamin

Friday, November 25, 2011

salam maal hijrah 1433H

HIJRAH RASULULLAH SAW MELALUI NEGARA MADINAH

Kita sememangnya wajib bersyukur kepada Allah SWT Yang telah memberikan banyak keni'matan kepada kita. Yang seandainya kita diminta menghitungnya, pastinya kita tak akan mampu melakukannya. Dan, keni'matan yang terbesar yang diberikan kepada kita, iaitu Islam. Dan kewujudan kita sebagai orang yang beragama Islam. Sebab, ramai orang yang diberi keni'matan hidup, tetapi tidak semuanya mahu memeluk Islam. Tetapi, keni'matan yang lebih besar lagi, yang diberikan kepada kita ialah wujudnya dakwah Islam dan orang-orang yang memikulnya, sehinggalah Islam ini sampai kepada kita. Dua perkara inilah yang tidak semestinya kita lupakan. Iaitu, dakwah Islam dan orang-orang yang memikulnya, sehinggalah Islam itu sampai kepada kita.

Oleh itu, sangat munasabah apabila Hijrah baginda Rasulullah SAW diperingati sebagai suatu peristiwa sejarah yang paling penting dalam kehidupan dakwah rasulullah SAW. Yang di sini, kita peringati setiap tahunnya dengan nama "Maal Hijrah". Mengapa peristiwa Hijrah baginda Rasulullah SAW ini merupakan peristiwa yang sangat penting?

Pertama, dakwah Rasulullah SAW apabila masih berada di Makkah, telah melalui masa-masa yang sangat sulit. Terutama setelah RAsulullah SAW diperintahkan Allah untuk menyampaikan Islam secara terbuka kepada masyarakat Makkah, dan menunjukkan bahawa baginda tidak bersendirian, melainkan ada jamaah yang menyertainya, setelah Allah menurunkan surah al-Hijr:94:

"Maka sampaikanlah secara terbuka apa yang diperintahkan kepada kamu, dan tentanglah orang-orang musyrik itu."

Setelah ayat ini turun, tepatnya setelah Umar bin Khattab dan Hamzah bin Abdul Muthallib memeluk Islam, maka Rasulullah SAW memulakan dakwah secara terbuka. Baginda, kemudian melakukan tawaf mengelilingi Ka'bah, yang diikuti oleh para sahabat. Sejak itu, para sahabat dan pengikut baginda, termasuklah baginda sendiri, setiap hari menerima penyiksaan daripada penguasa Makkah, dan orang-orang kafir Quraisy.

Pernah baginda sedang shalat berhampiran Ka'bah, leher baginda diikat oleh Uqbah bin Abi Mu'ait, sehingga baginda tidak dapat bernafas, sampai akhirnya baginda ditolong oleh Abu Bakar. Pada masa yang lain, apabila baginda sedang shalat, tengkuk leher baginda dipukul oleh Uqbah bin Mu'ait, sehingga baginda pengsan, dan akhirnya ditolong oleh Fatimah. Puteri baginda itu menangis, sedih, melihat nasib ayahanda tercintanya dianiaya oleh orang-orang kafir. Bukan baginda sahaja yang mengalami nasib buruk seperti itu, malahan keluarga Yasir telah disiksa, sehinggalah Sumayyah meninggal dunia sebagai syahidah pertama.

Setelah penganiayaan secara fizikal tidak mampu menggoyahkan keteguhan para pemikul da'wah ini, maka orang-orang kafir itu telah merancang untuk mengasingkan baginda SAW dan para pengikutnya. Maka, terjadilah rancangan jahat itu selama lebih kurang 3 tahun. Baginda dan para sahabat hidup di sebuah lembah dalam keadaan kekurangan makanan, pakaian, pekerjaan, rumah dan diusir dari Makkah. Dan setelah itulah, baginda meminta para sahabat untuk meninggalkan Makkah menuju ke Habbasyah (Ethiopia-Afrika) untuk mencari perlindungan kepada Raja Najasyi, dengan maksud untuk mempertahankan agama mereka dari serangan secara berterusan yang dilakukan oleh orang-orang kafir.

Maka, orang-orang kafir juga tidak mahu tinggal diam, sehinggalah mereka menyampaikan maklumat-maklumat yang mengelirukan di luar negeri, untuk mengusir kembali kaum muslimin yang berhijrah ke sana. Orang-orang kafir tersebut berusaha untuk mengadu domba Raja Najasyi dengan kaum muslimin, yang akhirnya tidak berjaya.

