Monday, May 28, 2012

Perangi hawa nafsu satu pengorbanan

Nusaibah Mimi, 28 Mei 2012
Peperangan menentang hawa nafsu adalah merupakan satu bentuk pengorbanan yang paling besar untuk membentuk jati diri sendiri dan kemaslahatan umat.

Perangi hawa nafsu menuntut kesabaran yang tinggi dan ketaqwaan yang teguh dalam mendidik jiwa sentiasa beristiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi segala bentuk kejahatan.

Perkara ini jelas disebutkan di dalam ayat al-Quran, “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’.

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157)
Perangi hawa nafsu adalah merupakan perjuangan yang paling besar. Ia adalah utama dari peperangan mempertahankan diri.

Hal ini bersesuaian dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w ketika baginda pulang dari peperangan Badr, "Kita baru saja kembali dari jihad kecil menuju jihad yang besar. Para sahabat bertanya, "Apa jihad besar itu?, Nabi SAW menjawab, "Jihaad al-qalbi (jihad hati).

Setiap orang juga berpotensi memilliki keinginan untuk membuat kejahatan atau lebih dikenali sebagai hawa nafsu. Ini merupakan musuh utama anak adam dari syaitan.

Dengan ini kekuatan syaitan terletak pada hawa nafsu dan kelemahan manusia adalah berpunca daripada godaannya. Hawa nafsu selalu mengajak manusia kepada kemungkaran dan jika kita menuruti bisikannya, maka pasti kita akan menempuh kebinasaan.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam ayat al-Quran, “Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan menemui kesesatan.” (Surah Maryam, 59)

Kehidupan adalah satu bentuk perjuangan melawan hawa nafsu. Sesiapa yang mampu melawan hawa nafsu, maka Allah akan memberikannya kemenangan dan dipermudahkan segala urusan. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah S.W.T.

Abu Hamid Imam al- Ghazali menyebut terdapat tiga bentuk perlawanan manusia terhadap hawa nafsu, iaitu Nafs al-Muthmainnah, Nafs al-Lawwamah, dan Nafs al-Ammarah al-Suu’.

Nafs al-Muthmainnah merupakan nafsu yang tenang yang mana ketika iman menang melawan hawa nafsu, sehingga perbuatan manusia tersebut lebih banyak yang baik daripada yang buruk. Dengan kata lain mereka yang mampu menguasai terhadap  hawa nafsunya.

Manakala Nafs al-Lawwamah ialah nafsu yang gelisah dan menyesali dirinya sendiri. Keadaannya adalah ketika iman kadangkala menang dan kadangkala kalah melawan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut perbuatan baiknya relatif seimbang dengan perbuatan buruknya. Mereka yang sentiasa dalam bertarik tali melawan hawa nafsu.
Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.

Nafsu yang ketiga adalah Nafs al-Ammaarah al-Suu’ iaitu nafsu yang mengajak kepada keburukan. Keadaanya adalah Ketika iman kalah dibandingkan dengan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut lebih banyak berbuat yang buruk daripada yang baik. Mereka inilah yang hawa nafsu sepenuhnya telah dikuasai dan tidak dapat melawannya sama sekali.

Namun, dewasa ini, seringkali kita mendengar berita-berita tentang gejala sosial. Penyakit ini sebenarnya telah menular dalam kalangan masyarakat. Pelbagai kes dilaporkan setiap hari mengenai jenayah yang dilakukan, antaranya kes penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, samun, rogol, bunuh dan pelbagai kes yang melibatkan undang-undang negara.

Namun persoalannya, mengapa kes seperti ini semakin menjadi-jadi? Sudah tentu masyarakat terbiasa menjadikan hawa nafsu sebagai satu ikutan tanpa memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh diri mereka sendiri.

Perkara ini dinyatakan oleh sebahagian orang bijak "Barang siapa menyirami anggota badannya dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan dalam hatinya." [Imam Al-Ghazali, Mukâsyafah al-Qulûb, h. 17]

Kehidupan yang berlandaskan syariat mampu menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Perangi hawa nafsu mampu memberi jaminan kebahagiaan kehidupan. Jaminan kebahagiaan ini adalah ditentukan oleh diri sendiri kerana diri sendiri berhak memilih jalan yang harus ditempuh.

Jika jalan yang diambil adalah jalan kebahagiaan di akhirat, maka sudah pasti kebahagiaan dunia akan dapat dikecapi oleh setiap individu muslim. Perkara ini disebut oleh Allah s,w,t di dalam ayat al-Quran,

“Barang siapa beramal soleh sama ada lelaki dan wania sedang dia mukmin, maka Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami akan tunaikan kepada mereka dengan ganjaran mereka yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.”(An-Nahl: 97)

Cerminan hati juga diukur dari sudut ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Hati dilahirkan fitrah dan suci serta menjadi kewajipan kepada hamba-hambaNya mengisi kekosongan hati dengan beribadah kepadanya.

Pengisian jiwa dengan syariat Islam serta keindahan akhlak Islam mampu mendidik hati melawan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang ditegah oleh Allah s.w.t. Setiap muslim harus melaksanakan tuntutan-tuntan Allah s.w.t..
Kewajipan ini dinyatakan oleh Allah Taala dalam surah al-Imran ayat 104, “Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.”


Istiqamah dalam melakukan amalan-amalan kebaikan mampu menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah kebinasaan. Diri mampu terdidik dengan kebiasaan melakukan kebaikan dan merasa akan sentiasa perlu menjaga hati daripada segala bentuk kemaksiatan.

Istiqamah dalam penjagaan diri dan hati perlu diselaraskan dengan panduan pegangan agama agar kehidupan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah.

Di dalam surah Hud ayat 12, Allah s.w.t berfirman, “Maka beristiqamahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Kesimpulannya, peperangan melawan hawa nafsu merupakan peperangan yang paling utama kerana ia melibatkan penjagaan hati, diri dan iman.

Setiap Muslim berkewajipan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah dengan menjaga anugerah diri dan hati sebaik mungkin. Dengan memerangi hawa nafsu, kehidupan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Allah.

Seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Mereka bersukacita (bergirang hati) kerana memperoleh nikmat dan kurnia dari Allah. Dan (kerana) sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran: 171)

No comments:

Post a Comment

Jom Selawat