Nusaibah Mimi,
|
28 Mei 2012
|
Peperangan menentang hawa nafsu adalah merupakan satu bentuk
pengorbanan yang paling besar untuk membentuk jati diri sendiri dan
kemaslahatan umat.
Perangi hawa nafsu menuntut kesabaran yang
tinggi dan ketaqwaan yang teguh dalam mendidik jiwa sentiasa
beristiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi segala bentuk kejahatan.
Perkara
ini jelas disebutkan di dalam ayat al-Quran, “Dan sungguh akan Kami
berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan
harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada
orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa
musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’.
Mereka
itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan
mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah
al-Baqarah ayat 155-157)
Perangi hawa nafsu adalah merupakan perjuangan yang paling besar. Ia adalah utama dari peperangan mempertahankan diri.
Hal
ini bersesuaian dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w ketika baginda
pulang dari peperangan Badr, "Kita baru saja kembali dari jihad kecil
menuju jihad yang besar. Para sahabat bertanya, "Apa jihad besar itu?,
Nabi SAW menjawab, "Jihaad al-qalbi (jihad hati).
Setiap orang
juga berpotensi memilliki keinginan untuk membuat kejahatan atau lebih
dikenali sebagai hawa nafsu. Ini merupakan musuh utama anak adam dari
syaitan.
Dengan ini kekuatan syaitan terletak pada hawa nafsu
dan kelemahan manusia adalah berpunca daripada godaannya. Hawa nafsu
selalu mengajak manusia kepada kemungkaran dan jika kita menuruti
bisikannya, maka pasti kita akan menempuh kebinasaan.
Perkara
ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam ayat al-Quran, “Kemudian
menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan
solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan menemui
kesesatan.” (Surah Maryam, 59)
Kehidupan adalah satu bentuk
perjuangan melawan hawa nafsu. Sesiapa yang mampu melawan hawa nafsu,
maka Allah akan memberikannya kemenangan dan dipermudahkan segala
urusan. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah S.W.T.
Abu
Hamid Imam al- Ghazali menyebut terdapat tiga bentuk perlawanan manusia
terhadap hawa nafsu, iaitu Nafs al-Muthmainnah, Nafs al-Lawwamah, dan
Nafs al-Ammarah al-Suu’.
Nafs al-Muthmainnah merupakan nafsu yang
tenang yang mana ketika iman menang melawan hawa nafsu, sehingga
perbuatan manusia tersebut lebih banyak yang baik daripada yang buruk.
Dengan kata lain mereka yang mampu menguasai terhadap hawa nafsunya.
Manakala
Nafs al-Lawwamah ialah nafsu yang gelisah dan menyesali dirinya
sendiri. Keadaannya adalah ketika iman kadangkala menang dan kadangkala
kalah melawan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut perbuatan baiknya
relatif seimbang dengan perbuatan buruknya. Mereka yang sentiasa dalam
bertarik tali melawan hawa nafsu.
Adakalanya dia menang dan ada
kalanya kalah. inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini
menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad melalui sabdanya
yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu
berjuang melawan musuh-musuhmu.
Nafsu yang ketiga adalah Nafs
al-Ammaarah al-Suu’ iaitu nafsu yang mengajak kepada keburukan.
Keadaanya adalah Ketika iman kalah dibandingkan dengan hawa nafsu,
sehingga manusia tersebut lebih banyak berbuat yang buruk daripada yang
baik. Mereka inilah yang hawa nafsu sepenuhnya telah dikuasai dan tidak
dapat melawannya sama sekali.
Namun, dewasa ini, seringkali kita
mendengar berita-berita tentang gejala sosial. Penyakit ini sebenarnya
telah menular dalam kalangan masyarakat. Pelbagai kes dilaporkan setiap
hari mengenai jenayah yang dilakukan, antaranya kes penderaan
kanak-kanak, pembuangan bayi, samun, rogol, bunuh dan pelbagai kes yang
melibatkan undang-undang negara.
Namun persoalannya, mengapa kes
seperti ini semakin menjadi-jadi? Sudah tentu masyarakat terbiasa
menjadikan hawa nafsu sebagai satu ikutan tanpa memikirkan kesan yang
akan dihadapi oleh diri mereka sendiri.
Perkara ini dinyatakan
oleh sebahagian orang bijak "Barang siapa menyirami anggota badannya
dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan dalam hatinya."
[Imam Al-Ghazali, Mukâsyafah al-Qulûb, h. 17]
Kehidupan yang
berlandaskan syariat mampu menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Perangi hawa nafsu mampu memberi jaminan kebahagiaan kehidupan. Jaminan
kebahagiaan ini adalah ditentukan oleh diri sendiri kerana diri sendiri
berhak memilih jalan yang harus ditempuh.
Jika jalan yang
diambil adalah jalan kebahagiaan di akhirat, maka sudah pasti
kebahagiaan dunia akan dapat dikecapi oleh setiap individu muslim.
Perkara ini disebut oleh Allah s,w,t di dalam ayat al-Quran,
“Barang
siapa beramal soleh sama ada lelaki dan wania sedang dia mukmin, maka
Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami
akan tunaikan kepada mereka dengan ganjaran mereka yang lebih baik dari
apa yang mereka kerjakan.”(An-Nahl: 97)
Cerminan hati juga
diukur dari sudut ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Hati dilahirkan fitrah
dan suci serta menjadi kewajipan kepada hamba-hambaNya mengisi
kekosongan hati dengan beribadah kepadanya.
Pengisian jiwa
dengan syariat Islam serta keindahan akhlak Islam mampu mendidik hati
melawan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang ditegah
oleh Allah s.w.t. Setiap muslim harus melaksanakan tuntutan-tuntan Allah
s.w.t..
Kewajipan ini dinyatakan oleh Allah Taala dalam surah
al-Imran ayat 104, “Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat
yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari
yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.”
Istiqamah dalam
melakukan amalan-amalan kebaikan mampu menghindarkan diri daripada
terjerumus ke dalam kancah kebinasaan. Diri mampu terdidik dengan
kebiasaan melakukan kebaikan dan merasa akan sentiasa perlu menjaga hati
daripada segala bentuk kemaksiatan.
Istiqamah dalam penjagaan
diri dan hati perlu diselaraskan dengan panduan pegangan agama agar
kehidupan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah.
Di
dalam surah Hud ayat 12, Allah s.w.t berfirman, “Maka beristiqamahlah
kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah
bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya
Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Kesimpulannya,
peperangan melawan hawa nafsu merupakan peperangan yang paling utama
kerana ia melibatkan penjagaan hati, diri dan iman.
Setiap
Muslim berkewajipan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai hamba
Allah dengan menjaga anugerah diri dan hati sebaik mungkin. Dengan
memerangi hawa nafsu, kehidupan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan
daripada Allah.
Seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud,
“Mereka bersukacita (bergirang hati) kerana memperoleh nikmat dan kurnia
dari Allah. Dan (kerana) sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan
ganjaran orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran: 171)