Sedangkan baginda Rasulullah SAW dan beberapa sahabat masih duduk di Makkah. Justeru menjadikan tindakan orang-orang kafir semakin biadab kepada baginda SAW. Sehingga baginda berfikir untuk mencari perlindungan, kerana dakwah Islam tidak mungkin lagi disebarkan kepada orang-orang Makkah. baginda pada masa itu cuba berhijrah ke Taif, untuk mencari perlindungan kepada Bani Tsaqif, yang akhirnya malah baginda diusir dengan cara tidak sopan. Baginda dilempari dengan batu dan kotoran, sehingga tubuh baginda berlumuran darah dan kotor. Sehinggakan Zaed bin Haritsah menangis, melihatkan keadaan baginda yang sangat menyedihkan itu.

Baginda, mencuba untuk masuk kembali ke Makkah, meskipun baginda tahu bahawa baginda akan dibunuh, apabila berada disana. Maka, baginda berusaha mencari perlindungan kepada Mut'im bin Adi, salah seorang tokoh pemuda Makkah. Dan beliau sanggup melindungi keselamatan baginda SAW dan dakwah baginda. Sejak itulah, baginda berada dalam perlindungan Mut'im bin Adi.

Sejak itu, baginda selalu mendatangi kabilah-kabilah yang datang ke Makkah untuk menyampaikan dakwah Islam yang baginda bawa. Meskipun risikonya sudah jelas sekali bagi baginda, sebagaimana sumpah baginda: "Demi Allah, seandainya mereka boleh meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, aku tetap tidak akan meninggalkan urusan dakwah ini, sehingga ia dimenangkan Allah, atau aku dibinasakan dalam usaha untuk menuntutnya."

Maka, baginda SAW, tetap tidak takut, dan terus-menerus berdakwah, meskipun pada masa itu tidak satu kabilah pun yang menerima. Pernah baginda menyampaikan dakwah ini kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, yang pada awalnya bersedia menerima seruan dakwah Rasulullah SAW, namun dengan syarat bahawa kepemimpinan setelah baginda mestilah diserahkan kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, namun hal ini dijawab dengan tegas oleh baginda: "Sesungguhnya perkara (kekuasaan kepemimpinan) ini merupakan hak Allah, yang akan Dia serahkan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki."

Setelah jawapan itu disampaikan oleh Rasulullah, baginda langsung diusir dari khemah kabilah Amru bin Sa'sa'ah. Inilah keadaan dakwah dan keteguhan baginda dan para sahabat dalam menyampaikan dakwah Islam. Setelah semuanya itu, Allah memberikan pertolongan dengan dipertemukannya baginda saw. dengan orang-orang Aus dan Hazraj yang datang untuk berhaji ke Makkah. Maka, apabila mereka mendengarkan seruan Rasul untuk mengimaninya, mereka langsung menerimanya, dan setelah itulah terjadi Bai'at Aqabah I, yang dilakukan di bukit Aqabah. Dan ini merupakan titik awal perkembangan dakwah Rasulullah saw. yang pertama, sehinggalah dakwah Islam ini sampai ke Yasrib,(nama Madinah sebelum dirubah oleh baginda saw).

Setelah rombongan Aus dan Hazraj kembali ke Madinah, mereka meminta Nabi saw. untuk mengirimkan orang agar mengajarkan Islam kepada mereka di sana. Ketika itulah, baginda mengirim Mus'ab bin Umair. Salah seorang sahabat Rasulullah, yang sebelumnya merupakan pemuda yang kaya raya, tetapi lebih memilih hidup sederhana bersama Rasulullah. Mus'ab lah yang menyampaikan pelajaran Al-Qu'an kepada penduduk Madinah, sehingga beliau mendapat gelaran sebagai Muqriul Madinah.

Dan ternyatalah dakwah Islam yang disampaikan oleh Mus'ab dan orang-orang Aus dan Hazraj yang telah memeluk Islam itu berjaya merubah public opinion penduduk Madinah, sehinggalah semua orang memperkatakan tentang Islam. Akhirnya, bilangan orang yang menyertai Islam menjadi semakin ramai, sehingga mereka mula melaksanakan solat Jumaah yang pertama kalinya di sana.

Berita ramainya penduduk Madinah yang menyertai Islam ini telah menyenangkan hati Rasulullah saw. dan para sahabat yang masih menyertai baginda di Makkah. Dan untuk membuktikan kesiapan Madinah sebagai pusat tegaknya dan pengembangan Islam, maka baginda meminta Mus'ab untuk mengirimkan mereka ke Makkah. Maka, berangkatlah pada musim haji berikutnya, seramai 75 orang. 73 orang terdiri daripada lelaki, dan 3 orang lainnya adalah perempuan. Mereka kemudian sampai di Makkah dan bertemu langsung dengan Nabi, menyatakan sumpah setia yang dikenal dengan Bai'at Aqabah II. Bai'at ini juga dikenal sebagai sumpah setia untuk hidup dan mati demi Islam. Yang juga merupakan penyerahan kekuasaan orang-orang Madinah kepada Nabi untuk menjadi Ketua Negara Islam. Dan inilah yang mendorong baginda untuk berhijrah ke Madinah.

Kedua, hijrah Rasulullah saw. ke Madinah bukan untuk melarikan diri, atau menyelamatkan diri dari ancaman orang-orang kafir. Tetapi untuk menegakkan Islam, sehingga Islam ini menjadi agama dan ideologi yang boleh disebarkan ke seluruh dunia, untuk menyelamatkan dunia daripada kehancuran. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. dalam surat At-Taubah: 33 /Al-Fath: 28 /As-Shaf: 9.

"Dialah Yang mengutus Rasul-Nya dengan (membawa) petunjuk dan agama yang haq, agar Dia memenangkan agamanya, keatas agama-agama yang lainnya."

Maka, tanpa hijrahnya Rasulullah ke Madinah, Islam tidak akan pernah sampai kepada kita di Malaysia. Sebab, tidak pernah wujud negara Islam yang menyebarkan dakwah ke seluruh dunia. Tetapi dengan hijrahnya baginda saw. ke Madinah, maka sejak masa itulah negara Islam berdiri untuk yang pertama kalinya di Madinah, dan sejak itulah Islam disebarkan dengan dakwah dan jihad ke seluruh dunia. Sehinggalah Islam berkembang dengan cepatnya ke seluruh dunia, yang dimulakan dengan penaklukan wilayah Hejaz (622-632 M.) semasa baginda saw. kemudian secara berterusan, wilayah Syam di taklukkan semasa Umar bin Khattab. Sehinggalah Islam masuk Eropah, setelah beberapa wilayahnya ditaklukkan pada tahun 696-705 M. pada masa Khilafah Ummayah. Pada masa yang sama, Islam juga telah sampai di Russia. Dan pada tahun 712, Islam telah sampai di Asia Tenggara.

Tetapi memandangkan pentingnya peristiwa Hijrah Rasulullah saw. ini, maka sememangnya peristiwa ini bukan sekadar menjadi peringatan, melainkan lebih daripada itu. Peristiwa Hijrah tersebut, justeru wajib dijadikan pelajaran, bahawa Islam menjadi agama kita, dan sampai kepada kita bukan merupakan peristiwa kecil, tetapi merupakan peristiwa besar. Kalau bukan kerana pengorbanan Rasul dan para sahabat yang tidak kecil itu, pastilah Islam ini tidak akan sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang sanggup hidup dan mati demi Islam ini, tentulah Islam ini tidak sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana wujudnya orang-orang yang rela mengorbankan harta, keluarga dan nyawa mereka, pastinya Islam tidak akan wujud hingga ke hari ini.

Dan oleh itu, kita semua berhutang kepada mereka. Dan kita tidak dapat membayarnya, sebab mereka bukan meminta ganjaran daripada kita. Tetapi, mereka menegakkan Islam dengan seluruh pengorbanan mereka, kerana mereka telah menjual diri mereka kepada Allah, yang jiwa, harta dan semua yang mereka korbankan itu telah dibeli oleh Allah dengan syurga-Nya.

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman itu, diri dan harta mereka, bahawa mereka akan diberi (imbalan) syurga." (Q.s. At-Taubah: 111).

Saat ini , ketika ini Islam telah kehilangan generasi terbaiknya yang sanggup menjual diri, harta dan nyawanya kepada Allah untuk mendapatkan syurga-Nya, dengan menegakkan Islam. Dan inilah yang menyebabkan hilangnya cahaya petunjuk Islam, setelah runtuhya Khilafah Islamiyah, Turki Othmaniyah, pada 3 Mac 1924. Setelah itu, negeri kaum muslimin berterusan mengalami musibah.

Islam ketika ini memerlukan generasi yang sanggup mengorbankan diri, harta serta nyawa mereka untuk menegakkannya. Kerana sekiranya tanpa itu, Islam mustahil kembali berjaya diperingkat antara bangsa, seperti pada masa baginda dan para sahabat hingga 13 abad kemudian. Maka, semuanya terpulang kepada keimanan dan ketaqwaan kita semua. Tetapi yang wajib diyakini, bahawa syurga dan neraka itu adalah abadi. Syurga merupakan puncak keni'matan yang tidak diberikan secara percuma oleh Allah kepada manusia. Kerana itu, semakin tinggi pengorbanan kita, maka semakin besar keni'matan kita di akhirat kelak. Dan sebaliknya. Akhir kata semoga kita termasuk diantara orang-orang yang sanggup memberikan pengorbanan yang tertinggi demi Islam, semata untuk mencari ridha Allah dan syurga-Nya.

Wallahu a'lam.

Sunday, November 20, 2011

TAFAQUH KEMBALI

KULIAH TAFAQQUH FIDDIN

BERMULA 26/12/2011 PUSAT ISLAM LUQMAN AL HAKIM PTSS AKAN MENGANJURKAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN BAGI MENGIMBANGI TUNTUTAN

ILMU FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH

HARI : (ISNIN-KHAMIS&SABTU)

MASA : MAGHRIB – ISYAK

TEMPAT : PUSAT ISLAM LUQMAN AL HAKIM PTSS

KEHADIRAN :

PELAJAR MUSLMIN/MUSLIMAT PTSS

WARGA PENSYARAH/STAF PTSS

PENGISIAN :

PENGAJIAN KITAB TAFSIR, HADIS, TAUHID, FEQH IBADAH, FEQH MUAMALAT, AKHLAK, SIRAH NABAWIYAH & DISKUSI ILMU.

WARGA MUSLIMIN&MUSLIMAT PTSS ADALAH DIJEMPUT DAN DIALUKAN UNTUK HADIR KE MAJLIS ILMU SEBAGAI BUKTI KASIH DAN SAYANG ANDA KEPADA ALLAH DAN RASUL.

SOLUSI DAN Q&A DAH KELUAR

Salamualaikum

untuk perhatian sahabat-sahabat majalah solusi isu 38 dan Q&A isu 1 dah berada di pasaran.

Dapatkan majalah tersebut. hubungi saya ustaz din 017 963 1817.

1 famili 1 solusi

1 rumah 1 Q&A

Sunday, November 6, 2011

nikmat berada di 10 Zulhijjah

Salamualaikum warahmatullah. Taqabbalallah minna waminkum. Kullu Am Wa antum Bikhair.

Al hamdulillah hari ini kita berada di hari ke 10 bulan Zulhijjah. Hari wukuf, dimana 3 juta umat Islam berada di Arafah memohon doa agar di terima ibadah dan diampuni segala dosa.

Antara yang membuatkan saya teruja pada hari semalam dan hari ini ialah :

1) Dapat menjadi makmumsolat isyak kepada al fadhil Dr Abd Aziz Hanafi di masjid Al Muttaqin Bandar Darul Aman Jitra

2) Dapat solat subuh bersama Tuan Guru Ustaz Nuruddin Al Banjari di Masjid Al Muttaqin Bandar Darul Aman.

3) Dapat solat sunat Idul Adha bersama warga pelajar dan warga kakitangan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Pusat Islam Luqman Al hakim.

4) Dapat menyertai ibadah Qurban bersama ahli jemaah masjid Jampung Tradisi Changloon

5) Melihat sendiri lembu disembelih dan melihat sendiri darah lembu menitik di atas tanah, Ya Allah semoga bahagian ku korban diterima oleh dan aku mendapat keampunanMu.

Semoga segala amalan kita di terima Allah. Salam Idul Adha

Thursday, November 3, 2011

SALAM IDUL ADHA

PROGRAM PUSAT ISLAM LUQMAN AL HAKIM PTSS SEMPENA IDUL ADHA 1432H

MALAM 10 ZULHIJJAH 1432H

SOLAT MAGHRIB BERJEMAAH

TAKBIR RAYA

SOLAT ISYAK BERJEMAAH

TAKBIR RAYA

SOLAT SUNAT TASBIH

PAGI 10 ZULHIJJAH 1432H

7.45 PAGI TAKBIR RAYA

SOLAT IDUL ADHA

IMAM :

US HASMINUDDIN BIN HASHIM

KHUTBAH IDUL ADHA

KHATIB :

ENCIK NOOR FITERI BIN ABDULLAH

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT WARGA PTSS

DIJEMPUT HADIR

MANFAAT SOLAT DARI SUDUT KESIHATAN




"Sahabat, Pada asasnya jika kita sudah meninggal, perkara pertama yang akan dihisab adalah solat.Ternyata dalam setiap pergerakan solat mengandung kebaikan bagi kita semua. Jika anda tidak lupa dengan artikel Satu Platun Askar Korea memeluk Islam kerana mengikuti pergerakan dalam solat (baca di sini).Berikut adalah penjelasannya.



TAKBIRATUL IHRAM

Berdiri tegak, mengangkat kedua tangan selari dengan telinga, lalu melipatnya di depan perut atau dada bahagian bawah.Manfaat:Pergerakan ini melancarkan aliran darah dan kekuatan otot lengan. Posisi jantung di bawah otak memungkinkan darah mengalir lancar ke seluruh tubuh. Semasa mengangkat kedua tangan, otot bahu meregang sehingga aliran darah yang banyak oksigen menjadi lancar. Kemudian kedua tangan didakapkan di depan perut atau dada bahagian bawah. Sikap ini menghindarkan dari pelbagai gangguan persendian, khasnya pada tubuh bahagian atas.


RUKUK

Rukuk yang sempurna ialah tulang belakang yang lurus sehingga bila diletakkan segelas air di atas punggung tersebut tidak akan tumpah. Posisi kepala lurus dengan tulang belakang.Manfaat:Gerakan ini menjaga kesempurnaan posisi dan fungsi tulang belakang (corpus vertebrae) sebagai penyangga tubuh dan pusat syaraf. Posisi jantung selari dengan otak, maka aliran darah maksima pada tubuh bahagian tengah. Tangan yang bertumpu di lutut berfungsi meregangkan otot-otot bahu hingga ke bawah. Selain itu, rukuk adalah latihan untuk mencegah gangguan prostat.


IKTIDAL

Bangun dari rukuk, tubuh kembali tegak setelah, mengangkat kedua tangan setinggi telinga.Manfaat:Iktidal adalah variasi setelah rukuk dan sebelum sujud. Gerak berdiri bongkok berdiri sujud merupakan latihan pencernaan yang baik. Organ-organ pencernaan di dalam perut mengalami kesempitan dan pelonggaran secara bergilir. Kesannya, pencernaan menjadi lebih lancar.


SUJUD

Meletakkan kedua tangan, lutut, ujung kaki dan dahi pada lantai.Manfaat:Aliran darah dipam ke bahagian leher dan ketiak. Posisi jantung di atas otak menyebabkan darah yang banyak oksigen boleh mengalir secara maksima ke otak. Aliran ini berpengaruh pada daya fikir seseorang. Oleh itu,semasa bersujud,jangan tergesa-gesa supaya darah mencukupi kapasitinya di otak. Gerakan ini juga menghindarkan gangguan buasir. Khas kepada wanita, rukuk dan sujud memiliki manfaat luar biasa bagi kesuburan dan kesihatan organ kewanitaan.


DUDUK

Duduk ada dua , iaitu iftirasy (tahiyyat awal) dan tawarruk (tahiyyat akhir). Perbezaan terletak pada posisi tapak kaki.Manfaat:Semasa tahiyat awal, kita bertumpu pada pangkal paha yang berhubung dengan syaraf nervus Ischiadius. Posisi ini menghindarkan sakit pada pangkal paha yang sering menyebabkan penderitanya tidak mampu berjalan. Duduk tawarruk sangat baik kepada lelaki kerana tumit menekan aliran pundi air kencing (urethra), kelenjar kelamin lelaki(prostat) dan saluran vas deferens. Jika dilakukan. dengan betul, Posisi ini mencegah mati pucuk. Variasi posisi telapak kaki pada iftirasy dan tawarruk menyebabkan seluruh otot kaki turut meregang dan kemudian relaks kembali. Gerak dan tekanan harmonis inilah yang menjaga kelenturan dan kekuatan organ-organ gerak kita.


SALAM

Pergerakan:Memutar kepala ke kanan dan ke kiri secara maksima.Manfaat:Kelonggaran otot sekitar leher dan kepala menyempurnakan aliran darah di kepala. Pergerakan ini mencegah sakit kepala dan menjaga ketegangan kulit wajah.Jadi selepas ini, jom kita sempurnakan solat kita jika sebelum ini kita sering melakukan gerakan solat dengan tergesa-gesa. Selain dari untuk mendapatkan khusyuk dalam solat, Insya Allah kita juga akan mendapatkan kesihatan & menambah kecerdasan.







Semoga Bermanfaat.

Jom Selawat